Pasca-moden: Suatu Gagasan Baru Selepas Moden

Oleh al-Filsuf

“Postmodernism is an elusive idea that is not easily defined. Postmodernism is neither a theory nor a concept; it is rather a sceptical attitude or aesthetic that “distrusts all attempts to create large-scale, totalizing theories in order to explain social phenomena.”” (Gary Minda 1996)

Kata-kata di atas merupakan gambaran pendapat Gary Minda (1996) berkenaan dengan Pasca-Moden (postmodern).   Beliau telah menyatakan bahawa pasca-moden ini amat sukar didefinisikan dan merupakan suatu idea yang tidak jelas.  Selain itu, beliau juga menyatakan pasca-moden bukanlah suatu teori mahu pun konsep; ianya lebih bersifat suatu sikap atau minda yang skeptikal (ragu-ragu) atau estetik (nilai) yang menolak segala bentuk teori yang menerangkan berkenaan fenomena sosial.

Sumber imej dari francisberry.com

Di sudut lain pula, pendapat menyatakan pasca-moden adalah satu jangka masa yang dikaitkan sebagai satu era selepas era moden.  Walau bagaimana pun, ia dikatakan masih lagi kabur kerana terdapat persoalan seperti:  Apakah ia merujuk kepada era selepas moden atau lanjutan era moden itu sendiri?  Mengambil kira skop yang luas dan pelbagai, ia seakan merupakan suatu transformasi budaya fikir yang bersifat universal dan lebih praktis kerana begitu optimis menolak segala konsep dan teori moden.  Bayangan inilah yang membuatkan para pengkaji cuba menyelinap masuk ke pemikiran pasca-moden bagi mencari jawapan atas persoalan-persoalan yang timbul.

Teori pasca-moden yang melihat fenomena sosial dalam bentuk yang skeptikal (ragu-ragu atau prasangka) adalah berdasarkan persoalan-persoalan seperti berikut:

a. Apakah asas pemikiran pasca-moden?;

b. Apakah yang dimaksudkan dengan fenomena sosial (dalam konteks ini?);

c. Mengapakah teori pasca-moden melihat fenomena sosial dalam bentuk yang skeptikal?.

Kemunculan teori-teori baru adalah hasil daripada pemerhatian yang mendalam terhadap teori-teori sedia ada yang diguna pakai atau dipraktikkan.  Para pemikir memerhatikan setiap sudut secara analitikal andai ada ruang-ruang kritikan atas kelemahan atau kecacatan yang wujud.

Menurut Gary Minda, Michel Foucault dan Edward Said menyatakan barat telah mendifinisikan identiti sosial menurut perspektif dan norma mereka, lantas mengenepikan identiti kumpulan negara dikalangan bukan barat.  Apa yang dirasakan baik bagi mereka (barat), belum tentu baik bagi yang lain (selain barat).  Berikut adalah apa yang Gary Minda maksudkan:

“The goal is to uncover the human identities and dead styles defined by the symbolic system of meaning in modern thought and then to expose how the universal identity of the self excludes and disciplines other self-identities,” dan “The goal of these postmodern critics is freedom from theory.”(Gary Minda 1996)

Sebenarnya persoalan  “Apa yang benar (truth)?” yang ditujukan kepada golongan pasca-moden ini sememangnya merupakan persoalan terakhir yang perlu dijawab.

Persoalan – Apa yang diinginkan? Merupakan persoalan pokok yang perlu di jawab oleh golongan ini.  Yang pasti suatu bentuk pemikiran, konsep, dan kaedah perlaksanaan yang bersifat universal; yang boleh diaplikasi dan praktis; demi untuk menjadikan dunia ini selamat untuk diduduki, adalah jawapan kepada persoalan tersebut.

Menurut S.M. Zakir, Dr Akbar S. Ahmad dalam bukunya Postmodernism and Islam, telah membariskan lapan (8) elemen yang menjadi inti (asas) kepada pascamodeniti.  Berikut adalah lapan elemen tersebut:

a. Ia dihidupkan oleh ruh pluralisme, mempunyai keraguan yang tinggi terhadap asas-asas tradisional, dan memisahkan kemanusiaan daripada alam (menghancurkan vertikaliti Tuhan-alam-manusia dalam tradisionalisme);

b. Media menjadi nadi dan pusat dinamiknya;

c. Ia berpasangan dengan fundamentalis agama-etnik, iaitu mempunyai sikap fundamentalisme (istilah fundamentalisme yang diberikan awal dahulu terhadap gerakan fanatik Kristian Protesten), dan gusar kepada sesuatu yang di luar perkiraannya;

d. Ia terikat dengan masa lalu, walau bersikap memprotes terhadap masa lalu tersebut;

e. Mempunyai prasangka terhadap demokrasi, tetapi dalam masa yang sama dirinya sendiri mempunyai elemen kelas seperti yang terdapat dalam kapitalisme (kapitalis-liberal adalah teras demokrasi). Dimana, golongan yuppies bandar (kelas baru dari produk kapitalisme) adalah teras yang menjadi agen katalisnya.

f.  Ia berpusat di metropolis (bandar);

g. Ia berkembang biak di atas jukstoposisi perbincangan/perdebatan (sintesis), subur dengan eklektisisme (bauran falsafah) dan bauran imej dan media;

h. Ia tidak memberikan satu bahasa/komunikasi yang mudah dan licin (sukar difahami).

Berdasarkan perbandingan ciri-ciri (teori) diantara moden dan pasca-moden, ia menjelaskan bahawa pasca-moden menolak sebarang bentuk konsep, pemikiran, dan teori yang digunaka pakai mengikut perspektif barat.  Mereka (ironist) melihat hasil dapatan  (kesan) daripada modenisasi, contohnya birokrasi, kapitalisme, demokrasi, dan sebagainya yang menjadi asas (key aspect), mempunyai kekurangan, sangat mengecewakan, dan tidak seimbang dalam aspek sosial dan budaya masyarakat.

Kapitalisme contohnya; keuntungan adalah menjadi faktor primer manakala nilai insaniah atau kualiti perkhidmatan adalah menjadi faktor sekunder.  Kita lihat berapa banyak sektor-sektor penting yang seharusnya menjadi tanggung jawab kerajaan untuk mengurusnya, tetapi ianya telah diswastakan.  Ya, penswastaan ini mempunyai tujuan, alasannya adalah untuk meringankan urus selia kerajaan terhadap sesuatu sektor yang diswastakan, selain faktor meringankan bebanan kos yang terpaksa dilaburkan dan kepakaran yang terhad seandainya kerajaan sendiri yang menguruskan.  Tetapi dalam konteks ini, keadaan itu sudah pasti membebankan rakyat, lebih-lebih soal kualiti perkhidmatan yang menjadikan faktor sekunder itu tadi, seterusnya wujud ketidakpuasan hati dan pemberontakan dalam diri rakyat itu sendiri.

Apakah yang dimaksudkan dengan fenomena sosial? Dan Mengapakah teori pascamoden melihat fenomena sosial dalam bentuk yang skeptical (curiga atau prasangka)?

“..the question of freedom is devoid of distinction between “freedom” and “liberation” as proposed by liberation theologists such as Gustavo Guttierez and Denis Goulet and many a transcendental and postmodern philosophical thinkers such as Martin Buber, Radhakrishnan, and Jacques Derrida and those in one way or another championing deconstructionism in our conception of human nature and human freedom.” (Azly Rahman 2009).

Seperti teori asas tentang permasalahn ekonomi berkenaan “Kos Lepas,” ianya merujuk kepada pilihan (pengorbanan atau sacrifice) yang perlu dibuat oleh para pengusaha dalam mengguna pakai sumber-sumber yang terhad untuk menghasilkan suatu produk (tujuan atau hasil).  Sebenarnya dalam konteks pemikiran pascamoden ini, fenomena sosial dapat digambarkan begitu.

Sebagai contoh, pihak berkuasa tempatan boleh sahaja membenar atau mengeluarkan lesen (kuasa berkeputusan berdasarkan majoriti yang bersetuju atau demokrasi) ke atas pengusaha rumah urut, rumah pelacuran, perjudian, kelab  malam, penjualan arak (merupakan permintaan) kepada pengusaha yang berminat, seandainya keuntungan (tujuan atau hasil) menjadi keutamaannya.  Tetapi kesannya (kos lepas) adalah dengan adanya pusat-pusat atau kegiatan-kegiatan sedemikian telah mendorong kepada permasalahan sosial seperti penagihan dadah, penagihan alkohol, keruntuhan akhlak, rompak, masalah keluarga, bunuh diri, dan sebagainya; yang disebut sebagai pengorbanan atau sacrifice (pilihan) itu tadi.  Inilah pilihan yang terpaksa para modenis putuskan; dengan teori-teori yang diperkenalkan; atas tiket kebebasan berkehendak; atas pemisahan agama daripada politik sewaktu zaman pencerahan dahulu, dan kemudiannya penemuan-penemuan saintifik yang telah memberikan Barat kuasa untuk merubah dunia, ia dilihat tidak bermakna andai ruang rohaniah masyarakat tidak diisi seiring dengan kemajuan yang dikecapi.  Dengan runtuhnya nilai, manusia dihadapkan pada persoalan bahawa segala-galanya (kejayaan) menjadi tidak bermakna dan tidak ternilai (A. Rahim Abdullah 2006).  Keadaan ini juga jelas menggambarkan tentang deconstructionism yang menjadi wadah pergerakan pascamoden.

Kelahiran modeniti (gaya hidup baru) yang ditandai dengan kemunculan revolusi industri adalah sejajar dengan saintifik, telah mengubah rupa dunia dengan drastik sekali.  Menurut S.M. Zakir dalam penulisannya yang bertajuk: Pascamodenisme: Kutukan Terhadap Falsafah Dan Agama, beliau menyatakan Sains merupakan dokongan utama kepada modernisme khususnya dalam minda Barat.  Namun, katanya lagi, sains dan modernisme ini mempunyai batasan.  Pada peringkat akhir sejarah moden, lahir pemikir daripada kelompok moden yang menyatakan rasa keliru dan mula mempersoalkan pencapaian daripada gerakan moden itu, yang dikenali sebagai ‘frontier thinkers’.  Tambahnya, mereka ‘berhenti’ menjadi moden kerana mereka melihat apa yang dikatakan sebagai pandangan hidup saintifik (science,) menyedari bahawa ia bukan saintifik tetapi sainstistik (scientistic) iaitu sains sebagai ideologi.

Jadi, golongan pasca-moden ini menyatakan kuasa politik adalah sealiran dengan tuntutan zaman.  Bagi mereka, definisi tentang kuasa kurang penting berbanding dengan maknanya yang tersirat, selain tidak memandang kuasa sebagai suatu milik yang boleh dikuasai dan digunakan oleh kelas tertentu untuk mendominasi dan menindas kelas yang lain.

Apa yang boleh disimpulkan di sini adalah walau pun gerakan pasca-moden dilabel sebagai sebuah gerakan pemikiran yang tidak jelas, kabur, bercelaru, dan skeptikal, namun pastinya golongan pascamoden mempunyai suatu hala tuju atau matlamat yang tidak perlu direkod atau di bukukan, sebagai rujukan oleh pelbagai pihak.  Ironinya, adalah mustahil sekali bila dikatakan para pendukung gerakan ini tidak mempunyai asas yang kuat terhadap persoalan daripada segenap sudut.  Secara peribadi, kebenaran adalah hasil; yang hanya dapat dilihat setelah usaha ke arah itu dapat dilaksanakan.  Namun, bagaimana hasil itu dapat diusahakan seandainya musuh-musuh (kritikan yang menghalang) kepada proses tersebut.

Rujukan

Azly Rahman. 2009. A Posmodern Reading of John Dewey’s education and experience. http://azlyrahman-illuminations.blogspot.com/

A. Rahim Abdullah.  2006.  Pascamoden bawa kebejatan. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0122&pub=utusan_malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm&arc=hive

Gary Aylesworth.  2005.  Postmodernism. Stanford Encyclopedia of Philosophy.  http://plato.stanford.edu/entries/postmodernism/

Gary Minda.  1996.  Postmodern Legal Movements: Law and Jurisprudence at Century’s End.  New York and London: New York University Press.

Hamka.  2002.  Falsafah Hidup. Cetak Ulang.  Shah Alam: Pustaka Dini.

Hamka.  2005.  Sejarah Umat Islam. Ed. ke-5.  Singapura: Pustaka Nasional

Khalif Muammar A.H. 2005.  Akar Pemikiran Islam Liberal. Kolej Dar al-Hikmah. http://www.geocities.com/ummahonline/artikel/050517muammar-islamliberal.htm

Maszlee Malik.  2005.  Islam Liberal: Waktu untuk muhasabah diri!. http://www.geocities.com/ummahonline/artikel/050528maszlee-islib.htm

Muhamad Farid M.S.  2009.  Aliran Pemikiran Islam Kontemporari.

Mohamad Ridhwan Alias.  2005.  Islam dan modeniti. http://www.geocities.com/ummahonline/artikel/050608tokawan-modeniti.htm

Mohamad Ridhwan Alias. 2005.  Kemaraan Islam Liberal di Malaysia. http://www.geocities.com/ummahonline/artikel/050722ridhwan-islib.htm

Nik Nazmi N.A. 2005.  Malik Bennabi. http://www.geocities.com/ ummahonline/ artikel/050311niknazmi-bennabi.htm

S.M.Zakir. 2009. Pascamodenisme: Kutukan Terhadap Falsafah Dan Agama. http://www.geocities.com/paris/chalet/2121/pasca.html

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: