MODEL KAPITALIS: SUATU ANALISA PERMASALAHAN KEHIDUPAN SEJAGAT

Kita tidak akan keluar dari daerah (permasalahan) ini, selagi kita masih bermain-bergurau di daerah tersebut.  Kita disuruh berfikir di luar kotak, namun, adakah kita berfikir dikotak yang sama?  Kita dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena, tetapi kita tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya.  Barangkali bahasa yang selalu kita gunakan, agak sukar untuk menterjemah realiti yang kita gambarkan.  Diharap, nukilan ini dapat membantu kita memahami dengan lebih jelas, apakah yang berlaku di dunia pada hari ini dan dalam kehidupan kita sehari-hari.  Selamat membaca. 

Imej bersumber dari atbl1.blogspot.com

Sumber imej dari atbl1.blogspot.com

Oleh al-Filsuf.

“Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motorsikal ada paku-paku tajam di taburkan. Ini untuk tujuan membocorkan tayar. Tidak berapa jauh dari itu ada iklan – tukartiub. Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di penurun jalan sesudah terowong lebuh raya Karak – sering minyak ditaburkan. Pernah keretanya tergelincir sekali. Tidak jauh terowong ini ada lori tarik kereta menunggu. Ini adalah contoh taktik untuk menjalankan perniagaan. Ini cara untuk mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan yang menjadi rukun iman ialah keuntungan. Semua yang berniaga ingin mendapat untung. Lebih banyak untung lebih cepat jadi kaya. Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 26 orang warga negara kita telah ditewaskan oleh virus H1N1. Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia. Apa sebenarnya semua ini? Pada tahun 1963 – satu persidangaan telah diadakan di Iron Mountains tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika sedang bertarong di Vietnam, Laos dan Kamboja.  Ini adalah persidangan para pemikir untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku perang.” (Hishamuddin Rais 2009)

Proses produksi dalam kapitalisme dimulai dengan menanam modal.  Setelah itu, ia akan diolah oleh kaum buruh menjadi produk tertentu. Kemudiannya ia akan dijual dan hasil keuntungannya ditanam kembali menjadi modal baru. Pola pusingan ini dapat kita temui dalam situasi semasa.  Menurut Dwizatmiko (2010), Marx telah menggambarkan pola tersebut sebagai M-C-M, iaitu Money-Comodity-Money.  Modal dijana untuk menjadi komoditi (produk), komoditi menjadi modal yang lebih besar daripada jumlahnya yang pertama.  Pola tersebut menurut beliau merupakan hukum besi kapitalisme.  Dan sekiranya salah satu ‘nadi’ dalam pola tersebut tidak berfungsi, seperti modal terhambat, atau penghasilan produk atau komoditi terlalu berlebihan dan tidak terjual—demi penghasilan modal yang lebih besar, maka dalam situasi ini berlakulah apa yang selalu kita sebut sebagai “krisis ekonomi”.

Hishamuddin Rais adalah seorang aktivis sosial, penulis, dan pemikir tempatan yang begitu banyak mengkritik, terutamanya berkenaan dengan model kapitalis ini.  Pernyataan santai beliau yang penuh dengan maksud tersirat seperti di atas, dapat menjelaskan tentang bagaimana sebuah sistem itu telah membentuk dogma masyarakat lokal sesebuah negara dan seterusnya membentuk rangkaian global.  Saya melihat tentang soal nilai kemanusiaan; tentang sebab dan akibat, dan moral daripada kisah cerita Hishamuddin Rais tersebut.  Namun, dimanakah kelemahannya (Model Kapitalis)? Petikan kata-kata beliau – “…Dalam dunia perniagaan yang menjadi rukun iman ialah keuntungan…” Maka, keuntungan adalah suatu kewajiban atau tujuan mutlak kepada sistem kapitalis.  Setiap modal yang dilaburkan, si kapitalis akan memaksimumkan keuntungan (merupakan sebab) yang boleh dihasilkan.  Akibatnya, seperti apa yang telah dinyatakan oleh Iggi Haruman Achsien (2003), iaitu: “…nilai yang muncul dalam model ekonomi belakangan ini hanyalah nilai kuantitatif yang cenderung mengabaikan faktor sosial psikologis, filosofis, dan juga budaya…” Hishamuddin kemudian membongkar laporan Iron Mountains, iaitu antaranya: “…pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba (untung) kepada kaum korporat; perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial; dan melahirkan musuh sebagai strategik politik…”  Tambah beliau, dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.  Di sini jugalah bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism.

Isu pemanasan global sangat hangat diperkata dan diperdebatkan sejak kebelakangan ini.  Ia juga merupakan suatu masalah besar dalam sejarah kehidupan kemanusiaan, tentang bagaimana aktiviti manusia di dunia ini tidak boleh menghalang kepada hukum alam.  Pelepasan gas rumah hijau yang tidak terkawal, didapati merupakan faktor utama kepada permasalahan ini.  Dunia diancam oleh perubahan iklim yang tidak menentu.  Panas terik, hujan lebat, ribut, banjir, dan kemarau di seluruh negara dunia telah mengundang rasa bimbang akan apakah bentuk dunia pada masa akan datang; sekurang-kurangnya dalam tempoh 50 tahun lagi, seandainya langkah awal tidak di ambil sekarang. Permasalahan ini sememangnya dilihat dari sudut sejagat terhadap masa depan penduduk dunia yang menuntut commitment semua negara untuk memperbetulkan langkah atau penyusunan semula aktiviti pembangunan (ekonomi) diperingkat domestik di negara masing-masing.  Bagi negara maju, terutama sekali Amerika, ia mahu mengambil sikap berkecuali dalam hal ini.  Namun sebuah negara yang dikatakan penyumbang besar dalam pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) adalah China.  Ini kerana, China merupakan sebuah negara membangun yang sangat proaktif dalam aktiviti ekonominya.

“Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat.  Apa yang mereka pertahankan bukan saekar kebun getah atau sebuah Kancil. Yang mereka pertahankan ialah sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembongkan saku dan dompet mereka.  Sistem ini telah menjadikan mereka senang lenang dan kaya raya dengan harta berbilion bilion dolar dan ringgit.” (Hishamuddin Rais 2009)

Dalam model kapitalis ini, kehidupan manusia perlu lebih proaktif dan berdaya saing.  Ini selalu kita dengar, kita lihat, dan mungkin dalam diri kita sendiri mempunyai hakikat yang kita sendiri terimanya.  S.M. Zakir (2003) menjelaskan, weltliteratur adalah wajah globalisasi awal budaya yang dibentuk secara saintifik dalam faham yang lembut dan harmoni; yang mempunyai kesan yang sama sekali berbeza dengan bentuk globalisasi keras yang dibina oleh golongan juggenaut masa kini.  Kita sebut tentang betapa perlunya sikap berdaya saing atau persaingan.  Tender dibentuk dan di keluarkan untuk persaingan.  Anak-anak kita belajar dan bekejar-kejaran sesama sendiri untuk merebut tempat di universiti.  Suatu jawatan dalam syarikat diiklankan untuk tujuan persaingan.  Semuanya perlu ada unsur persaingan dalam kehidupan kita pada hari ini.  Mereka yang tertinggal atau ketinggalan juga, harus perlu bersaing sesama sendiri untuk terus hidup (survive).  Begitulah lakaran sebuah budaya lokal sesebuah negara yang telah dibentuk oleh model kapitalis.  Demokrasi telah menghalalkan ia berlaku.

“Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia dalam dunia hari ini sebenarnya adalah kuasa kaum pemodal.  Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik dan parti apa yang turun.  Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan.  Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.” (Hishamuddin Rais 2009)

Namun dalam konteks perbincangan ini, Marx sekali lagi mengkritik tentang soal persaingan; dengan menjelaskan proses yang menampakkan atau menggambarkan kelemahan model kapitalis ini.  Pertama, ketika suatu jenis komoditi (produk) baru muncul di pasaran, dan ia menguntungkan, maka pesaing-pesaing akan segera berebut untuk masuk dalam pasaran.  Pada awalnya, ia amat menguntungkan.  Tetapi, setelah begitu banyaknya persaing-pesaing yang masuk dalam pasaran, keuntungan berkurangan.  Ini kerana penawaran lebih tinggi daripada permintaan.  Kek keuntungan itu tadi telah dibahagi-bahagian kepada sejumlah besar pesaing-pesaing dalam pasaran yang sama.  Maka kesannya, harga akan turun.  Kedua, sekiranya kapitalis pertama memilih untuk bertahan dalam persaingan dalam persaingan industri tersebut, ia akan mengurangkan upah buruhnya, demi meningkatkan daya saing dan keuntungannya.  Lalu kaedah ini, akan ditiru dan diikuti oleh para kapitalis (pesaing) yang lainnya.  Kesannya, pendapatan para pekerja; dan kuasa beli masyarakat menurun.  Disebabkan itu, barangan menjadi tidak laku. Dan ketiga, menanam modal untuk mengguna pakai teknologi baru dalam pengeluaran.  Hanya pesaing yang mempunyai upaya modal yang besar sahaja yang mampu menggunakan cara ini.  Bagi yang tidak mampu, mereka ini tidak berdaya saing dan gulung tikar.  Di sini Marx menyatakan, kapitalisme pada akhirnya terdiri daripada beberapa pemodal (pesaing) sahaja dan kemudian masalah klasik akan kembali mereka hadapi.  Maka oleh sebab itu, Marx mengkritik dengan menyatakan bahawa rakyat yang bekerja itu mesti diberi upah sesuai dengan kemampuan kerja mereka.(Dwizatmiko, Kritik Karl Marx terhadap ekonomi kapitalisme, 2010, hlmn. 5.)

Melihat dengan lebih dekat, keadaannya di dalam negara, berkenaan dengan masalah setinggan yang begitu hangat didebat dan dibincang pada tahun 1990 an dan awal 2000 an.  Dan lebih dekat lagi di tempat tinggal saya di sekitar Petaling Jaya Selatan, betapa kawasan setinggan (perkampungan) telah diratakan keseluruhannya.  Apakah masalahnya masyarakat setinggan ini membina rumah “ala reban” di tanah milik kerajaan?  Melalui aturan demokrasi, bukankah kerajaan yang dibentuk adalah atas mandat rakyat, rakyat yang memilih?  Jadi logiknya, tanah itu milik rakyat atau milik kerajaan?  Kawasan setinggan (perkampungan) yang telah diratakan itu tadi, sebenarnya untuk memberi laluan kepada projek komersil yang lebih menguntungkan kerajaan daripada hasil cukai dan demi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.  Lalu masyarakat setinggan itu tadi ditempatkan dan disesak-sesakkan di rumah tinggi yang strukturnya dibina dengan menggunakan plat-plat konkrit yang disusun-susun membentuk rumah tinggi, atau rumah pasang-siap.  Siapa yang untung? Rakyat atau sebilangan kecil kontraktor atau syarikat-syarikat (si kapitalis) yang membangunkan kawasan tersebut?

“Fukuyama, mengatakan – dengan menyebut diantaranya Milton Friedman, Gary Becker, dan George Stigler – bahawa mereka, katakanlah, delapan puluh persen benar.  Eighty percent correct.  Telah membongkar “kebenaran” (atau kebetulan, betul=kebenaran?) penting tentang uang dan pasar karena model fundamental yang rasional, tingkah laku yang self-interest telah menyumbang delapan puluh persen sepanjang waktu.  Tapi ada “The Twenty Percent solution” yang tertinggal, yang tidak diberikan neoclassical economics.  Padahal Adam Smith pasti mengerti betul kalau ekonomi terkait dengan kehidupan sosial, tidak dapat dipahami jika terpisah dari kebiasaan, moral, dan tingkah laku masyarkat.  Lihat saja “The Theory of Moral Sentiments” yang ditulis Adam Smith.” (Iggi Haruman Achsien 2003)

Barangkali tidak ada unsur kemanusiaan dalam kamus model kapitalis.  Semuanya akan diterjemahkan dengan keuntungan.  Solusi adalah untung.  Masalah juga untung.  Yang rugi adalah rakyat.  Adalah amat sukar sekali apabila kita ingin menjadi aktor dalam pentas kapitalis.  Rakyat terkeliru dengan dogma yang dibentuk dalam didikan agamanya yang menyeru supaya hidup dalam kesederhanaan, dalam lingkungan kuasa penentu manusia yang terancang.  Lalu, kesempatan ini telah diambil oleh mereka yang pastinya menampak keadaan ini sebagai keuntungan. Rakyat dibohong dan diperbodoh dengan retorik politik seperti apa yang dijelaskan oleh saudara Hishamuddin: “…Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi….”  Dan apa yang mengerikan adalah apabila rakyat menerima dan menyambut baik langkah kerajaan untuk menswastakan sektor-sektor seperti pendidikan, hospital, air, elektrik, dan sebagainya.

Pendapat yang menyatakan bahawa kapitalisme akan hancur dan ianya akan digantikan dengan sosialisme, adalah bersifat subjudis, dan tidak melihat penyelesaian secara meyeluruh melalui perspektif universal.  Begitu juga demokrasi dan komunis.  Sebagai seorang yang beragama, kita perlu tahu bahawa, aturan di dunia ini hanya mempunyai dua perdekatan iaitu aturan (sistem) Tuhan atau aturan manusia.  Kapitalisme yang dihalalkan oleh demokrasi, sosialisme oleh komunis, atau apa sahaja yang kewujudannya adalah daripada manusia, maka ia bersifat ideologi, iaitu berdasarkan akal manusia itu sendiri—apa yang manusia inginkan.  Mungkin sosialisme yang diilhamkan oleh Marx dilihat sebagai salah satu pilihan yang ada, tetapi ianya masih tidak dapat menjawab tentang permasalahan keperluan rohaniah dalam masyarakat sebagai aktor untuk memainkan peranan sebagai pelaku ekonomi, politik, dan sosial.  Rentetan itu, mungkin sekali kita boleh katakan, pemikiran Marx adalah diceduk dan digubah daripada sistem Islam (Tuhan).  Disebabkan itu, sosialisme kita masukkan dalam kategori aturan oleh manusia itu sendiri.  Kedua-dua sistem Timur dan Barat itu sebenarnya ingin menutup ruang kebebasan manusia untuk kembali kepada sistem Tuhannya.  Suatu sistem atau aturan atau cara (untuk) hidup di dunia ini.  Al-Anbariy (2008) menegaskan bahawa kedua-dua sistem (Timur dan Barat) itu sama sekali tidak boleh disamakan dengan Islam.  Beliau menyatakan, amat salah ungkapan yang selalu diucapkan di pentas-pentas politik dan sesi-sesi ilmiah, iaitu “sesungguhnya Islam ialah sistem demokrasi.”  Tambah beliau, ketika komunis diterima dengan meluas di dunia suatu ketika dahulu, terdapat segolongan orang yang menyatakan bahawa komunis itu hanyalah wajah baru sistem politik Islam.  Tegasnya, mereka yang berpendapat demikian, tidak mengkaji Islam secara ilmiah.  Lihat sahaja hukum-hukum atau apa yang mereka istilahkan sebagai undang-undang, dengan menghalalkan dan mengharamkan menurut mojoriti dan kepentingan dikalangan mereka (rakyat)—diberi kuasa legislatif.

Masalah-masalah yang wujud dalam kehidupan manusia hari ini telah menampakkan kelemahan model kapitalis yang telah dibenarkan (dihalalkan) oleh pendukung-pendukung demokrasi negara.  Pendekatan solusi terhadap permasalahan yang wujud dengan memahami hanya terdapat dua sistem iaitu sistem Tuhan dan sistem manusia, adalah kritikal dan perlu ditekankan, supaya kita tidak berlegar-legar di wilayah kehancuran yang sama.  Kenapa tidak, penyelesaian kepada masalah yang dihadapai oleh manusia pada hari ini dan dikembalikan kepada Penciptanya? Bukankah sejarah ketamadunan dan kecemerlangannya sudah terbukti dahulu?  Dan bukankah Islam itu sebuah aturan hidup oleh Tuhannya yang sudah lengkap dan universal—melangkaui Timur dan Barat?

“Bukan Yang Ada itu tidak ada. Melainkan merekalah yang tidak bertemu, mengelak jika telah bertemu, kerana kurang berani atau kerana fikiran tidak merdeka, kerana diikat oleh yang telah terbiasa, walaupun golongan ini kadang-kadang menamakan dirinya golongan yang berfikir merdeka.” (Hamka 2002)

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: