S.M. Zakir: Pluralisme dan Kekeliruan Agama

 S.M. Zakir.

Titik penting munculnya idea tentang pluralisme di dunia Islam pada era moden bertolak daripada perdebatan tentang khalifah dan pelaksanaan sistem politik moden dalam dunia Islam. Ia menyaksikan kemunculan idea tentang demokrasi, sosialisme, sekularisme, liberalisme dan sebagainya. Beberapa peristiwa penting yang memainkan peranan besar kepada pertembungan dunia Islam dan idea-idea Barat ini ialah Revolusi Rakyat di Iran pada 1905-1911, Revolusi Golongan Muda (Young Turks) pada 1908 dan akhirnya Revolusi Kamal Ataturks pada tahun 1924 yang menghapuskan pemerintahan khalifah Osmaniah di Turki. Pada masa yang sama muncul gerakan pembaharuan di Mesir dan negara Arab untuk bebas daripada cengkaman kolonial Barat. Termasuk juga gerakan pembebasan yang berlaku di India, akhirnya menyaksikan pemisahan entiti Islam yang memunculkan negara Islam Pakistan. Tidak ketinggalan isu Palestin yang ketika itu mula dijajah oleh zionisme Yahudi. Pertembungan antara Dunia Islam dan Barat seperti mengulangi pertembungan yang pernah berlaku dalam era Perang Salib. Namun pada kali ini, dunia Islam berada di pihak yang tewas. Penjajahan kuasa kolonial moden Barat ke atas sebahagian besar dunia Islam telah membentuk dikotomi penjajah-dijajah, tuan-hamba, atau pusat-pinggiran yang meletakkan dunia Islam di bawah penguasaan kolonial Barat.

Idea-idea yang mencetuskan gerakan pembebasan dan pembaharuan dunia Islam muncul dengan hebatnya pada awal abad ke-20 sebagai aksi reaksioner terhadap penjajahan dan pengaruh kuasa Barat ini. Wujud dua bentuk aliran umum dalam aksi reaksioner ini. Pertama, muncul golongan pembaharuan Islam yang memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam membangunkan kekuatan dunia Islam, sekaligus berusaha membebaskan dunia Islam daripada kuasa Barat. Kedua, munculnya golongan dan pemikiran untuk mengambil dan menyesuaikan kerangka serta sistem pemikiran Barat bagi memajukan dunia Islam, seterusnya membangunkan dunia Islam yang progesif, moden dan maju. Kedua-dua golongan memulakan perdebatan tentang khalifah, kemudiannya berkembang kepada idea-idea pemikiran khususnya idea pemikiran moden.

Perbincangan tentang idea pembaharuan ini memunculkan nama-nama seperti Jamaludin Al-Afghani, Muhammad Abduh, dan Muhammad Rashid Rida yang memperjuangkan nilai-nilai Islam sejagat dalam konteks pembentukan Pan-Islam. Sementara golongan kedua yang mengambil pemikiran Barat secara drastik dan menolak nilai-nilai Islam secara langsung atau tidak langsung telah melahirkan nama-nama seperti Mustafa Kamal Ataturk, Ali Abd Raziq, Fathi Osman dan sebagainya. Mustafa Kamal telah melancarkan revolusi sekular di Turki sekaligus menghapuskan pemerintahan khalifah yang terakhir di dunia Islam iaitu khalifah Osmaniyyah. Sementara Ali Abd Raziq membawa pemikiran liberal-demokratik Barat ke dalam dunia intelektual Islam yang turut mengecam pemerintahan khalifah Islam.

Pemikiran pembaharuan Islam yang memperjuangkan pembentukan wilayah Islam yang menyeluruh baik dari segi politik, ekonomi, budaya, masyarakat dan intelektual mencipta gelombang besar di tangan tokoh-tokoh intelektual dan pertubuhan Islam seperti Muhammad Iqbal (1877-1937), Hassan al-Banna (1907-1949), Abu al-Ala Mawdudi (1903-1979), dan Sayyid Qutb (1906-1966). Tokoh-tokoh ini menentang keras pembaharuan liberal dan politik demokrasi Barat ke dalam dunia Islam. Rashid Rida menegaskan bahawa masyarakat Islam tidak akan muncul sehinggalah sistem pemerintahan khalifah ditegakkan, sekaligus merupakan kecaman terhadap pemerintah sekular Ataturk di Turki. Pandangan Rida itu dikongsi oleh pengasas Pertubuhan Ikhwan Muslimin, Hassan al-Banna yang menggerakkan pertubuhan persaudaraan Islam yang keras menentang segala bentuk pemikiran dan sistem politik Barat. Hassan al-Banna menegaskan bahawa pelaksanaan syariah Islam adalah jalan keluar daripada kemunduran dan kegelapan umat Islam. Pandangan al-Banna ini juga merupakan pandangan balas terhadap idea-idea liberal-sekular yang dikemukakan oleh Ali Abd Raziq.

Sambung baca di sini.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: