Teori Pluralis: Dalam Perkembangan Politik Malaysia (Bahagian 2)

Negara adalah wajah dunia yang kita inginkan.  Dunia didiami oleh manusia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kepercayaan (agama), warna kulit, bahasa, adat dan budaya, dan sebagainya.  Adalah menjadi tugas manusia itu sendiri untuk mencari solusi agar dunia ini menjadi tempat yang indah untuk didiami bersama.

“Pluralisme kemudian berkembang dalam pemahaman sosiopolitik mewujudkan apa yang disebut sebagai consociotional politic, dalam bidang sosioekonomi melahirkan globalisasi, dalam sosiobudaya melahirkan liberal-capitalist mass culture atau budaya hedonisme, dan dalam agama melahirkan sosiologi agama atau anthropocentric perspective. Semua hal ini mewujudkan konsep pluralisme yang mengaburkan nilai-nilai agama (Islam terutamanya) dengan nilai-nilai individu yang hanya wujud sebagai entiti duniawi. Ini berbeza dengan nilai masyarakat atau individu dalam Islam yang dilihat dalam konteks entiti duniawi-ukhrawi.” (S.M. Zakir 2010).

Ingin saya rumuskan di sini, teori pluralis dapat dijelas tentang bagaimana penerimaan (acceptance) masyarakat itu sendiri yang bersifat majmuk, dan tentang nilai (value) penerimaan sesama mereka dalam satu struktur sosial yang kompleks dalam sesebuah negara bagi mencapai keserasian hidup di antara satu sama lain.  Kerana satu keadaan yang pluralis perlu elakkan adalah ‘konflik.’

Jelas di sini, teori pluralis yang berakar umbi daripada teori liberal demokrasi moden sebenarnya bercanggah dengan nilai Islam.  Mengapa saya katakan begitu?  Tidakkah kenyataan itu bias atau memihak?  Jawapan saya ‘tidak.’.  Ini kerana, pendekatan penyelesaian Islam adalah dilihat sebagai pendekatan penyelesaian secara universal.  Islam itu sendiri bersifat universal.  Tidak seperti pendekatan para pluralis, yang bersifat kepentingan.

Apakah kaitannya pula dengan ‘pendekatan penyelesaian’ dengan teori pluralis dan Islam?  Jawapan saya, kewujudan teori pluralis itu sendiri adalah merupakan suatu kaedah atau pendekatan penyelesaian bagaimana setiap perbezaan yang wujud dalam masyarakat itu, dapat disatukan dan mengelakkan konflik berlaku.  Pendekatan Islam bukan suatu teori, bahkan tidak ada istilah teori di dalamnya.  Islam punya acuannya tersendiri untuk mengelakkan konflik (masalah) daripada berlaku.

Idea (teori) pluralis berakar umbi daripada teori liberal demokrasi moden; yang sebenarnya ingin memberi kebebasan sepenuhnya kepada setiap orang untuk membuat pilihan sendiri, tanpa terikat dengan agama.  Islam bukan terhasil daripada teori.  Ia adalah cara (aturan) hidup.  Kerana Islam itu terhasil daripada pendidikan yang bersumberkan wahyu al-Quran.  Bermaksud ‘lengkap’.  Bukan atas kepentingan manusia.  Ia telah dijelaskan dalam al-Quran dalam terjemahan Surah Al-Maidah, ayat 3 (merupakan wahyu terakhir), bermaksud:  “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu dan Aku telah lengkapkan nikmat-Ku ke atas kamu dan Aku telah reda Islam itu bagi kamu sebagai agama.”

Dunia boleh kita gambarkan sebagai sebuah negara. Kita dapat lihat bagaimana Amerika sebagai sebuah kuasa besar dunia memerintah mengikut acuan demokrasi.  Bagaimana Amerika mempromosi demokrasi di setiap negeri-negeri (negara) supaya akur dan patuh kepadanya.  Bagaimana Amerika memaksa dengan mencetuskan helah dan propaganda seperti di Iraq, Pakistan, Afganistan, Myanmar, Vietnam, dan sebagainya supaya menerima demokrasi.  Keadaan ini sudah jelas menunjukkan unsur paksaan.  Siapa yang akur dan patuh—disayangnya.  Siapa yang degil—ditentangnya.  Dimanakah nilai demokrasi (kebebasan dan pilihan) yang ditunjukkan di situ?

Berbeza dengan Islam, ia tidak punya unsur paksaan sama sekali.  Perkara ini telah dijelaskan dalam terjemahan Surah Al-Baqarah, ayat 256, bermaksud: “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur).” Jelas menunjukkan unsur kebebasan dan pilihan dalam Islam. Apa yang boleh ada pada orang bukan Islam, ia dibenarkan dalam Islam.  Tetapi apa yang boleh ada pada orang Islam, ia sukar diterima orang bukan Islam.  Semacam dunia ini adalah pertembungan di antara Islam dan bukan Islam (Yahudi, Kristian, dan lain-lain).

Saya kuatkan hujahan dengan sokongan kenyataan S.M. Zakir (2010) seperti berikut:

“Persoalan tentang pluralisme mula-mula muncul dalam konteks pemahaman sosial, yakni hubungan kemasyarakatan dalam suasana baru setelah era penjajahan kolonial. Apa yang dikatakan suasana baru tersebut ialah munculnya masyarakat heterogenus iaitu percampuran antara masyarakat peribumi dengan masyarakat pendatang ataupun kewujudan masyarakat daripada pelbagai etnik yang hidup bersama. Maka masyarakat baru yang wujud ini adalah sebuah masyarakat plural atau masyarakat majmuk. Sesuai dengan sifat masyarakat majmuk, ia turut membawa kepelbagaian cara hidup berlandaskan budaya, agama atau kepercayaan masing-masing etnik. Konsep tentang pluralisme iaitu bagaimana kepelbagaian tersebut dapat diraikan dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang bersatu dalam kepelbagaian tersebut, muncul menjadi pernyataan terhadap keinginan untuk hidup saling menerima dan meraikan perbezaan. Pluralisme melihat bagaimana pertembungan masa lalu dan masa kini dapat melakurkan sebuah masyarakat baru yang tidak lagi berpegang kepada nilai-nilai fundamental etnik, agama, dan budaya yang terpisah-pisah tetapi sebaliknya mewujudkan sebuah masyarakat baru yang beridentitikan nilai masa hadapan.” (S.M. Zakir 2010).

Saya suka menyebut istilah ‘sacrifice’ atau pengorbanan dalam membincangkan politik di Malaysia.  Sejak mula merdeka pada tahun 1957 sehingga sekarang, ia berkisarkan tentang pengorbanan.  Disebabkan orang Melayu bersetuju memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu dan disebabkan orang Melayu bersetuju menggunapakai sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, maka teori pluralis dianggap bertepatan pada waktu dan ketika.  Tetapi ia masih berkisarkan tentang pengorbanan. Atau adakah kita sanggup membuat pengorbanan yang lebih besar, iaitu menukar sistem tersebut?

Semenjak 10 tahun kebelakangan ini, isu tentang hak kerakyatan, hak kesamarataan semua kaum, hak penggunaan kalimah Allah, hak untuk mendapatkan kuota, hak kanak-kanak, hak orang kurang upaya (OKU), hak ini dan itu… tidak pernah reda.  Teori pluralis yang berakar umbi daripada teori liberal demokrasi moden telah membenar keadaan ini berlaku.  Ia diibarat sebagai pelengkap. Malaysia seakan berada pada zaman sebelum merdeka, kerana isu-isu (lirik) yang sama, cuma ia dilagukan semula.  Diberi nafas baru.

Baru-baru ini, Wan Azizah, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam majlis kongresnya, menyatakan ingin ‘membakul-sampahkan’ ketuanan melayu sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menakluk Putrajaya.  Isu ini telah menarik Sultan-Sultan Melayu—antaranya Sultan Johor, Perak, dan Selangor menyatakan pendirian baginda berhubung isu tersebut.  Baginda begitu kecewa kerana orang Melayu sendiri ingin menggadaikan keistimewaan Melayu.  Apatah lagi perasaan orang-orang Melayu, NGO melayu dan parti politik, sehingga memaksa laporan Polis di buat ke atas kenyataan yang dibuat oleh Wan Azizah tersebut.  Tetapi di pihak orang bukan Melayu, ia sebagai sesuatu yang positif dan diterima baik.  Sama seperti mereka menerima kewarganegaraan menerusi Jus Soli yang dijanjikan oleh Malayan Union dahulu.  Dan begitulah adanya, bila pihak sana di naikkan, pihak sini pula terpaksa turun. Ibarat jongkang-jongkit.  Tidak ada istilah adil dalam situasi politik di Malaysia waktu ini.  Segalanya diterjemah dalam bentuk perkauman.  Apa sudah jadi dengan Malaysia?  Adakah sekiranya Perlembagaan Persekutuan digubal seluruhnya sekali pun, ia akan dapat memuaskan hati semua pihak?

Dua persoalan tersebut saya salahkan teori pluralis yang berakar umbi daripada teori liberal demokrasi moden sebagai penyebab.  Ya, saya salahkan sistem yang telah membentuk struktur sosial yang kita lihat pada hari ini.  Struktur sosial yang kemudiannya mengemudi sistem sebagai aturan negara.

Kekuatan teori pluralis dalam membincangkan perkembangan politik di Malaysia, ianya boleh dibahaskan melalui dua perspektif.  Perspektif pertama, teori pluralis dianggap ‘kuat’ kerana ianya diterima oleh masyarakat yang pelbagai di negara ini, walau pada hakikatnya tanpa mereka sedari.  Ia suatu yang bersifat ‘permukaan’ sahaja, bukan yang lahir dari dalam hati.  Perspektif kedua, teori pluralis dianggap ‘kuat’ hanya pada mereka yang tahu tentangnya.  Bermaksud, untuk menterjemah situasi negara dalam konteks ini, maka sesetengah sarjana mengganggap ia adalah hasil dapatan daripada hukum pluralis itu sendiri.  Mereka percaya bahawa, konsep penerimaan (acceptance) di antara kaum di Malaysia itu telah terhasil dengan jayanya.  Kerana ia diperlihatkan seperti hidup bersama dan harmoni.  Namun yang demikian, apa yang saya ingin bahaskan di sini tentang kekuatan teori pluralis tersebut, adalah melalui perspektif yang kedua.

Suka saya mengambil contoh haiwan seperti monyet, anjing, kucing, harimau, buaya, dan sebagainya.  Saya kira hakiki kehidupan manusia dan haiwan adalah sama.  Mereka hidup untuk survive atau mereka survive untuk hidup.  Seperti halnya haiwan-haiwan tersebut, mereka punya territory atau wilayah mereka sendiri untuk hidup.  Di wilayah tersebut adalah tempat untuk mereka hidup.  Kerana sumber kehidupan seperti makanan, minuman, dan tempat tinggal ada di wilayah tersebut.  Sekiranya terdapat haiwan lain, malah dikalangan mereka sekalipun, ia berupa ancaman dan perlu ditentang.  Kita selalu lihatnya di siaran seperti National Geographic, Animal Planet, dan sebagainya, malah kita boleh melihat sendiri di depan mata, di persekitaran kita.  Apakah haiwan tersebut sanggup mengalah (berkorban) kepada haiwan lain?  Jadi saya samakannya seperti juga manusia, manusia yang tinggal di wilayah yang dinamai Malaysia.

Kita di Malaysia tidak boleh lari daripada hakikat tersebut.  Kita bukan berada di sebuah negara bangsa (nation state).  Kita adalah pelbagai dari pelbagai serbi. Pegangan dan kepercayaan, bahasa, cara hidup, tradisi, makanan dan minuman, dan sebagainya.  Tidak seperti di Indonesia, China, India, Jepun, dan sebagainya.  Sekiranya teori pluralis itu benar ‘kuat’ di Malaysia, kita tidak akan berbicara soal hak dan kepentingan.  Kita tidak akan berasa terpinggir akibat daripada pembangunan yang tidak setara.  Kita tidak berasa curiga dengan perlakuan kaum lain.  Dan kita tidak akan berasa hati sekiranya kita dibeza-bezakan di antara satu dengan lain.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa, Malaysia bukan sebuah negara Islam (Islamic State).  Malaysia adalah sebuah negara orang Islam (Muslim State).  Kerana punya majoriti kaum yang menganut agama tersebut.  Jadi, selama kita mendengar pemimpin kerajaan yang menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, ia adalah suatu pembohongan dan suatu kesedaran palsu yang keliru.  Bagaimana boleh arak, judi, dan sebagainya dibenarkan di Malaysia tanpa kawalan sehingga menjatuhkan nilai Islam itu sendiri?  Bagaimana boleh orang Islam mengamalkan riba, sedang ia adalah suatu yang diharamkan Islam?  Apakah masyarakat Islam ini adalah ‘Islam’ pada satu-satu bahagian sahaja, dan ‘tidak Islam’ pada bahagian yang lain?  Adakah dibenarkan perkara seperti itu berlaku?  Siapa yang benarkan?  Di sinilah nilai pengorbanan itu wujud. Tetapi sampai bila? Faham pluralisme ini malangnya dibawa ke dalam pemikiran umat Islam oleh golongan Islam sendiri (S.M. Zakir 2010).

“Pemikiran yang bertentangan dalam ertikata menyeru kepada pembaharuan yang mengangkat nilai-nilai modeniti Barat seperti demokrasi, liberalisme dan pluralisme yang bangkit pada pertengahan abad ke-19 mula lahir dalam bentuk-bentuk yang lebih konstruktif. Fathi Osman muncul sebagai suara liberal yang menyeru kepada pluralisme dan hak asasi manusia, khususnya hak golongan wanita dan minoriri bukan Islam. Walaupun dari satu segi terlihat pandangan Fathi Osman sebagai suara murni mencari keadilan bagi golongan yang kononnya tertindas, tetapi pada hakikatnya beliau memandu umat Islam ke arah nilai-nilai liberalisme Barat. Sedangkan dalam Islam hak golongan wanita, minoriti bukan Islam dan hak asasi manusia telah ditegaskan dengan jelas, bahkan dilaksanakan dalam syariah Islam yang memberikan keadilan kepada manusia berasaskan prinsip Islam. Dalam prinsip Islam, hukum datangnya daripada al-Quran dan hadis, serta qias para ulama. Maka itu keadilan dalam prinsip Islam meletakkan kewajiban agama lebih utama daripada kepentingan diri. Ini menjelaskan rujukan utama kepada nilai masyarakat yang mengatasi nilai individu. Hal ini berbeza dengan prinsip liberal Barat yang meletakkan hak individu sebagai puncak kepada keadilan sosial.”

(S.M. Zakir 2010).

Ya, teori pluralis menjelaskan sesuatu yang perlu dielakkan adalah konflik.  Mengapa?  Adakah kerana ingin mengelak tragedi seperti 13 Mei 1969 daripada berlaku?  Atau untuk menjaga para elitis yang sudah ‘kembong’ dan selesa dengan kekayaan bumi Malaysia?  Utusan Malaysia (2006) ada melaporkan seperti berikut:

Muzakarah Ulama 2006 yang berlangsung Isnin lalu di Ipoh, Perak menyatakan keprihatinan mereka terhadap fahaman pluralisme dan liberalisme yang dianggap sebagai mengancam akidah umat Islam. Umumnya bagi umat Islam yang mengikuti perkembangan mengenai gerakan pluralisme dan liberalisme di negara ini dapat memahami keprihatinan muzakarah itu.  Sikap ulama yang menyertai muzakarah itu berhubung dengan pluralisme dan liberalisme secara umumnya mencerminkan sikap masyarakat Islam di negara ini yang rata-rata konservatif dan tradisional.  Tetapi apabila isu ini sampai ke perhatian orang bukan Islam di negara ini, mereka tentu terkejut apabila ulama menolak pluralisme dan liberalisme.  Mereka pasti tertanya-tanya tidakkah negara ini mengamalkan pluralisme dan liberalisme? Ini kerana Malaysia sebagai negara didiami oleh rakyat berbilang agama dan kepercayaan dan sudah tentu menjamin ciri pluralisme masyarakat. Begitu juga dengan liberalisme.  Tidakkah Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi mengamalkan liberalisme? Malah disebut dalam Rukun Negara disebut perkataan liberal itu sendiri. (Utusan Malaysia 2006)

Kita boleh menghidangkan pelbagai program berbentuk rakyat melalui media cetak mahupun elektronik.  Kita boleh (telah) mengatakan kepada dunia bahawa negara kita aman dan harmoni melalui media cetak mahupun elektronik.  Dan kita boleh anjurkan rumah terbuka untuk semua kaum, kemudian kita siarkan melalui media cetak dan elektronik.  Bahkan melalui media baru sekalipun.  Tetapi kita tidak boleh menyembunyikan keadaan yang sebenar, suatu hakikat kehidupan sebenar yang berlaku di Malaysia—sikap perkauman masih menebal dalam masyarakat.  Buktinya, para wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh kaum-kaum tertentu, masih lagi mempertikai dan mempersoal akan hak dan kepentingan kaum masing-masing.  Hal ini sudah cukup menggambarkan bahawa, titik penerimaan yang saya jelaskan di atas, hanya pada paras di bibir sahaja (permukaan), dan bukan di hati (dasar) setiap masyarakat.

Saya berpendapat, untuk mewujudkan keharmonian dalam masyarakat majmuk adalah sesuatu yang bukan mustahil.  Sebenarnya, Perlembagaan Persekutuan adalah mirip dengan sebuah perlembagaan tertulis pertama iaitu Piagam Madinah yang wujud 1400 tahun dahulu kerana ia mengandungi perjanjian masyarakat atau apa yang disebut sebagai Kontrak Sosial (Abdul Qadir Djaelani 2001).  Bermaksud, Kontrak Sosial hanya relevan kepada negara yang terbentuk atas dasar kesedaran dan persetujuan bersama di antara kaum.  Ini disebut Abdul Qadir Dajelani (2001) sebagai teori saling ketergantungan di antara anggota atau kelompok masyarakat sehingga menimbulkan sebuah negara, sebagaimana dikemukakan oleh para ahli fikir Islam, khususnya Al-Ghazali, yang kemudian diikuti oleh para ahli fikir Barat seperti Hobbes,  Locke, Montesquieu, dan Rousseau.  Tambah beliau lagi, kerja sama yang harmonis sesama anggota kelompok masyarakat tidak mungkin berhasil dengan baik tanpa adanya perjanjian masyarakat (kontrak sosial) yang disusun berdasarkan persetujuan semua pihak.  Maka, fasa ini Malaysia telah lalui sebelum Merdeka dahulu.  Pemerintah harus faham keadaan ini.  Perlaksanaan dengan penguatkuasaan adalah perlu menjadi subjek yang bersifat objektif.

Perkara 153 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan dengan jelas apa yang dikatakan dengan istilah “Kontrak Sosial” iaitu tentang perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.  Antara lain ianya membariskan tentang kedudukan istimewa orang Melayu, hak Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dan Agama Islam sebagai agama rasmi negara. Sebenarnya Perkara 153 tersebut, pada awalnya, telah mendapat tentangan oleh pemimpin masyarakat bukan Melayu.  Penyingkiran Singapura dalam peta Malaysia juga dikatakan disebabkan oleh Perkara 153, yang secara jelas menjadikan masyarakat bukan Melayu sebagai masyarakat kelas ke-2 dan secara langsung mempertikaikan kedudukan orang Melayu sebagai ‘Tuan’.  Mengapa keadaan ini berlaku?  Dan bagaimana ia boleh berlaku?  Atau adakah keadaan ini sengaja dibiarkan berlaku? Apakah kita sedar?

Comments
One Response to “Teori Pluralis: Dalam Perkembangan Politik Malaysia (Bahagian 2)”
  1. abu idris says:

    Kitab ” Ajhizah Daulah al – Khilafah “, Persediaan Berdirinya Negara Islam

    http://ibnuyassir.blogspot.com/2011/01/kitab-ajhizah-daulah-al-khilafah.html

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: