Kontrak Sosial

Orang Muda.

Malaysia tidak akan mencapai kemerdekaan pada 1957 yang lalu sekiranya pihak British tidak berpuas hati dengan draf pembentukan negara (Malaysia), melalui Perlembagaan Persekutuan terutamanya.  Di suatu sudut, pihak British melihat permasalahan kaum adalah antara permasalahan yang akan wujud sekiranya tidak wujud keadilan kepada semua pihak (kaum).  Di sinilah peranan kontrak sosial itu wujud.  Dan hal ini sememangnya bukan suatu perkara yang baru dalam sejarah kenegaraan manusia.  Sebenarnya, kontrak sosial telah wujud lebih kurang 1400 tahun yang lalu, yang mana ianya terkandung dalam Piagam Madinah, yang mana ianya perlembagaan (bertulis) pertama (A.Q. Djaelani 2001).  Namun, yang menjadi masalah di Malaysia sejak akhir-akhir ini berkenaan tentang kontrak sosial; dimana orang bukan Melayu menuntut hak yang sama dengan orang Melayu.  Bagaimana boleh Malaysia berjalan menuju destinasi Wawasan 2020 seandainya hubungan di antara kaum-kaum yang ada, tampak harmoni di lensa kamera, tetapi hakikatnya tidaklah begitu adanya?

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia) digubal oleh sebuah Suruhanjaya Perlembagaan yang ditubuhkan pada bulan Mac 1956.  Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dan dianggotai oleh empat orang Hakim dari negara Komanwel.  Rangka Perlembagaan itu seterusnya dikaji oleh sebuah Jawatankuasa Kerja yang mengandungi 11 orang ahli, iaitu empat orang wakil Raja Melayu, empat orang wakil Parti Perikatan, Pesuruhjaya Tinggi British, Setiausaha Persekutuan dan Peguam Negara.  Setelah melalui pelbagai proses dan penelitian, rangka Perlembagaan itu kemudiannya dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Undangan Persekutuan dan diluluskan pada 15 Ogos 1957.  Perlembagaan Persekutuan telah dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957.

Perkara 153 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan dengan jelas apa yang dikatakan dengan istilah “Kontrak Sosial” iaitu tentang perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.  Antara lain ianya membariskan tentang hak keistimewaan orang Melayu, hak Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dan Agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Namun, Kontrak Sosial; yang mana kandungannya secara terang memberikan kelebihan kepada kaum Melayu, ianya begitu tidak disenangi oleh kaum bukan Melayu pasca merdeka.  Sekiranya ia dilihat dari sudut polisi dan dasar pendidikan negara, ia dilihat gagal dan masalah ini perlu ditangani segera oleh pihak kerajaan.

Sejarah 13 Mei 1969 merupakan satu peristiwa berdarah rusuhan diantara kaum yang menjadi ingatan dan tauladan.  Rentetan itu, suatu dasar baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-2 pada ketika itu iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak, ia dikenali Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi penstrukturan semula jurang sosio-ekonomi diantara kaum dengan mensasarkan 30 peratus (%) ekuiti kepada Bumiputera. Walaupun sasaran tersebut tersasar (sehingga hari ini) pada sekitar 19% sahaja, kaum bukan Melayu mendesak supaya dasar tersebut dihapuskan atau sekurang-kurangnya dikaji semula, manakala bagi kaum Melayu pula, ianya wajar diteruskan selagi tidak tercapai sasaran asal dasar tersebut, iaitu 30% ekuiti milikan Bumiputera.  Permasalahan ini telah mendapat perhatian khusus pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada akhir bulan Oktober lepas; dengan nada sinis perwakilan berhujah agar kaum bukan Melayu tidak seharusnya mempertikaikan sasaran ekuiti milikan Bumiputera tersebut atas alasan ia dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Setelah 40 tahun berlalu (semenjak DEB dilancarkan), dan kini isu tuntutan kesamarataan hak semua kaum telah muncul kembali, lebih-lebih lagi setelah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu.  Sememangnya dahulu, sebelum merdeka, British telah menyatakan keraguannya tentang pembentukkan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik (kaum); yang padanya pasti mengundang permasalahan diantara kaum yang boleh menjejaskan kestabilan negara.  Dimanakah silapnya?  Atau adakah keraguan pihak British tersebut munasabah?

Isu berkenaan dengan Kontrak Sosial begitu hangat dibincang dan diperdebat sejak akhir-akhir ini di Malaysia.  Isu yang amat sensitif ini menjadi tajuk wajib di dada akhbar arus perdana dan alternatif.  Pengusaha akhbar tempatan bagaikan mendapat durian runtuh hasil daripada isu ini. Ironinya, setelah 50 tahun Malaysia merdeka daripada jajahan British, isu Kontrak Sosial ini masih lagi dipersoal dan dibangkitkan oleh sesetengah pihak.  Terkini, bloger terkenal iaitu Raja Petra Kamaruddin (RPK) telah melancarkan suatu pergerakan baru yang dikenali dengan nama Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM).  MCLM telah dilancarkan pada 31 Okober 2010 di London, dan bersama (juga) melancarkan Deklarasi Rakyat (People’s Declaration) yang menggariskan 10 perkara di dalamnya.  Antara lain menuntut kembali perkara-perkara yang sinonim dengan apa yang dilaungkan oleh pihak pembangkang, iaitu hak sama rata di antara kaum, kebebasan bersuara, mengukuhkan struktur demokrasi negara, dan sebagainya.  Ironisnya, kali ini, pelancaran MCLM oleh RPK tersebut, adalah rentetan kekesalannya terhadap situasi pergolakan dalaman (juga prestasi) yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR),  terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika ditinjau, orang bukan Melayu mempertikaikan peruntukan istimewa orang Melayu yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.  Mereka menuntut hak kesamarataan semua kaum, kerana mereka berasa, peruntukan yang dibuat sewaktu Tanah Melayu ingin mencapai kemerdekaan daripada British, adalah tidak lagi relevan pada masa sekarang.  Mereka lahir dan membesar di bumi yang bernama Malaysia.  Rata-rata mereka ini adalah generasi ke-3 pasca merdeka.  Jadi, seharusnya mereka mendapat hak layanan yang sama dengan orang-orang Melayu atau Bumiputera.

Dari sudut perspektif orang Melayu pula, isu sensitif ini tidak perlu dibangkitkan.  Ia boleh menyebabkan berlakunya rusuhan antara kaum, sekiranya sentimen ini dimainkan.  Orang Melayu sebenarnya khuatir, sekiranya hak sama rata diberikan kepada orang bukan Melayu di Malaysia, maka identiti Melayu itu juga akan turut hilang, Agama Islam dan Bahasa Melayu tidak lagi diangkat sebagai agama dan bahasa rasmi negara, institusi Raja-Raja Melayu juga akan hilang, disamping hak istimewa orang Melayu tidak lagi boleh dipertahankan.  Maka seterusnya, bumi Melayu ini akan lenyap suatu masa nanti.  Sama halnya seperti di Singapura.

Persoalannya, adakah kaum bukan Melayu (malah orang Melayu sendiri) memahami apakah yang dimaksudkan dengan Kontrak Sosial? dan sejauhmanakah langkah-langkah kerajaan—melalui sistem penyampaian telah memainkan peranannya dalam mengukuhkan hubungan harmoni di antara kaum?  Bagaimana pula dengan Dasar Pendidikan Negara (DPN)?

 

P/s.:  Adalah amat sukar untuk memuaskan hati semua pihak (individu).  Atau ada sesiapa yang boleh memberi satu formula tentang bagaimana untuk mencapai tujuan tersebut (untuk memuaskan hati semua pihak)? 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: