(Sambungan) Cabaran Pembentukan Negara Bangsa: Kritikan Dan Pendapat

Negara adalah wajah dunia yang kita inginkan – suatu cerminan makna dalam konteks yang lebih luas.  Ini kerana, sifat dunia yang mempunyai penghuni yang pelbagai daripada kepelbagaian bangsa, bahasa, kepercayaan agama, budaya, dan sebagainya, menuntut satu titik penerimaan yang bersifat universal agar dunia ini menjadi indah dan selamat untuk didiami.

Saya ingin menegaskan kembali beberapa katakunci yang terhasil daripada perbincangan di atas—iaitu negara, kesatuan, perbezaan, dan pilihan—sebagai unit analisis dan aspek penting dalam membincangkan hal yang berkaitan dengan pembentukan negara, mahu pun pembentukan negara bangsa.  Sehubungan itu, pendekatan pluralis dan agama adalah sejajar dan dilihat sebagai aspek yang bersangkutan, maka perlu diambil kira.  Ini kerana, kesedaran akan wujudnya istilah negara bangsa (nation-state) itu sendiri hanya wujud sekitar awal abad ke-20 (Wang Gungwu 2004)—berbanding istilah negara (state)—disebabkan kesukaran yang melanda kebanyakan negara-negara pasca-kolonial untuk mengurus perihal dalaman negara berkenaan bangsa (kaum).  Adalah tindakan dangkal sekiranya para sarjana memperakui akan keperluan pembentukan negara bangsa—lebih daripada memperakui keperluan pembentukan negara itu sendiri.

Deliar Noer (1996) menjelaskan bahawa Ibnu Khaldun (1332-1406) telah memulai membezakan antara masyarakat dan negara.  Jelas beliau, kita tentunya masih ingat bahawa pemikiran-pemikiran yang berasal dari Yunani Kuno tidak membezakan ini; negara dan masyarakat bagi mereka adalah identik.  Ibnu Khaldun telah mengemukakan bahawa berhubung dengan tabiat dan fitrah kejadiannya, manusia itu memerlukan masyarakat.  Ertinya, bahawa manusia itu memerlukan kerjasama antara sesamanya untuk dapat hidup; baik ini untuk memperoleh makanan sehari-hari mahupun untuk mempertahankan diri.  Tetapi manusia juga mempunyai sifat-sifat kehaiwanan, sehingga diperlukan seorang wazi’ (pemimpin) yang mempunyai kewibawaan dan kekuasaan (mulk).  Maka, masyarakat yang mempunyai wazi’ yang disertai mulk tadi, itulah negara.

S.M. Zakir (2010) pula menjelaskan mengenai pluralisme dengan menyatakan bahawa asas penting kepada konsep pluralisme ini berdiri dalam pernyataan hak asasi manusia yang dimaktub berasaskan nilai-nilai liberalisme Barat.  Sebagai contoh umum, beberapa ketetapan dalam piagam hak asasi manusia konvensyen Bangsa Bersatu memperlihatkan bagaimana nilai-nilai liberal Barat dijadikan asas kepada pandangan sejagat.  Penetapan hak asasi manusia yang dimaktubkan sebagai artikel 6 Konvensyen Bangsa Bersatu 1976 menyatakan; The States Parties to the present Covenant recognize the right to work, which include the right of everyone to the opportunity to gain his living by work, which he freely chooses or accepts, and will take appropriate steps to safeguard this right.  Bagaimana punca kepada wujudnya perbezaan (masalah), S.M. Zakir ada menjelaskan, pluralisme menekankan prinsip hak asasi manusia yang berasaskan individu sebagai puncak kepada hukum keadilan.  Ia bermula dengan penegasan hak sama rata manusia tanpa mengira agama dan bangsa.  Dalam pada itu, ia menyerapkan prinsip liberalisme Barat yang menegaskan kebebasan individu dan penolakan bahawa kebenaran hanya ditentukan secara mutlak oleh agama.  Sebaliknya kebenaran bukan sesuatu yang eksklusif (lingkungan nilai dan prinsip agama) tetapi adalah sesuatu yang terbuka dan boleh sahaja diterima dari pelbagai sumber termasuk daripada nilai dan prinsip pelbagai agama serta ideologi pemikiran individu. Pluralisme kemudian berkembang dalam pemahaman sosiopolitik mewujudkan apa yang disebut sebagai consociotional politic, dalam bidang sosio-ekonomi melahirkan globalisasi, dalam sosio-budaya melahirkan liberal-capitalist mass culture atau budaya hedonisme, dan dalam agama melahirkan sosiologi agama atau anthropocentric perspective.

Tambah beliau lagi, persoalan tentang pluralisme mula-mula muncul dalam konteks pemahaman sosial, yakni hubungan kemasyarakatan dalam suasana baru setelah era penjajahan kolonial.  Apa yang dikatakan suasana baru tersebut ialah munculnya masyarakat heterogenus iaitu percampuran antara masyarakat peribumi dengan masyarakat pendatang ataupun kewujudan masyarakat daripada pelbagai etnik yang hidup bersama.  Maka masyarakat baru yang wujud ini adalah sebuah masyarakat plural atau masyarakat majmuk. Sesuai dengan sifat masyarakat majmuk, ia turut membawa kepelbagaian cara hidup berlandaskan budaya, agama atau kepercayaan masing-masing etnik. Konsep tentang pluralisme iaitu bagaimana kepelbagaian tersebut dapat diraikan dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang bersatu dalam kepelbagaian tersebut, muncul menjadi pernyataan terhadap keinginan untuk hidup saling menerima dan meraikan perbezaan.  Pluralisme melihat bagaimana pertembungan masa lalu dan masa kini dapat melakurkan sebuah masyarakat baru yang tidak lagi berpegang kepada nilai-nilai fundamental etnik, agama, dan budaya yang terpisah-pisah tetapi sebaliknya mewujudkan sebuah masyarakat baru yang beridentitikan nilai masa hadapan.

Konsep asas dalam pembentukan negara adalah adalah tanah, rakyat, kerajaan, dan kedaulatan.  Manakala konsep asas dalam pembentukan negara bangsa adalah negara, bangsa, kerajaan, dan perlembagaan.  Sekiranya diteliti kedua-duanya, wujud kontradiksi awal pemahaman tentangnya; yang menunjukkan bahawa konsep pembentukan negara bangsa adalah sub kepada konsep pembentukan negara, kerana terdapat asas negara di dalamnya, dan bukannya bagi menjelaskan (memahamkan) bahawa negara bangsa adalah negara—suatu istilah yang diputarbelitkan.  Justeru, kita perlu bersetuju bahawa kepentingan kepada asas pembentukan negara bangsa tidak boleh melangkaui asas kepentingan pembentukan negara, kerana wujud elemen kedaulatan yang perlu dititik beratkan.  Kontradiksi antara keduanya perlu diperjelas bagi mendapat gambaran tepat, bagi mencari masalah dan isu sebenar, dan tidak lari daripada membincang masalah sebenar—the root of cause.

Perbezaan kaum bukanlah masalah kepada pembentukan negara bangsa sekiranya dinilai dalam erti kata pembentukan negara.   Ini kerana, negara bangsa boleh dibentuk (Wang Gungwu 2004) sekiranya kita benar-benar serius ke arah itu.  Hal ini pastinya menuntut pilihan (choice) dan pengorbanan oleh individu atau rakyat itu sendiri.  Kita ambil contoh kes etnik Cina dalam perbincangan tentang hal yang sama oleh beberapa sarjana melalui buku suntingan Leo Suryadinata (2004) tersebut.  Kita dapat lihat bahawa faktor berlakunya “masalah” pembentukkan negara bangsa di Malaysia, Indonesia, dan Singapura adalah berpunca daripada etnik Cina yang datang dari negara China sewaktu era kolonial di rantau Asia Tenggara atas urusan dan aktiviti ekonomi.  Sebelum negara-negara tersebut merdeka, telah berlaku suatu proses membuat “pilihan” (suatu keputusan) tawar menawar di antara para elitis untuk membentuk consociotional politic (teori permuafakatan: Lijphart 1968) dikalangan wakil-wakil dari kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum (kaum pendatang dan kaum asli/bumiputera), hingga membentuk suatu persetujuan yang dizahirkan dalam perlembagaan negara; walaupun terdapat perbezaan dari segi teknikal, namun semangat penubuhannya (the spirit of) tetap sama—untuk mewujudkan sebuah negara.  Tidak muncul masalah perbezaan kerana semua kaum telah bersetuju.  Tetapi mengapa sekarang tidak bersetuju pula?

Sekiranya ditinjau, unsur negara bangsa di negara Indonesia dan Singapura, lebih sedikit berbanding dengan Malaysia.  Begitu juga dengan semangat patriotisme dan nasionalisme di antara kedua-dua negara tersebut dengan Malaysia.  Ukurun ini dinilai berdasarkan nilai asas sebagai bukti kepada identiti bangsa sesebuah negara iaitu melalui bahasa pertuturan yang digunakan, perkongsian dan penerimaan budaya dominan yang sama, dan hal ini berpunca (pastinya) daripada dasar pendidikan negara masing-masing. Kerana ada yang membenarkan hanya satu aliran sahaja—aliran kebangsaan, dan ada yang membenarkan aliran vernakular.  Sudah tentu ini merupakan pilihan yang dibuat oleh wakil dari kaum-kaum tertentu, sama ada untuk memilih untuk membenarkan hal ini berlaku, atau sebaliknya.  Justeru, apakah kebaikan yang didapati hasil pilihan yang dibuat itu kepada negara, mahupun kepada negara bangsa?

Memetik kata-kata Ridhuan Tee Abdullah (2011), beliau telah mengkritik tindakan beberapa pemimpin kaum Cina di Malaysia dengan menyatakan jika dari kecil beliau (orang Cina) mendapat pendidikan sekolah rendah Cina, kemudian belajar di sekolah menengah Cina, masuk universiti Cina, beliau yakin, adalah sukar bagi orang Cina untuk bertutur dalam bahasa Melayu (bahasa kebangsaan)—saya panjangkan; bekerja di syarikat yang pastinya dimiliki orang Cina dan tinggal di kawasan Cina.  Bukankah seperti wujudnya sebuah negara dalam negara. Dan beliau mempersoalkan pula, berapa ramai ahli politik dan ahli perniagaan Cina apabila disoal dalam bahasa Melayu, terus tiba-tiba beralih kepada bahasa Inggeris atau bahasa ibunda.  Baiklah, persoalan saya dalam hal ini, adakah sekiranya bahasa selain daripada bahasa Melayu ingin diangkat dan digantikan sebagai bahasa kebangsaan, maka adakah kaum Melayu akan bersetuju?  Apakah masalahnya sekira bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa kebangsaan secara menyeluruh—meliputi pertuturan umum dan bahasa ilmu?  Jadi, dasar pendidikan negara yang dilihat sebagai peranan utama bagi membentuk perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian, dan sikap tolak ansur dikalangan masyarakat, telah gagal dalam memainkan peranannya dek pemahaman cetek tentang kepentingan negara (nasional interest).

Polisi sosial masyarakat yang longgar oleh pemerintah mewujudkan ruang kebejatan sosial itu sendiri, sehingga membuat tuntutan dan desakan yang merugikan negara (bangsa).  Ini semua atas dasar kebebasan dan hak asasi manusia yang telah didefinisikan oleh pihak-pihak tertentu secara tidak konsisten dan tidak proposional, serta ghairah dalam menuntut kuasa.  Yang mana merupakan susulan (kesan) kepada kelemahan dasar pendidikan negara tersebut—akibat fahaman pluralisme yang berkembang segar dalam mengarah polisi sosial dalam komposisi dan struktur yang tidak jelas.  S.M Zakir sekali lagi menegaskan, masyarakat plural bukan sekadar masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama atau bahasa. Tetapi masyarakat plural menyangkuti soal kesaksamaan dalam politik, ekonomi, budaya termasuk agama. Kesaksamaan dalam masyarakat plural ini dicapai dengan mewujudkan nilai baru yang menghapuskan nilai fundamental seperti hak bangsa peribumi, penghapusan nilai kebangsaan yang berteraskan nilai peribumi, dan terakhir sekali akidah agama.  Pluralisme menekankan prinsip hak asasi manusia yang berasaskan individu sebagai puncak kepada hukum keadilan.  Ia bermula dengan penegasan hak sama rata manusia tanpa mengira agama dan bangsa.  Dalam pada itu, ia menyerapkan prinsip liberalisme Barat yang menegaskan kebebasan individu dan penolakan bahawa kebenaran hanya ditentukan secara mutlak oleh agama.  Sebaliknya kebenaran bukan sesuatu yang eksklusif (lingkungan nilai dan prinsip agama) tetapi adalah sesuatu yang terbuka dan boleh sahaja diterima dari pelbagai sumber termasuk daripada nilai dan prinsip pelbagai agama serta ideologi pemikiran individu.

KESIMPULAN

Sesebuah negara tidak boleh lari dari unsur kesatuan melalui indikator—satu identiti bangsa yang menggunakan satu bahasa sebagai bahasa rasmi dan bahasa pertuturan, satu budaya, satu impian, satu harapan, dan sebagainya.  Sekiranya kepelbagaian (yang merupakan masalah) itu dibenarkan sekalipun, maka ia tidak boleh menjejaskan kepentingan nasional (negara), justeru, melihat konsep perpaduan dan integrasi dalam masyarakat harus dilestarikan dengan tidak melayan segala tuntutan yang bersifat kepentingan kaum-kaum tertentu berbanding kepentingan nasional negara tersebut.  Bersetuju dengan pandangan Wang Gungwu bahawa negara bangsa boleh dibentuk, sekiranya kita serius ke arah itu. Namun tidak bererti saya bersetuju dengan kenyataan kepentingan membentuk negara bangsa melangkaui kepentingan membentuk negara itu sendiri, kerana ianya nyata telah dieksploitasi dan dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi mengetepikan kepentingan asas itu sendiri, dalam konteks pembentukan negara.  Faktor globalisasi yang dijelaskan oleh Wang Gungwu dan Kenechi Ohmae sebagai ancaman kritikal, harus dilihat serius oleh setiap negara yang bermasalah mengatur masyarakat majmuknya.  Jadi, saya ingin merumuskan di sini sebagai pendapat, yang mana, hanya terdapat dua pendekatan sebagai rumusan kepada penyelesaian mutlak terhadap masalah pembentukan negara bangsa.  Mengaplikasi (menjunjung tinggi) secara menyeluruh konsep perjanjian masyarakat (social contract) yang dipersetujui oleh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam sesebuah negara atau menerima konsep asimilasi sebagai suatu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik (kaum) berlainan budaya hingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama.  Take it or leave it, that is the choice that we should made at the very first place.

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: