Teori Elit: ‘Power is in the hand of a few’


Sejarah perkembangan ketamadunan manusia, telah melalui proses-proses perubahan yang ditunjangi oleh perkembangan ilmu pengetahuan dan memberi kesan kelangsungannya kepada kehidupan manusia sejagat sehingga ke hari ini.  Justeru, penemuan demi penemuan berkenaan teori-teori baru juga telah merubah lanskap politik dunia.

Imej oleh abbaymedia.com

Kaitan teori elit ini dengan kuasa, sememangnya tidak boleh disangkal dan dipisahkan.  Kerana kuasa dilihat sebagai satu kepentingan atau maksud kepada tujuan perlaksanaan dalam teori elit.

Begitu banyak tokoh-tokoh sejarah yang membincangkan perihal teori ini sama ada secara langsung atau tidak langsung disebabkan oleh terkaitan antara satu sama lainnya.  Antaranya tokoh-tokoh yang dimaksudkan ialah Marx, Max Weber, Engels, Vilfredo Pareto, Gaetano Mosca, dan Robert Michels.  

Teori elit telah dipelopori oleh tiga orang ahli sosiologi politik moden, iaitu Gaetano Mosca, Vilfredo Pareto, dan Robert Michels pada lewat abad ke-19.  Namun, analisis dan kajian oleh tokoh-tokoh terbabit adalah merupakan kesinambungan (dipengaruhi) daripada pemikiran tokoh-tokoh terdahulu seperti Aristotle, Saint-Saimon, Ludwig, dan Karl Marx.

Saint-Simon melihat masyarakat dalam bentuk piramid; yang dikelaskan mengikut fungsi masyarakat itu sendiri, dan golongan elit berada pada lapisan teratas.  Tambah beliau, ahli sains, artis, dan pelopor industri sepatutnya menjadi pemerintah dan pembuat keputusan.  Ini kerana, beliau percaya ciri-ciri politikal elit adalah berdasarkan faktor bakat, bukan faktor kelahiran.  Namun begitu, pengaruh terbesar penulisan Mosca, Pareto, dan Michels adalah Karl Marx (1818-1883).  Menurut Marx, beliau tidak hanya memfokuskan kepada golongan atasan (elit) sebagai pemerintah dalam pergelutan kelas (class struggle), namun beliau memfokuskan juga golongan bawahan sebagai golongan yang diperintah, kerana kedua-dua golongan tersebut merupakan golongan pergelutan kepolitikan (political struggle).

Walaupun ada terdapat perbezaan pemikiran berkenaan teori ini, namun Marx, Taine, dan Saint-Simon melihat ciri-ciri elit adalah kaya, berpendidikan, property, atau yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan.  Sebaliknya Ludwig melihat ianya sebagai kumpulan kelas atasan secara biologi.  Namun, keempat-empat tokoh tersebut dikatakan gagal mendefinisikan konsep ‘elit’ yang digunakan, kerana itu terma atau istilah yang digunakan seperti “rulers,” “bourgeoisie,” “ruling class,” “privilaged class,” “superior class,” “proletariat,” “subject class,” dan “middle class,” yang digunakan oleh penulis-penulis (Mosca, Pareto, dan Michels), amat sukar dibuat perbandingan dan juga sukar difahami.

Apa pun, ianya dapat disimpulkan bahawa perspektif penting tentang elit adalah kesemua sistem politik dibahagikan kepada dua strata, iaitu yang memerintah dan yang diperintah.

Kuasa diertikan sebagai sesuatu bentuk hubungan yang relasional (relational).  Ia bermaksud kemampuan untuk mempengaruhi perilaku pihak-pihak lain untuk melakukan hal yang sebenarnya bukanlah merupakan pilihan mereka sendiri.

Terdapat beberapa definisi tentang kuasa oleh tokoh-tokoh terdahulu.  Antaranya,  Karl Marx dan Max Weber yang dikaitkan dengan pemikiran bahawa kuasa adalah tindakan mendominasi, meskipn gagasan mereka mengenai kuasa tidaklah sederhana.  Namun Weber secara terang mendefinisikan kuasa sebagai kemampuan untuk melaksanakan sesuatu kehendak sendiri sekalipun menghadapi tentangan.  Bagi Thomas Hobbes, kuasa ialah kemampuan yang dimiliki seseorang pada waktu sekarang demi untuk mencapai keinginan-keinginannya yang nyata di masa mendatang.

Definisi dan konsep tentang kuasa ini sememangnya sebati diminda dan dalam jiwa naruni manusia yang melihat ianya sebagai milikan orang atau golongan tertentu sahaja; yang istimewa, anugerah, dan lainnya.  Kuasa telah digambarkan sebagai “pembuat sesuatu kesan yang diinginkan,” kata Bertrand Russel.  Namun, sejarah ketamadunan manusia telah membuktikan begitu banyak pemberontakan yang berlaku sehingga mencetuskan peperangan disebabkan pertikaian hak dan ketidakpuasan hati si pemberontak; yang membawa ancaman pihak yang berkuasa.  Kita juga lihat persaingan unuk mendapatkan kuasa oleh negara-negara di dunia dan keadaan ini masih berlaku dan dapat kita melihatnya sehingga ke hari ini, dan pasti ianya berterusan selama manusia masih hidup di dunia.

Jadi, dalam konteks teori elit ini, kuasa dilihat sebagai alat untuk menjaga kepentingan golongan elit bagi memastikan mereka akan tetap terus berada ditahap tertinggi  dalam hirarki sosial.

Berdasarkan ciri-ciri, idea, dan konsep teori elit; dan definisi tentang kuasa yang telah dibincangkan seperti di atas, sememangnya kita boleh mendapat gambaran awal dan jawapan persoalan kenapa teori elit menyatakan power is in the hand of a few atau kuasa berada pada tangan yang segelintir (minoriti).

Rasionalnya di sini, apakah mampu semua orang berkuasa?  Sudah pasti tidak.  Kuasa adalah milikan yang terbatas dan bertindak sebagai penggerak.  Lantas, elit merupakan segolongan atau kelas (minoriti) yang pertama; yang berkehendakkan kuasa sebagai kunci pembuka ke atas apa sahaja yang diinginkan atau yang ingin dilakukan, selain status dan pengaruh.  Keistimewaan ini hanya boleh dimiliki oleh mereka yang berkuasa—mempunyai wang yang banyak, mempunyai kekuatan ketenteraan, tanah, dan pendidikan.  Manakala segolongan yang satu lagi (majoriti) merupakan golongan yang terarah dan terkontrol oleh kelas yang pertama itu tadi.

Pernyataan di atas ada dinyatakan oleh Mosca dalam Mosca:  The Political Class, seperti berikut:

“In all societies—from societies that are very meagerly developed and have barely attained the dawning of civilization, down to the most advanced and powerful societies—two classes of people appear—a class that rules and a class that is ruled.  The first class, always the less numerous, performs all political funtions, monopolizes power and enjoys the advantages that power brings, whereas the second, the more numerous class, is directed and controlled by the first.” (Gaetano Mosca)

Peranan Elit dalam konteks ini juga adalah sebagai pembuat keputusan, menyusun agenda sebagai strategi yang dikatakan beroperasi di wilayah yang tidak nampak atau tidak sedar (unconsciousness), dan pengendali pemikiran sebagai kemampuan untuk mempengaruhi orang lain dengan mempengaruhi apa yang dipikirkan; yang ia mahukan.

Wajah kuasa ini meliputi tindakan-tindakan zahiriah; yang nampak atau nyata; yang dalam beberapa cara mempengaruhi isi suatu keputusan.  Ia dijelaskan oleh Robert A Dahl (1961), bahawa pelaku-pelaku yang memiliki kuasa dengan cara menganalisa keputusan-keputusan yang dibuat sejalan dengan pilihan-pilihan yang sudah diketahui dari para pelaku yang terlibat dalam pembuatan keputusan itu.

Kita dapat lihat sejauh mana kaitan golongan elit sebagai kelas yang berkuasa dan hubungkaitnya dengan negara.  Kerana menurut Mosca, negara adalah instrumen kepada oligarki; yang merujuk kepada pemerintahan yang dijalankan oleh sekumpulan kecil orang yg berkuasa sahaja atau sekumpulan kecil orang yang menguasai dan mentadbir sesebuah negara atau organisasi.

Secara sedar atau tidak, golongan elit bukan sahaja mempunyai kepentingan dalam sesebuah negara tertentu sahaja, tetapi mempunyai jalinan di antara negara-negara yang sealiran mengikut percatuan agenda politik sesama mereka, atas titik persamaan kehendak dan matlamat yang sama.  Mereka (elit) bijak mengawal emosi rakyat dengan memenuhi segala keperluan dan kehendak, supaya rakyat tidak bangun memberontak; yang akhirnya menggugat kestabilan dan seterusnya menggugat kedudukan mereka.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: