CABARAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA

“Sesungguhnya mereka adalah satu bangsa negara (umat), bebas dari pengaruh dan kekuasaan manusia lainnya.” (Piagam Madinah: Bab 1 (Pembentukan Umat), Fasal 1)

Negara adalah wajah dunia yang kita inginkan – suatu cerminan makna dalam konteks yang lebih luas.  Ini kerana, sifat dunia yang mempunyai penghuni yang pelbagai daripada kepelbagaian bangsa, bahasa, kepercayaan agama, budaya, dan sebagainya, menuntut satu titik penerimaan yang bersifat universal agar dunia ini menjadi indah dan selamat untuk didiami.  Sebermula dari zaman Yunani, kemudian kita ke Tanah Arab, dan seterusnya beralih ke Eropah, dan kini sampai di Timur, kita menyelami falsafah hidup (ilmu) yang dibawa oleh para-para Doktor dan Profesor bagi mencari solusi masalah-masalah yang membelenggu manusia seluruhnya.  Ilmu tidak statik sifatnya, ia terus digali, dan kemudian bercambah.  Untuk apa akhirnya semua pencarian solusi terhadap masalah-masalah tersebut?  Maka persoalan ini menjurus kepada tujuan mengapa manusia itu sendiri ingin mencari solusi – suatu persoalan awal yang perlu dijawab terlebih dahulu.  Penilaian terhadap sesuatu akan terus terjadi sepanjang kehidupan manusia.  Begitu juga halnya dengan kenyataan bahawa, masalah pembentukan negara bangsa adalah berkaitan dengan perbezaan kaum.  Saya kira, persoalan yang perlu dijawab dahulu – untuk apa pembentukan negara bangsa bagi sesebuah negara?  Seiring dengan pendapat yang menyatakan bahawa, kehidupan itu memaksa kita untuk membuat pilihan, mengukur sesuatu benda mahupun perkara dari segi baik atau buruk dan untuk memberi formulasi tentang ukuran nilai tersebut.

Berdasarkan penelitian berkenaan dengan negara bangsa yang telah dibincang sebelum ini dalam tajuk: Negara Bangsa, jelas menunjukkan bahawa, istilah negara bangsa itu sebenarnya dianggap penting (sebab) dan ia muncul tatkala kebanyakan negara-negara dunia (negara membangun terutamanya) menghadapi kesukaran dalam membangunkan negara yang bersifat majmuk dengan ciri-cirinya tersendiri dalam ruang sejarah yang terbina—kesan daripada kolonialisme.  Kerana kekhususan sejarah akibat penguasaan kolonialisme, pembentukan ‘bangsa-impian’ negara-negara berkenaan merupakan hasil wawasan yang dibentuk dalam perjuangan kemerdekaan dan juga perjuangan untuk mengisi serta mengukuhkan kemerdekaan.  Justeru, persoalan yang timbul, kenapa ia tidak muncul sebelum sesebuah negara itu dibentuk?  Maksudnya, kesedaran akan penting kewujudan negara bangsa.

Di samping itu, ia juga dianggap penting dan dikatakan sebagai prasyarat kepada kemajuan sesebuah negara.  Ini kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara bangsa, maka sebarang bentuk kerjasama untuk kepentingan negara sukar dilaksanakan sepenuhnya.  Bagi mengisi konsep ini, beberapa istilah seperti ‘perpaduan negara’, ‘kesetiaan kepada negara’, ‘keharmonian’ dan ‘tolak ansur perlu difahami dan diterapkan ke dalam amalan dan kehidupan rakyat (Ruslan Zainuddin et.al 2005).  Namun di Malaysia contohnya, istilah-istilah seperti Ruslan Zainuddin jelaskan tersebut, telah wujud dan terpakai di Malaysia melalui teras Lima Rukun Negara-nya.  Justeru persoalan, mengapa Malaysia masih tidak berjaya dalam membentuk negara bangsa setelah lebih 50 tahun merdeka?  Apakah dengan usaha pembentukan negara bangsa ini, maka ia dilihat sebagai usaha ke hadapan, atau ke belakang?

“Many societies in the developing world today face similar challenges.  Espeacially in Africa, the former colonial powers (particularly Britain and France) left the newly independence states with very weak national identities.  In many parts of Africa, large-scale national communities simply did not exist at the time of colonization.  Even where they did exist, they were rarely reflected in the boundaries that the colonial powers drew between their possessions.  After independence, many new states have therefore faced huge nation-building tasks.” (Almond et.al 2010)

Persoalan tersebut, Abdul Rahman Embong (2000) ada jawabnya; yang menurut beliau jika ditinjau dari segi sejarah, bangsa Malaysia adalah satu konsep baru bagi rakyat berbilang kaum di negara ini.  Apabila Malaya diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957, yang dilahirkan ialah sebuah negara, bukan bangsa.  Begitu juga, apabila Malaysia terbentuk pada 1963, yang kita miliki hanyalah negara Malaysia, sedangkan bangsa Malaysia yang utuh dan bersatu padu masih jauh daripada terwujud.  Tetapi ironinya, bukankah wajar sebuah negara yang lahir itu harus seiring dengan lahirnya sebuah bangsa—yang merdeka, mempunyai nilai patriotisme di dalam jiwa dan sepunya, kerana bangsa tersebut berkongsi wilayah dan kedaulatan bersama.

Sebuah buku suntingan Leo Suryadinata (2004) bertajuk “Ethnic Relations and Nation-Building in Southeast Asia: The Case of the Ethnic Chinese” amat bersesuaian sekali dirujuk dalam membincangkan tajuk perbincangan ini.  Seramai 11 orang sarjana daripada pelbagai latar belakang etnik yang berbeza telah membentangkan idea dan saranan mereka melalui 11 topik penulisan yang berkaitan masalah pembentukan bangsa (nation-building) dan relasinya dengan etnik Cina di tiga buah negara—Malaysia, Indonesia, dan Singapura, sebagai faktor kewujudan kepelbagaian etnik (kaum) di negara-negara terbabit.

Antaranya, menurut Wang Gungwu (2004), beliau menjelaskan bahawa ketiga-tiga buah negara tersebut boleh menggunapakai model kejayaan Eropah dalam membentuk negara bangsa berdasarkan pengalaman sejarah mereka.  Tetapi beliau menyarankan supaya Malaysia, Indonesia, dan Singapura agar menyedari bahawa masyarakat yang berasaskan budaya (culture-based) kepada masyarakat berasaskan negara bangsa (nation-state based people) adalah merupakan suatu proses perubahan—yang mana ianya tidak boleh berubah dalam jangka waktu yang singkat.  Di samping itu juga, beliau menjelaskan tentang mengapa etnik Cina begitu sukar untuk menerima konsep negara bangsa di hampir semua negara-negara Asia Tenggara, adalah kerana proses pengetahuan (kesedaran) kepada mereka ini berlaku secara tidak langsung.  Asasnya, mereka ini pada awalnya berada di luar dari negara China; mempunyai kesetiaan politik yang berbeza-beza, sama ada kesetiaan kepada kuasa kolonial yang mengurus-tadbir di kawasan-kawasan tempat mereka bekerja, atau kepada pemerintah tempatan (atau yang diperakukan) di negara-negara tersebut.  Dan menariknya, di akhir perbincangan tersebut, beliau mengaitkan faktor globalisasi sebagai satu ancaman kritikal kepada sebarang usaha pembentukan negara bangsa.  Kerana menurutnya, globalisasi yang bersifat transnasional yang berlaku pada waktu ini, telah mewujudkan satu ruang besar (melepasi sempadan) dan  terus mewujudkan pilihan baru kepada mereka—sama ada untuk bersama-sama dalam membentuk negara bangsa atau sebaliknya.

Seorang lagi sarjana, Mely G. Tan dalam makalah bertajuk “Unity in Diversity: Ethnic Chinese and Nation-Building in Indonesia” beliau telah membahagikan kepada dua periode—sebelum dan selepas rusuhan besar 13-15 Mei 1998 yang berlaku terutamanya di Jakarta dan Solo, serta beberapa bandar lain di Indonesia—yang memberi kesan hingga jatuhnya Suharto pada 21 Mei 1998.  Beliau memfokus perbincangannya dengan empat konsep asas utama, iaitu kesatuan (unity), kepelbagaian (diversity), pembentukan bangsa (nation-building), dan etnik Cina.

Menurut beliau, konsep kesatuan yang telah terungkap melalui Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) telah dinilai semula akibat dari konflik bersenjata, perselisihan di antara etnik (inter-ethnic), dan di antara agama (inter-religious) yang membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.  Desakan dan ancaman secara berterusan itu telah merebak hingga ke Acheh, Irian Jaya/Papua, dan Kepulauan Riau.  Rentetan itu, pihak kerajaan—melalui Presidennya waktu itu, Habibie, telah menggubal Law No. 22 dan No. 25 1999 berkenaan wilayah autonomi (regional autonomy) dan melaksanakannya pada 1 Januari 2001.  Namun, semenjak itu, begitu banyak penulisan, perbincangan, dan seminar telah diadakan berkenaan dengan wilayah autonomi tersebut dan perlaksanaannya; yang mana telah mengundang reaksi skeptisme dan rasa bimbang oleh banyak pihak yang mempersoal tahap kesediaan serta kemampuan wilayah-wilayah terbabit (yang masih baru) dan kerajaan pusat dalam impak kepada masyarakat seperti yang diharapkan.

Kemudian beliau menjelaskan tentang konsep kepelbagaian (diversity) yang ditanamkan dalam moto Indonesia: Bhinneka Tunggal Ika atau Kesatuan Dalam Kepelbagaian (Unity in Diversity).  Konsep ini bagi menjelaskan bagaimana Indonesia dapat menyatukan masyarakat yang bersifat pluralistik—merangkumi 300 kumpulan etnik yang terdiri daripada orang asli atau bumiputera; empat kumpulan etnik asing yang terdiri daripada asal usul keturunan Cina, Belanda, Arab, dan India; lima agama utama dunia yang terdiri daripada Islam, Protestan, Khatolik, Budha, dan Hindu; dan beberapa kepelbagaian yang lainnya.  Dalam masa yang sama, Mely menjelaskan bahawa masyarakat Indonesia mempunyai ciri “dualistik”.  Ini kerana jelasnya, majoriti masyarakatnya tinggal di kawasan luar bandar atau pedalaman (rural-based), manakala masyarakat minoriti pula tinggal di kawasan urban/bandar.  Keadaan ini telah mewujudkan jurang pendidikan dan ekonomi di antara kedua-dua masyarakat tersebut. Tambahan pula, sifat pluralis masyarakatnya telah membentuk suatu hubungan sosial di antara pelbagai kumpulan yang disifatkan sebagai hubungan minoriti-majoriti (minority-majority relations), sementara sifat “dualistik” yang wujud itu telah menghasilkan situasi dikotomi yang berpotensi tercetusnya ketegangan hubungan sesama mereka akibat dari keadaan yang tidak seimbang atau asimetrik (wujud unsur ketidakadilan).

Seterusnya konsep ketiga dalam perbincangan Mely iaitu pembentukan bangsa (nation-building).  Konsep ini merupakan sesuatu yang diistilahkan sebagai “obsesi” bagi menjelaskan betapa konsep ini begitu penting dalam mengerti kemerdekaan Indonesia buat presiden pertamanya, Soekarno, dimana beliau telah menyatakan dengan jelas melalui penulisannya bertajuk “Nationalism, Islam, and Marxism’ pada tahun 1926 sewaktu berumur 26 tahun.  Lebih bermakna lagi, tunjangan konsep pembentukan bangsa ini telah dijelaskan oleh Soekarno dalam ucapan beliau bertajuk “Lahirnya Pantja Sila” (The Birth of Pantja Sila) pada 1 Jun 1945 sebagai persiapan kemerdekaan Indonesia.  Berikut rangkuman ucapan penting Soekarno, yang dipetik oleh Feith dan Castles (1970):

“…the Indonesia Nation is the totality of all the human beings who, according to geopolitics ordained by God Almighty, live throughout the unity of the entire Indonesian archipelago from the northern tip of Sumatra to Irian.  All of them, throughout the islands!  Because amongst these 70 million human beings “le desire d’etre ensemble” already exist; there is already “Charaktergemeinschaft.”  The Indonesian nation, the Indonesian people, the people of Indonesia total 70 million persons, but seventy million people who have already become one, one, once again one!” (Petikan dari Feith dan Castles (1970) oleh Mely G. Tan 2004)

Menariknya, lima asas penting yang terkandung dalam Pancasila Indonesia (di Malaysia kita sebut Rukun Negara) telah dihuraikan oleh Soekarno dalam satu istilah, iaitu “gotong royong’ atau mudahnya, beliau menyebut “Indonesia sebagai negara gotong royong”—suatu prinsip gotong-royong (kerjasama) di antara yang miskin dan kaya, di antara Muslim dan Kristian, dan sebagainya.  Hinggakan Presiden Megawati Soekarnoputri pada masa beliau memerintah Indonesia, telah menamakan kabinetnya sebagai Kabinet Gotong Royong.

Konsep keempat iaitu etnik Cina yang merupakan fokus utama, dimana Mely telah menjelaskan, sewaktu kejatuhan Soeharto, etnik Cina melihatnya sebagai satu peluang untuk keyakinan sivik, sosial, dan hak-hak kebudayaan mereka dengan identiti etnik secara spesifik,  berhak ke atas hak yang sama dan tanggungjawab sebagai warganegara Indonesia.  Mereka (etnik Cina) merasakan bahawa tidak wujud keadilan dan berlaku diskriminasi sepanjang 32 tahun pemerintahan Soeharto, dan kini—atas semangat reformasi pasca-Soeharto—mereka ingin melihat suatu perubahan undang-undang dan dasar kerajaan yang memberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam aktiviti politik di Indonesia.  Maka wujud satu kumpulan pendesak etnik Cina yang dikenali sebagai Perhimpunan Indonesia Tionghua (INTI) bertujuan untuk menjelaskan peranan dan sumbangan etnik tersebut dalam lipatan sejarah dan pembangunan negara Indonesia dengan lebih terbuka (melalui forum-forum), selain mendesak agar mereka punya hak untuk mempraktis budaya dan tradisi asal, sebagai warga Indonesia.  Keadaan ini pastinya telah mewujudkan suatu tekanan kepada pemerintah dalam mencatur semula struktur sosial yang dilihat sebagai suatu masalah baru buat Indonesia, bagi mengelak ketegangan di antara etnik atau kaum daripada berlaku.

Berdasarkan kajian kes yang dibincangkan oleh Wang Gungwu dan Mely G. Tan di atas—walau pun memfokus  kepada kes etnik Cina dalam konteks pembentukan negara bangsa—namun secara zahirnya dapat disimpulkan bahawa perbezaan kaum adalah masalah kepada pembentukan negara bangsa.  Dan secara tidak langsung bersetuju dengan kenyataan bahawa masalah pembentukan negara bangsa adalah berkaitan dengan perbezaan kaum.  Tetapi, saya tetap merasakan bahawa perbezaan kaum bukan masalah kepada pembentukan negara bangsa.  Neale Donald Walsch (2002) ada menyatakan bahawa perbezaan yang wujud (atau diwujudkan) sesama kita (manusia) adalah punca berlakunya pembunuhan atau peperangan (konflik) di antara manusia itu sendiri.  Berikut apa yang Walsch nyatakan:

“There is nothing “wrong” with having different interpretations. What may not benefit you, however, is separating yourself over these differences, making each other wrong because of these differences, and killing each other as a result of these differences.” (Neale Donald Walsch (2002).

 

Bersambung…

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: