Orang Muda Mahu Kestabilan Negara Terpelihara

Benar kata Plato, demokrasi akan berakhir dengan satu sistem pemerintahan yang bersifat anarki di bawah kawalan gerombolan-gerombolan orang ramai yang tidak terurus, yang dikenali sebagai mobokrasi.

Mari kita tahu dan faham dulu apakah yang dimaksudkan dengan Politik.  Menurut Kamus Dewan (2005), politik adalah ilmu pengetahuan berkenaan cara atau dasar-dasar pemerintahan.  Dalam bahasa Arab pula, ia disebut sebagai ilmu siasah atau ilmu kenegaraan.  Politik Islam dikenali sebagai siasah syar’iyyah yang membawa maksud mengurusi atau mengatur perkara mengikut syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.  Jadi, siasah (politik) tersebut telah diterapkan pada pengurusan dan pelatihan orang yang diurus, dalam erti kata pengaturan urusan-urusan manusia. (Anbariy 2008).

Sekarang kita sudah faham apa yang dimaksudkan dengan politik.  Diharap selepas ini, kita tidak mengatakan bahawa politik adalah kotor, tidak boleh dipercayai, atau sebagainya.  Sekiranya ada sekalipun, kita boleh menganggap bahawa orang tersebut tidak punya ilmu tentangnya, dan menjadi tugas kita untuk memberitahunya.

Saya cuba meringkaskan perbincangan topik ini dengan mengemukakan dua orang pemikir ulung yang berbeza latar belakang, tetapi punya pendapat yang sama apabila berbicara soal pemerintahan yang baik – Al-Ghazali (1058-1111) dan Machiavelli (1469-1527).

Kita tidak boleh menafikan apabila berbicara soal negara, ianya adalah berkenaan dengan soal kuasa.  Kuasa pula begitu luas maksudnya, namun dalam konteks ini, kuasa dilihat sebagai kemampuan dan strategi untuk mempengaruhi orang lain (Rizal Yaakop 2008).  Kedua-dua tokoh tersebut seiring dalam pendapatnya dalam bicara soal kuasa ini, sungguhpun punya perbezaan dari segi teknikal.  Bagi Machiavelli, beliau menganggap bahawa bagi mengukuhkan kuasa demi menjaga keamanan dan kestabilan, pemerintah tidak perlu mementingkan nilai moral dan etika.  Inilah yang menggambarkan ungkapan falsafah popular beliau, iaitu “matlamat menghalalkan cara” (Russli Kamarudin 2008).  Bermaksud, pemerintah yang digeruni dan zalim dengan menggunakan kuasa yang ada padanya adalah sesuatu yang perlu diterima demi menjaga keamanan dan kestabilan negara.

Bagi Al-Ghazali pula, beliau berpandangan seseorang sultan (pemerintah) yang zalim dan jahil perlu disokong dan ditaati kerana baginda sumber pengabsahan seorang khalifah. Namun menurut beliau, selagi seorang sultan itu melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbirannya, sultan itu mestilah (wajib) ditaati, walau pun dia seorang yang zalim dan jahil semasa memegang kuasa demi kestabilan dan mengelakkan kacau-bilau dalam negara (Russli Kamaruddin 2008).

Merenung keadaan yang  berlaku di Malaysia waktu ini, ianya suatu yang merumitkan.  Terlalu banyak isu dan masalah berkenaan dengan hak asasi manusia, agama, bahasa, kaum, perundangan, rasuah, dan sebagainya, yang tidak nampak dimana noktahnya.  Di suatu sudut kita dengar seorang peguam menegur pihak masjid kerana azan terlalu kuat, yang menurutnya melanggar hak asasi manusia.  Di suatu sudut yang lain, kita dengar seorang EXCO kerajaan negeri menghalang PBT daripada kuatkuasakan enakmen syariah negeri.  Bagaimana pula seorang bekas MB dan menteri sendiri dituduh terlibat dengan rasuah.  Dan banyak lagi isu-isu yang boleh kita nyatakan di sini.  Apakah kebaikan yang kita dapat daripada ini semua?

Saya ingin merumuskan “why” atau “kenapa” dan “choice” atau “pilihan” sebagai wadah Gagasan Minda Orang Muda (GMOM).  Kenapa ini semua berlaku?  Kenapa anda membuat pilihan untuk bersama-sama dan menyokong mereka?  Kita boleh tentukannya, kerana pilihan ada ditangan kita, kerana kita punya suara.  Ramai lagi dikalangan kita, orang muda yang masih tidur dan bermimpi.  Lalai dengan hiburan dan keseronokan yang melampau.  Adalah menjadi tugas kita untuk mengejutkan mereka, kerana masa mencemburui kita.  Kita boleh membuat pilihan untuk berdiam diri dan berlaku seperti anjing menyalak bukit.  Tetapi jangan dikesali nanti, sekiranya nasi telah menjadi bubur.

Jadi kita, orang muda mahu kestabilan negara terus dipelihara.  Orang muda mahu agar rakyat dapat hidup sebagai satu ummah (bangsa) yang berjaya menuju bahagia.  Dan orang muda menyeru pemerintah Malaysia supaya melakukan apa yang perlu demi kestabilan dan keamanan negara.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: