Pembangunan tidak setara menggugat keamanan dan kemakmuran sejagat.

Perang Dunia Kedua telah lebih 60 tahun berlalu.  Peperangan yang berlarutan selama enam tahun yang bermula pada tahun 1939 hingga 1945 itu, telah memberi kesan yang signifikan terhadap perubahan geopolitik di peringkat antarabangsa.  Begitu banyak kemusnahan dalam bentuk fizikal di alami oleh negara-negara di dunia pada ketika itu. Tidak kurang juga sebahagian besar rakyat yang tidak bersalah, turut diheret bersama dalam kancah peperangan. Setelah jatuhnya Empayar Uthmaniyah pada tahun 1924 ke atas tangan Mustapa Kamal Attarturk, maka terwujudlah satu ruang yang kosong terhadap kuasa dunia.  Atau mungkin ini merupakan maksud jelas tentang apa yang diistilahkan sebagai “vacum of power”.  Ianya terwujud atas dasar ingin menghapuskan secara terus zaman pemerintahan kekalifahan yang ternyata condong bersumberkan ajaran agama (Islam).  Kerana pada ketika itu, negara-negara barat telah bersedia sepenuhnya dari segi pengaruh dan kekuatan ketenteraan yang telah dibangunkan selama beberapa dekad; yang akhirnya membentuk suatu pakatan yang bersifat objektivisme dengan tidak menidakkan ke arah kuasa unipolar.  Atas inisiatif ingin menakluk dunia dan ingin mencaturkan semula geopolitik dunia yang sememangnya memberikan kelebihan kepada mereka (Barat), maka sebarang tindakan dan ancaman adalah bersifat “matlamat menghalalkan cara” atau “the end justify the mean”.  Ishak Shari (2002) menjelaskan:

“…Semenjak Perang Dunia Kedua lagi apabila berbagai-bagai negara membangun khususnya di Asia dan Afrika mencapai kemerdekaan, penduduk di negara tersebut amat menginginkan pembebasan daripada belenggu penindasan, kemunduran, kemiskinan, dan kejahilan. Mereka mengharapkan usaha pembangunan di negara mereka masing-masing akan akhirnya membawa emansipasi kemanusiaan dan mencapai matlamat keadilan sosial. Harapan sedemikian jugalah menjadi aspirasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah mengisytiharkan beberapa dasawarsa pembangunan package of development.  Namun, sehingga hari ini cita-cita tersebut bukan sahaja tidak terlaksana, malah semakin sukar dicapai…” (Ishak Shari 2002).

Isu pemanasan global yang sedang hangat diperkatakan oleh masyarakat dunia pada waktu ini, telah mengheret isu tersebut untuk dibincangkan bersama oleh pemimpin-pemimpin negara seluruh dunia.  Sebanyak 193 buah negara turut serta dalam persidangan yang telah berlangsung di Copenhagen, Denmark, dan ianya diberi nama Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (COP15).  Persidangan tersebut antara lain ingin mencapai persetujuan bersama di antara negara-negara gergasi ekonomi dunia terutamanya China, India, dan Amerika Syarikat untuk memberi komitmen mereka dalam mengawal pembebasan gas rumah hijau yang sememangnya memberi impak secara langsung ke atas negara-negara membangun dan miskin.

Menurut e-kamus versi 5.01 edisi profesional keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (2000-2004), pembangunan dapat ditakrifkan sebagai perihal membangun, proses membangun (mencapai kemajuan, perkembangan, dan sebagainya) dan sebagai usaha atau kegiatan membangunkan (memajukan dan mengembangkan).  Pembangunan perlu dilihat secara keseluruhan subset yang membentuknya.  Namun dalam konteks perbincangan ini, pembangunan adalah dilihat sebagai suatu proses bagaimana sesebuah negara berusaha untuk meningkatkan pencapaian kemajuan dan pengembangan yang diinginkan.  Bagi tujuan ini, pembangunan yang dicitakan, harus diseimbangkan dalam setiap bidang utama negara, iaitu politik, ekonomi, dan sosial.  Bolehlah dirumuskan satu fomula pembangunan, dimana kestabilan politik, akan membuahkan hasil ekonomi negara yang baik, dan seterusnya memberi kesan kepada pembentukan sosial yang berperanan sebagai watak utama dalam kehidupan di bumi ini.

G. Evans dan J. Newnham (1990) dalam the dictionary of world politics telah mendefinisikan negara maju sebagai: “…a state which has achieved self-sustained economic growth over a sufficient period of time to show development in primary, secondary and territary sectors of industry and to have achieved thereby a consistent improvement in living standards for the population as a whole. The advanced industrial countries (AICs) are generally held to be paradigm developed states”. (G. Evans dan J. Newnham 1990). 

Berdasarkan pendefinisian pembangunan yang telah dijelaskan di atas, memperlihatkan kualiti kehidupan warga atau apa yang disebutkan sebagai living standards adalah tujuan kepada pembangunan sesebuah negara.  Secara tidak langsung, ciri sebuah negara yang membangun atau maju lahir daripada tujuan tersebut. Bagi mencapai hasrat itu, satu set strategi yang merangkumi unsur seperti pendidikan, politik, sosial, ekonomi, dan sebagainya perlu di rangka terlebih dahulu sebelum suatu tindakan atau usaha dilaksanakan.  Dan di sinilah kemajuan atau lakaran sebuah negara ideal adalah tujuan kepada sebarang usaha yang ingin dilakukan.  Pastinya, jika ia dilihat daripada sudut perspektif dunia atau negara yang berkehendakan untuk menakluk bagi tujuan yang sama, skop dan rangka strategi adalah lebih luas dan mencabar.  Caroline Thomas (2008) telah memetik kata-kata Roberts (1984), sebagai berkata ‘development can be conceived only within an ideological framework’.  Kecenderungan monetory-based conception yang diamalkan oleh kebanyakan kerajaan dan organisasi antarabangsa semenjak 1945, telah mendorong kepada pembentukan struktur sosial mengikut kelas, iaitu antara kaya dan miskin.  Persaingan kelas yang berlaku itu telah memberi kesan dan ancaman kepada persekitaran lokal di sesebuah negara dan persekitaran sejagat. Dari sudut perspektif global pula, negara-negara dunia juga telah dikelaskan mengikut negara maju, negara membangun, dan negara mundur.  Ishak Shari (2002) menjelaskan, dunia pada awal abad ke-21 adalah dunia yang semakin tidak sama rata. Tambah beliau, bumi yang kaya raya ini nampaknya hanya untuk segelintir manusia, manakala sejumlah besarnya masih terpinggir.  Manakala dalam hal ini, Caroline Thomas pula telah menyatakan secara sinis: “…economic growth is identified as necessary for combatting poverty, defined as the inability of people to meet their basic material needs through cash transactions. This is seen in the influential reports of the World Bank, where countries are categorized according to their income.” (Caroline Thomas 2008)

Ironisnya, bagaimana sesebuah negara yang baru sahaja mencapai kemerdekaan daripada penjajah, dapat berdikari sendiri, seandainya negara tersebut terikat dengan syarat dan perjanjian yang memaksanya menuruti sistem antarabangsa yang nyata menguntungkan kuasa besar?  Lihat sahaja bagaimana Barat cuba melestarikan sistem pendidikan, ekonomi, perundangan, sosial, dan sebagainya di semua negara bekas jajahannya.  Oleh kerana itu, mereka (Barat) tidak perlu kekal lama menduduki (menjajah) sesebuah negara, sebaliknya negara yang dijajah itu dapat berjalan dengan sendirinya melalui satu sistem pentadbiran yang bersifat auto pilot.

 S.M. Zakir (2003) menjelaskan, weltliteratur adalah wajah globalisasi awal budaya yang dibentuk secara saintifik dalam faham yang lembut dan harmoni; yang mempunyai kesan yang sama sekali berbeza dengan bentuk globalisasi keras yang dibina oleh golongan juggenaut masa kini. Ya, kita (sebagai sebuah negara yang dijajah) menerima sahaja apa yang dikatakan baik bagi mereka (Barat). Kesannya, boleh diibarat seperti seekor labah-labah yang memakan mangsanya dengan hanya menyedut isinya, sedang bentuk fizikalnya tidak dimamah sama sekali. Kita tidak mampu untuk bersaing dengan negara yang telah banyak mengajar kita tentang hidup dan mereka terlalu jauh untuk kita kejar. Justeru, jelas Ishak Shari, sebagaimana tumpuan dalam bidang pembangunan, pelbagai program pembangunan kemiskinan dilaksanakan, namun bilangan penduduk miskin di dunia terus meningkat.  Anggaran rasmi menunjukkan peningkatan orang miskin daripada sekitar 650 juta pada tahun 1975 kepada kira-kira 1 bilion pada 1995.  Sidang kemuncak berhubung perkembangan sosial diadakan lima tahun kemudian, iaitu pada tahun 2000, apabila dinilai semula, kemiskinan tidak berkurangan malah jumlah orang miskin meningkat kepada 1.2 bilion.  Tambah beliau, terdapat 3.3 bilion penduduk dunia yang hanya hidup pada atau lebih sedikit daripada paras garis kemiskinan mutlak dan dianggarkan juga sekitar 840 juta penduduk dunia kini diancam dengan kebuluran dan kekurangan makanan. Data-data yang dinyatakan itu menunjukkan suatu permasalahan serius yang melanda dunia kerana tidak wujud keseimbangan pembangunan atau apa yang disebut sebagai pembangunan yang tidak setara di antara negara-negara di dunia. Gambaran jelas bagi maksud di atas adalah bagaimana kuasa besar mengguna pakai pendekatan ‘pembangunan’ yang dilihat bersifat skeptik dan tidak jujur sebagai senjata pemusnah terhadap negara-negara lemah. Persoalannya, bagaimana mungkin kuasa besar dunia yang mendominasi kekayaan, dapat membenarkan negara-negara lain daripada menggugat statusnya; yang akhirnya akan menandingi pengaruh dan kuasa yang dimiliki olehnya? Maka peperangan secara fizikal adalah jalan keluar daripada persaingan tersebut.  Syed Hussein Alatas (2002) telah menggariskan lima syarat yang beliau simpulkan sebagai ciri tentang pembangunan, antara lain pertamanya disebut sebagai pembangunan itu harus mengandungi sifat insaniah.  Ini kerana bagi beliau, walau dahulu mahu pun sekarang, ciri ini mesti wujud dalam usaha pembangunan dan ia jauh lebih besar dan jauh lebih banyak ragamnya.  Ciri kedua, setiap pembangunan dalam masyarakat mesti dilaksanakan oleh pemimpin yang jujur.  Tambah beliau lagi, pimpinan yang menganggap pembangunan sebagai matlamat bukan pimpinan yang memperalat kekuasaan untuk kepentingan masing-masing atau kepentingan golongan tertentu dan hal begini melanggar sendi insaniah. Ciri ketiga, kefahaman tentang pembangunan dan kesedaran tentang pembangunan mesti wujud dikalangan masyarakat, jika tidak, maka pembangunan akan terjejas atau hampir tidak ada.  Ciri keempat, setiap usaha pembangunan mesti didasarkan kepada ilmu.  Dan ciri kelima, ciri estetik. 

Saya melihat permasalahan yang berkaitan dengan pembangunan adalah dengan membuat suatu perbandingan di antara perspektif lokal sesebuah negara dan perspektif global, yang sebenarnya mempunyai jalan cerita (masalah yang dihadapi) yang sama.  Perspektif lokal yang dimaksudkan adalah, dalam sebuah negara terdapat negeri-negeri atau daerah yang bernaung di bawah satu pentadbiran atau kuasa.  Pembangunan yang tidak setara mengikut negeri atau daerah, mampu menggugat keamanan dan kemakmuran negara.  Sebagai contoh di Malaysia, terdapat perbezaan yang ketara dari segi pembangunan negeri-negerinya.  Kuala Lumpur dan selangor (Lembah Klang), Johor Bahru, dan Pulau Pinang merupakan negeri atau pusat pembangunan yang lebih maju daripada negeri-negeri lain di Malaysia.  Ia dapat dilihat dari segi taraf hidup yang tinggi, kemudahan infrastruktur yang berdaya saing, peluang pekerjaan yang banyak, pusat pendidikan yang pelbagai, dan sebagainya.  Jadi, penghijrahan masyarakat desa ke kota-kota tersebut adalah bagi merebut peluang yang disediakan bagi meningkatkan taraf hidup yang diinginkan.  Namun, terdapat juga dikalangan mereka yang mengambil kesempatan dengan melakukan pelbagai jenayah sebagai jalan mudah.  Kes rompakan, pembunuhan, rogol, ragut, dan sebagainya menjadi tajuk wajib akhbar-akhbar tempatan.  Keadaan ini merupakan hasil pembangunan yang tidak setara di antara negeri-negeri di Malaysia dan pembangunan yang tidak setara dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, dan sosial.  Begitulah gambaran persamaan yang wujud diperingkat global atau sejagat.

Berbalik kepada persoalan tentang bagaimana mungkin kuasa besar dunia yang mendominasi kekayaan, dapat membenarkan negara-negara lain daripada menggugat statusnya; yang akhirnya akan menandingi pengaruh dan kuasa yang dimiliki?—persoalan ini lebih merujuk kepada sifat-sifat yang dimiliki oleh individu (ideologi), yang membawa kepada sekelompok kumpulan, dan seterusnya membentuk negara.  Negara dalam konteks perbincangan ini adalah Amerika Syarikat.  Sifat tamak dan sombong yang ditonjolkan itu sebenarnya menunjukkan satu tahap pemikiran yang hodoh lagi tidak bertamadun kuasa besar itu sebagai suatu kaedah bagaimana mereka dapat mengekalkan status-quonya.  Bagaimana boleh Amerika (Barat) harus dicontohi?  Perang dingin yang berlarutan bermula selepas tamat Perang Dunia Kedua sehingga tamat pada tahun 1990, yang membawa kemenangan kepada pihak Amerika terhadap Kesatuan Soviet, telah menjadikan negara Uncle Sam itu sebagai sebuah negara yang bersifat unilateral.  Secara tidak langsung, negara-negara lain di dunia perlu akur dan menerima sahaja apa yang difikirkan baik oleh Amerika.  Namun, memetik kata-kata Ishak Shari, the old imperialism tidak lagi mempunyai tempat dan Amerika melancarkan apa yang dipanggil setengah pengkaji sebagai era pembangunan, malang ianya tidak menghasilkan apa yang diharapkan, iaitu ketenteraman. Ketenteraman di sini pastinya merujuk kepada keamanan dan kemakmuran.

Wajah sebuah kehidupan manusia yang berjaya diterjemahkan Barat melalui gerakan romantism yang bermula sekitar abad ke-18, telah mempengaruhi dan membentuk suatu budaya lokal yang berorientasikan material.  Kekayaan dalam bentuk material adalah dogma masyarakat yang dibentuk.  Kapitalisme adalah pendorong kepada hasrat tersebut. Sehinggakan ia tidak boleh dikawal oleh sistem yang sememangnya berpaksikan kepada kebebasan menurut konsepsi mereka sendiri.  Dan seterusnya penjajahan ke atas sesebuah negara merupakan jalan pintas untuk memendekkan usaha ke arah penyeragaman hasrat pemikiran tersebut.  Apa sahaja yang dicipta, sememangnya mempunyai tujuan (purpose) dan fungsi.  Dan setiap usaha yang dijanakan dahulu, hari ini adalah hasilnya.  Maka hasil adalah jawaban kepada setiap persoalan yang wujud. Data yang dinyatakan oleh Ishak Shari seperti yang dijelaskan terdahulu, iaitu angka 3.3 bilion penduduk dunia yang hanya hidup pada atau lebih sedikit daripada paras garis kemiskinan mutlak dan dianggarkan juga sekitar 840 juta penduduk dunia kini diancam dengan kebuluran dan kekurangan makanan, adalah jawaban atau hasil daripada usaha kepimpinan dunia yang kononnya menyatakan pembangunan adalah wadah untuk menjadikan dunia ini selamat untuk diduduki.  Disebabkan kesempitan yang dialamai oleh sebahagian besar penduduk miskin untuk mencari jalan keluar daripada terus dihimpit, mereka memilih untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mengganggu gugat keamanan serantau.  Maka wujud kongsi-kongsi gelap dengan menjual dadah, aktiviti pelacuran, merompak, dan sebagainya, aktiviti ini bukan sahaja dijalankan di negara sendiri, malah mempunyai hubungan diperingkat antarabangsa.  Selain daripada itu, mereka juga terpaksa menyelinap masuk ke negara jiran secara haram semata-mata untuk mendapatkan ruang hidup yang lebih baik.  

Malaysia adalah salah sebuah negara yang tidak terlepas daripada masalah ini.  Kebanjiran warga asing yang masuk secara haram telah menyumbang kepada peningkatan indeks jenayah.  Setiap hari akhbar tempatan menyajikan berita tentang jenayah ragut, rompak, bunuh, dan sebagainya.  Mereka (warga asing) yang masuk secara haram adalah dikenal pasti datangnya dari negara Indonesia, Nepal, Filipina, dan Thailand.  Berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia untuk menghantar pulang warga asing tersebut.  Suatu perbelanjaan besar yang merugikan negara.

 Index Keamanan Global 2009 (GPI 2009) yang dikeluarkan oleh organisasi Vision of Humanity, mendapati Amerika Syarikat menduduki tangga ke-83 daripada 144 buah negara dunia.  Sementara Malaysia berada pada kedudukan baik berbanding Amerika Syarikat iaitu pada tangga ke-26 daripada 144 buah negara dunia, tetapi belum cukup untuk dibanggakan kerana realiti kehidupan di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang membimbangkan.  Antara garis pengukurnya (indicator) adalah jumlah kematian yang disebabkan konflik dalaman dan luaran, hubungan dengan negara jiran, kestabilan politik, potensi ancaman terroris, dan sebagainya.  Ini membuktikan betapa Amerika sebagai kuasa besar dunia sendiri berada dalam kedudukan yang tidak aman dan terdedah kepada ancaman luar.  Sebenarnya, kemelesetan ekonomi dunia yang berpunca daripada sub-prima di Amerika, telah memberikan impak besar kepada kemelesetan ekonomi negara-negara dunia ketika ini.  Keadaan ini merupakan ancaman langsung ke atas negara-negara sejagat yang sememangnya mempunyai sifat kebergantungan.  Malaysia juga tidak ketinggalan menerima kesannya dan masih lagi belum pulih setakat hari ini.  Bayangkan kesan kemelesetan ini terhadap negara-negara miskin yang bergantung harap kepada negara-negara lain. 

Lagi, tanaman modal atau apa yang disebut sebagai Stimulus Package sebagai penyelesaian krisis yang sangat popular digunakan oleh kebanyakan negara, bila mana syarikat gergasi seperti General Motor, Standard Charterd, dan sebagainya tersungkur dan hampir ditutup. Menurut Shaharir Mohamad Zain (2007) dalam jurnal ketamadunannya yang bertajuk Ekonomi Pembangunan Lawan Ekonomi Kebahagiaan, beliau menyatakan: “…teori pembangunan ekonomi Barat yang boleh dikatakan bermula selepas Perang Dunia II yang mulanya bertujuan untuk membangunkan Eropah Timur (yang hancur dek perang tersebut) telah mengalami sekurang-kurangnya 5 tahap perkembangannya: teori awal, teori perancangan ekonomi dan pertumbuhan ekonomi, teori pembangunan sosial, teori strukturisme dan Marxisme baru, dan kini teori kontra-strukturisme dan liberalisme baru…” (Shaharir Mohamad Zain 2007) Tambah beliau, penulisan makalah antara 1997-kini (satu dasawarsa) dalam ekonomi kebahagiaan masih belum banyak iaitu hanya sekitar 20 buah karya sahaja (berdasarkan pada enjin gelintar Ingenta). Malangnya tiada satu pun yang berbincang mengikut perspektif Islam, walau pun ada sebuah makalah yang mengikut perspektif Buddhis iaitu oleh Wagner (2007) yang akhirnya mengesyorkan Barat supaya mengambil pengajaran Buddhis ke dalam ekonomi kebahagaiaan; dan ada sebuah makalah daripada perspektif Katholik oleh Stockhausen (1998) yang mengupas pandangan Paus John Paul II tentang kebahagiaan mengikut perspektif Katholik. Ini contoh kegiatan Barat sedang menggelintar (mencari-cari) teori kebahagiaan menerusi sumber agama. Kenapa tidak agama kita, Islam? Keadaan ini dilihat sebagai merupakan wajah hodoh double standard yang ditunjukkan oleh Barat. Oleh sebab itu, negara-negara yang berada di bawah telunjuk Barat khasnya, berada dalam kedudukan tidak selamat dari segi survival ekonomi negara. Namun baru-baru ini, Asean mengorak langkah baru memperkukuhkan kedudukannya di rantau Asia Fasifik dengan menjalinkan kesepakatan yang dikenali East Asia Summit Plus Three, Plus Three (EAS+3+3) sebagai institusi penting bersifat multilateral dengan kemasukan China, Jepun, Korea Selatan, Australia, India, dan New Zealand. Oleh itu, pembangunan yang tidak setara dari segi ekonomi sudah pasti menggugat keamanan dan kemakmuran sejagat. Ekonomi adalah sub-agenda terhadap pembangunan. Barangkali dengan melihat pada sudut sisi pembangunan ekonomi berskala besar yang diusahakan Barat, ianya berjaya, kerana bagi mereka seandainya ekonomi di sesebuah negara itu berada dalam keadan baik, maka mereka akan mendapat manfaatnya dari segi kek pasaran yang lebih besar. Dan ini amat menguntungkan mereka.  Sebaliknya andai ekonomi disesebuah negara tidak baik atau berada pada taraf bawahan, ia akan memberi kesan serantau yang boleh membawa kepada konflik dalaman, terrorisme, dan sebagainya; yang juga mereka (Barat) akan dapat manfaat dari segi pengaruh dan dasar luar, yang mana mereka akan terus diperlukan dan tempat untuk mengadu-harap. Inilah yang dikatakan pencaturan geopolitik dunia seperti yang dinyatakan di awal perbincangan.  Dalam hal ini, Ishak Shari ada memberi ulasan, yang mana beliau merasa adalah penting bagi peneliti pembangunan untuk meneliti semula hujah yag diutarakan oleh Polanyi dalam menentang pandangan tersebut (pendukung globalisasi ala neo-liberal terhadap susunan ekonomi liberal pada penghujung abad ke-19 ) dan bahaya kecenderungan ke arah pencapaian satu utopia perluasan kuasa pasaran yang tidak terkawal dan seterusnya melihat relevannya dalam konteks semasa. Sebaliknya, beliau mengesyorkan kepada ahli pembangunan masa kini supaya meneliti dengan lebih kritis keseimbangan antara tiga kuasa penting dalam menentukan pembangunan yang bermakna iaitu pasaran (ekonomi), pemerintahan (politik), dan mesyarakat sivil (sosial). Andrew K. Jorgenson & Edward L. Kick (2003) dalam jurnal yang bertajuk Globalization And The Environment, telah menyatakan bahawa bahawa pembangunan yang tidak seimbang telah memberi impak yang besar terhadap permasalahan alam sekitar, dan seterusnya mengancam kehidupan manusia sejagat. Berikut adalah apa yang diperkatakan oleh kedua-dua penulis tersebut: “…In recent decades, global capitalist economics, technology (including communication), and global military reach have worked together to remove a major political-military, economic and ideological challenge to capitalism, that is, Eastern bloc-style socialism (it could be argued that we now are working on the next challenge, Islam). While these dynamics have stunted any nascent challenges to market expansion, the latter has created other contradictions. One of these is that “globalization” now threatens the human race with environmental disasters…” (Andrew K. Jorgenson & Edward L. Kick 2003). 

Isu pemanasan global sangat hangat diperkata dan diperdebatkan sejak kebelakangan ini. Ia juga merupakan suatu masalah besar dalam sejarah kehidupan kemanusiaan, tentang bagaimana aktiviti manusia di dunia ini tidak boleh menghalang kepada hukum alam. Pelepasan gas rumah hijau yang tidak terkawal, didapati merupakan faktor utama kepada permasalahan ini. Dunia diancam oleh perubahan iklim yang tidak menentu. Panas terik, hujan lebat, ribut, banjir, dan kemarau di seluruh negara dunia telah mengundang rasa bimbang akan apakah bentuk dunia pada masa akan datang; sekurang-kurangnya dalam tempoh 50 tahun lagi, seandainya langkah awal tidak di ambil sekarang. Permasalahan ini sememangnya dilihat dari sudut sejagat terhadap masa depan penduduk dunia yang menuntut commitment semua negara untuk memperbetulkan langkah atau penyusunan semula aktiviti pembangunan diperingkat domestik di negara masing-masing.  Bagi negara maju, terutama sekali Amerika, ia mahu mengambil sikap berkecuali dalam hal ini.  Namun sebuah negara yang dikatakan penyumbang besar dalam pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) adalah China.  Ini kerana, China merupakan sebuah negara membangun yang sangat proaktif dalam aktiviti ekonominya. Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (COP15) yang berlangsung di Copenhagen, Denmark seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan, masih buntu mencari kata sepakat dan persetujuan di antara negara-negara maju, membangun, dan miskin.  Persidangan yang bermatlamatkan satu perjanjian perlu dimeterai oleh negara-negara dunia, susulan Penjanjian Protokol Kyoto dan Bali berkenaan dengan isu berkaitan, masih lagi belum mencapai kata sepakat.  Dua negara gergasi ekonomi dunia iaitu China dan Amerika adalah subjek utama perbincangan persidangan tersebut, untuk menyatakan hasrat dan komitmen mereka terhadap isu yang melibatkan kemaslahatan sejagat, terutamanya bagi negara miskin yang akan terjejas teruk. Dalam pada itu, Malaysia, melalui Perdana Menteri Dato’ Seri Najib, seperti yang dilaporkan oleh akhbar dan media elektronik, telah menyatakan kesungguhan untuk mengurangkan sehingga 40 peratus pembebasan karbon dioksida menjelang tahun 2020 berbanding paras 2005.  Walau bagaimanapun, komitmen tersebut adalah bersyarat, sekiranya negara-negara maju sanggup memindahkan teknologi dan menyalurkan bantuan kewangan kepada negara-negara membangun dan negara miskin. Langkah ini kata Perdana Menteri sebagai langkah komitmen kerajaan Malaysia terhadap isu alam sekitar bagi mengimbangi pemanasan global yang sememangnya mengancam kehidupan manusia sejagat.  Oleh sebab itu, sifat tamak dan berlebih-lebih sehingga tidak terkawal yang dianjurkan dalam era modernisasi, akhirnya menunjukkan kesan buruk terhadap keamanan dan kemakmuran sejagat.  Kerosakkan yang berlaku di dunia pada hari ini adalah hasil daripada perbuatan manusia itu sendiri dahulu.  Tidak ada apa yang boleh merubahnya kecuali manusia itu sendiri.  Malah, di negara penganjur (maju) sendiri berdepan dengan ancaman ini. Apa yang dikatakan oleh Andrew K. Jorgenson & Edward L. Kick ternyata amat berasas.  Sudah tiba masanya dunia menggantikan satu sistem baru yang boleh menyelamatkan masa depan kehidupan penghuninya.  Satu sistem yang boleh menyatukan semua negara dunia ke arah suatu gagasan baru demi kesejahteraan sejagat Berdasarkan perbincangan berkenaan bagaimana pembangunan tidak setara menggugat keamanan dan kemakmuran sejagat, ianya dilihat dalam konteks politik, ekonomi, dan sosial.  Dan bagaimana ketiga-tiga unsur tersebut berperanan untuk membentuk sebuah dunia yang aman dan makmur, terus menjadikan dunia ini indah untuk didiami.  Sudut lokaliti sesebuah negara adalah cerminan yang lebih besar terhadap sudut dunia.  Pencaturan geopolitik dunia oleh Barat telah membentuk sebuah dunia yang huru-hara dan tidak selamat untuk didiami.  Konsep Money-oriented yang memahamkan manusia akan kejayaan harus dinilai dengan kekayaan wang ringgit, sebenarnya menghukum nilai kemanusiaan sejagat—manusia menjadi gila untuk mengejar kekayaan.  Masalah kebuluran, ancaman teroris, peperangan, pemanasan global atau isu alam sekitar, dan sebagainya merupakan kesan yang tidak langsung akibat daripada pembangunan yang tidak seimbang di antara negara-negara dunia. 

Agenda pembangunan yang dianjurkan Barat, terbukti memberi kelebihan kepada negara-negara tertentu sahaja.  Kini, negara-negara dunia memerlukan arah tuju baru dalam memastikan masa depan generasi mereka terjamin. Namun untuk ke arah itu, mereka tidak boleh bertindak sendiri.  Mereka perlu menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain yang lebih menguntungkan demi survival.  Kelemahan Amerika sebagai ‘pentadbir’ dunia sudah tidak dapat dibendung lagi.  Justeru, demi mewujudkan keseimbangan pembangunan, sistem dunia anjuran Amerika perlu digantikan dengan suatu dogma sistem baru yang bersifat holistik dan komprehensif dengan menjunjung nilai keadilan sejagat dan seterusnya nilai kemanusiaan.  Semoga sekelian alam mendapat rahmat-Nya.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: