Penyertaan rakyat dalam proses-proses politik mampu menjamin kestabilan politik? (Bahagian 1)

“Bukan Yang Ada itu tidak ada.  Melainkan merekalah yang tidak bertemu, mengelak jika telah bertemu, kerana kurang berani atau kerana fikiran tidak merdeka, kerana diikat oleh yang telah terbiasa, walaupun golongan ini kadang-kadang menamakan dirinya golongan yang berfikir merdeka.” (Hamka 2002)

Petikan kata-kata Hamka di atas menjelaskan betapa mereka (rakyat)—orang yang merasakan diri mereka telah merdeka, tidak berani untuk membuat pembaharuan, akibat daripada sudah terbiasa dengan cara dan budaya tradisi amalan hidup seperti adanya.  Mereka kadang-kadang  (barangkali) sedar tentang suatu perubahan itu perlu dilakukan, tetapi mereka takut; kerana mereka kurang yakin atau mungkin takut mereka kelak akan ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak yang berkuasa.

Penglibatan atau penyertaan rakyat dalam politik; secara langsung dan tidak langsung, bukanlah perkara baharu dalam arena politik tanah air khasnya dan arena politik antarabangsa umumnya.   Sebagai contoh, sewaktu Tanah Melayu (Malaysia) ingin menuntut kemerdekaan daripada British, telah berlaku demonstrasi atau perarakan besar-besaran di seluruh pelusuk Tanah Melayu pada waktu itu.  Rakyat, tidak kira peringkat umur dan faktor jantina, telah keluar bersama-sama bagi membantah penubuhan Malayan Union; yang mana akhirnya mampu bertahan dalam tempoh lebih kurang sebulan.  Begitulah keadaannya bagi menampakkan kesan terhadap penyertaan politik oleh rakyat.

Pemahaman berkenaan penyertaan politik dan persoalan tentang adakah penyertaan rakyat yang tinggi dalam proses-proses politik mampu menjamin kestabilan politik, ianya akan dibicangkan dalam bentuk yang skeptikal dan kritis terhadap bentuk sistem politik kontemporari disamping mendalami pemikiran pasif dan aktif rakyat terhadap proses-proses politik.

David Easton telah mentafsirkan sistem politik sebagai satu sistem atau organisasi yang merangkumi semua aspek persekitaran masyarakat misalnya ekonomi, sosial, dan budaya yang saling berinteraksi.  Aspek tersebut akan mengubah atau diubah oleh sesuatu proses politik.  Demokrasi merupakan salah satu di antara sistem pemerintahan sesebuah negara yang ada dan dipraktikkan oleh banyak negara ketika ini.  Menurut Ghazali Mayudin et al. (2009), istilah demokrasi datangnya daripada perkataan Yunani iaitu demos yang bermaksud orang ramai dan kratia yang membawa makna pemerintahan.  Tom Christiano (2006) pula menjelaskan, demokrasi adalah seperti berikut:  the term “democracy,” is a method of group decision making characterized by a kind of equality among the participants at an essential stage of the collective decision making. Kebebasan mutlak adalah tunggak demokrasi yang paling penting (Al-Anbariy 2008).

Idea demokrasi ini mengandaikan bahawa penglibatan politik semua penduduk merupakan satu-satunya sumber legislatif.  Oleh sebab mustahil untuk melibatkan semua penduduk dalam membuat hukum, undang-undang dan menentukan kesudahan sesuatu, maka lahirlah demokrasi dalam bentuk perwakilan melalui pemilihan wakil rakyat sebagai wakil mereka yang bertanggungjawab menilai urusan mereka dan menuntut hak-hak mereka (Al-Anbariy 2008).  Sementara itu,  Ghazali Mayudin et al. (2009) menjelaskan,  evolusi idea demokrasi juga, dari satu segi, dapat dilihat dari sudut bagaimana sistem demokrasi diklasifikasikan iaitu secara umumnya kepada dua: demokrasi secara langsung dan tidak langsung – dengan merujuk kepada suatu sistem yang telah diamalkan sejak zaman Yunani lagi.

Berdasarkan definisi dan penjelasan idea tentang demokrasi seperti di atas, dapat dijelaskan bahawa demokrasi merupakan sistem yang memberikan hak kepada setiap individu (rakyat) untuk membuat pemilihan.  Pemilihan yang dimaksudkan adalah dalam konteks negara, iaitu kerajaan yang memerintah.  Sesuatu keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kaedah undi untuk mendapatkan majoriti.  Jelas menunjukkan demokrasi membuka ruang seluas-luasnya atau apa yang selalu disebut sebagai kebebasan kepada rakyat untuk membuat pilihan mereka melalui pilihan raya yang dijalankan.  Rakyat diberi hak untuk mengundi.  Suara mereka akan disalurkan melalui satu-satu parti politik yang mewakili, dan kemudiannya segala janji dan manifesto; sekiranya parti tersebut menang, maka ianya bolehlah direalisasikan.

Di sesebuah negara yang baru atau ingin mengamalkan sistem demokrasi, para revolusioner akan berusaha untuk memahamkan rakyat tentang hak mereka untuk membuat keputusan dengan memilih siapakah pemimpin dan seterusnya kerajaan yang yang mereka inginkan.  Sudah pasti, rakyat pada ketika itu, memberi respon positif dengan menyokong ke arah suatu perubahan masa depan mereka, apatah lagi sekiranya mereka merasakan kehidupan mereka ditindas, miskin, mudur, dan sebagainya.  Dalam keadaan ini, sudah pasti (kebiasaannya), para revolusioner itu tadilah yang bakal membentuk kerajaan di negara terbabit kerana berjaya memenangi hati rakyat, dan atas platform demokrasi, mereka berjaya menumbangkan kerajaan sebelumnya.

Sebenarnya tidak mengapa sekiranya keadaan itu berlaku.  Maksud yang lebih jelas, kita memikirkan apa yang terbaik untuk dilakukan mengikut waktu dan keadaan semasa.  Sejarah ketamadunan manusia bernegara membuktikan bahawa tidak ada suatu sistem politik pun yang kekal selamanya.  Sampai satu tahap matang (peak time), ianya tidak akan dapat berfungsi seperti sewaktu awal kewujudannya.  Maka ianya digantikan dengan pilihan lain yang ada dan lebih ideal menurut para revolusioner.  Contoh jelas yang dapat digambarkan adalah sewaktu Zaman Pencerahan di Barat, dimana pihak gereja begitu berpengaruh dalam membuat keputusan kerajaan, secara langsung mengongkong perkembangan dan kemajuan orang Eropah pada ketika itu.  Lantas menyokong pemikir ulung pada ketika itu, iaitu Martin Luther.  Selain itu, kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah terhadap kepimpinan Islam yang lemah dan korup, sehingga memberi harapan baru kepada rakyat Turki untuk berubah bersama Mustapa Kamal Attarturk.

Selagi rakyat masih boleh berfikir tentang bagaimanakah bentuk kerajaan dan negara ideal, maka kitaran (perubahan) sistem politik di sesebuah negara akan terus berjalan.  Hanya masa dan keadaan yang menentukan.  Ini kerana, seperti apa yang dikritik keras oleh pemikir agung – Plato dan Aristotle.  Menurut Plato dalam bukunya The Republic dimana beliau melihat demokrasi akan berakhir dengan satu sistem pemerintahan yang bersifat anarki di bawah kawalan gerombolan-gerombolan orang ramai yang tidak terurus yang dikenali sebagai mobokrasi.  Atas kebimbangan inilah Plato beranggapan bahawa sistem monarki adalah sistem pemerintahan yang terbaik sungguhpun ianya mempunyai risikonya tersendiri dalam erti kata sistem monarki boleh bertukar menjadi tirani, satu bentuk pemerintahan yang terburuk, pada pandangan Plato (Ghazali Mayudin  et al. 2009).

Bersambung.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: