Penyertaan rakyat dalam proses-proses politik mampu menjamin kestabilan politik? (Bahagian 2)

“Democracy is the only political regime in which institutional rules of competition between candidates aspiring to exercise political authority make rulers accountable and responsive to the political preference distribution among all competent citizens.” (Herbert Kitschelt 2000)

Menurut Mahfudzah Mustafa (2002), dengan memetik kata-kata Almond dan Powell (1994), telah mendefinisian penglibatan atau penyertaan politik sebagai aktiviti-aktiviti politik di mana rakyat melakukan sesuatu usaha untuk mempengaruhi proses pembuatan polisi.  Selain itu tambah beliau, penyertaan rakyat dalam politik adalah berkait rapat dengan perbezaan antara struktur masyarakat itu sendiri mengikut kelas sosial, lokasi geografi, ideologi, agama, dan pengaruh kedudukan bandar—luar dan bandar. 

Kita harus menyedari hakikat bahawa wajah demokrasi; pada awal kewujudannya di dunia Barat, bukanlah seperti apa yang dapat kita lihat pada hari ini.  Persoalan, kenapa Barat (pada ketika Zaman Pencerahan) perlu berubah kepada sistem demokrasi daripada sistem monarki?  Jawapan mudah: biar rakyat yang buat keputusan.  Barat pada ketika Zaman Gelap (Dark Ages), rakyat tidak mempunyai kuasa untuk melibatkan diri (penyertaan) secara langsung dalam proses politik.  Kuasa politik terletak pada seorang raja yang bersifat mutlak; yang sebenarnya telah dipengaruhi oleh pihak Gereja Khatolik dalam membuat keputusan. 

“We can evaluate democracy along at least two different dimensions: consequentially, by reference to the outcomes of using it compared with other methods of political decision making; or intrinsically, by reference to qualities that are inherent in the method, for example, whether there is something inherently fair about making democratic decisions on matters on which people disagree.”  (Tom Christiano 2006)

Apa yang ingin ditekankan di sini adalah tentang kaedah atau cara atau proses untuk membuat keputusan berkenaan dengan hal politik.  Kerana hal politik inilah yang membawa gagasan dan hala tuju bagi sesebuah negara.  Sekiranya sistem monarki memberikan hak dan kuasa mutlak kepada seorang raja untuk membuat keputusan, maka sistem ini beraliran dari atas ke bawah.  Manakala sistem demokrasi pula memberikan hak dan kuasa kepada rakyat untuk membuat keputusan.  Dan sistem ini beraliran dari bawah ke atas.  Perbandingan di antara kedua-dua sistem ini dibuat adalah untuk mendapatkan gambaran jelas tentang perbezaan ketara dan bertentangan sama sekali di antara satu dengan lain.  Suatu struktur organisasi yang baik dan jelas; jika kita lihat pada sesebuah organisasi syarikat swasta mahu pun organisasi pentadbiran awam, maka ianya beraliran dari atas ke bawah, iaitu daripada pengarah kepada pengurus, pengurus kepada pegawai, dan seterusnya.  Bukan seperti sebaliknya.  Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa satu keputusan oleh seorang ketua yang memutuskan dalam sesebuah organisasi adalah lebih efektif daripada keputusan yang lebih daripada satu.  Dalam keadaan ini, penyertaan para pekerja bawahan adalah untuk melaksana dan memberi input untuk kebaikan organisasi disamping lontaran idea dan pendapat yang boleh memberi kebaikan kepada sesebuah organisasi tersebut.  Maka contoh yang diberikan adalah menggambarkan maksud yang lebih besar, iaitu kerajaan.  Ya, setiap sesuatu pasti ada baik dan buruknya.  Sesuatu yang baik; sekiranya kita menyalah gunakannya, maka ia akan memberi kesan sebaliknya.  Manakala sesuatu yang buruk itu; sekiranya kita sedar, maka ia boleh diubah sebaliknya. 

 Gambar Hiasan

Persoalan—adakah penyertaan rakyat yang tinggi dalam proses-proses politik mampu menjamin kestabilan politik? Maka jawabannya adalah bergantung kepada bagaimana sesebuah negara itu diperintah atau diatur (sistem).  Jawaban ini menjurus kepada bagaimana sebuah corak pemerintahan melakarkan, iaitu sama ada membenarkan penglibatan atau penyertaan rakyat secara langsung atau tidak langsung dalam perihal politik.  Penyertaan rakyat secara langsung adalah melalui sistem perwakilan kepartian secara kolektif, iaitu melalui pilihan raya yang diadakan.   Ya, ia dilihat dalam konteks demokrasi.  Sebagai contoh di Malaysia, parti politik utama yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA, dan MIC, perlu menjaga hak dan kepentingan kaum masing-masing untuk disalurkan kepada kerajaan.  Sekiranya pimpinan-pimpinan parti tersebut gagal memainkan peranan mereka, maka berkemungkinan besar, mereka tidak akan diundi pada pilihan raya seterusnya.  Jadi untuk memenangi undi (hati) kaum masing-masing, pucuk pimpinan parti perlu memastikan suara pengundi (rakyat) diteliti dan direalisasi.  Namun, adakah rasional setiap suara rakyat itu didengar dan di realisasikan? Ya, tidak rasional dan mustahil sama sekali untuk memuaskan hati semua orang (rakyat).  Maka sebab itu, sebarang isu dan permasalahan yang dibawa oleh wakil-wakil rakyat, akan dinilai secara kolektif dan majoriti.  Dan untuk menstabilkan kedudukan pemimpin; yang mana menstabilkan politik negara; pemimpin tersebut perlu pandai mengawal dan mengurus partinya masing-masing.  Contoh yang dapat diberikan adalah situasi di Malaysia, dimana, kita tahu bahawa parti UMNO, MCA, dan MIC merupakan parti-parti yang terbesar dalam pakatan Barisan Nasional (BN).  Dan kekalahan yang teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2008, Datuk Seri Abdullah Badawi (Pengerusi BN pada ketika itu) telah dikecam teruk pada waktu itu, dan telah didesak supaya meletak jawatan.  Ia diikuti dengan masalah kepimpinan parti MCA pada bulan Oktober 2009, antara skandal seks dan rasuah; yang menyaksikan perbalahan di antara pimpinan tertinggi parti parti itu, telah mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan.  Keadaan ini telah merencat proses perubahan dalam strategi BN untuk mendapat semula kerusi majoriti di Parlimen atau sekurang-kurangnya menang mudah melalui PRU yang akan datang.  Dan pada ketika ini, satu lagi siri masalah dalam BN, apabila MIC pula mempunyai masalah dan krisis dalaman parti; yang mana Presiden MIC didesak oleh ahli MIC sendiri untuk melepaskan jawatannya secepat mungkin. 

Penyertaan rakyat secara tidak langsung dalam proses-proses politik dapat dilihat di negara-negara yang mengamalkan sistem monarki, di mana penyertaan rakyat adalah tidak diperlukan; atau tidak dibenarkan sama sekali dalam perihal politik.  Kuasa diletakkan kepada seorang individu untuk memutuskan sesuatu keputusan.  Ia berlaku di negara-negra seperti Arab Saudi dan Brunei.  Rakyat hanya memberi ‘isyarat’ tentang apakah yang diperlukan.  Sebagai contoh, segala permasalahan rakyat mungkin dipertontonkan melalui kaca televisyen, majalah, mahupun surat khabar.  Dan kita tidak lihat ada desakan daripada rakyat dengan memprotes, memboikot, atau memberontak.  Ini kerana, kepatuhan dan ketaatan rakyat kepada pemerintah telah secara tidak langsungnya telah dilakarkan dalam sistem ini.  Apa yang penting, rakyat diberikan hak kehidupan dengan sebaiknya.  Tidak wujud ruang rungutan dan pemberontakkan dalam diri setiap rakyat.  Limpahan kemewahan yang dimiliki oleh kedua-dua negara tersebut daripada hasil minyak, perlu dikongsi bersama dengan rakyat.  Dalam konteks ini, pemerintah perlu tahu apakah yang terbaik untuk rakyatnya dalam menjamin kestabilan politik dan seterusnya kestabilan negara.    

Dalam konteks sistem Islam pula, al-Anbariy (2008) dalam bukunya Sistem Politik Islam, telah dengan tegas menyatakan bahawa sistem politik Islam tidak boleh disamakan dengan sistem politik lain.  Menurut beliau, istilah politik, atau dalam bahasa arabnya disebut al-siasah, bererti menguruskan sesuatu urusan dan memperbaikinya.  Tambah beliau, dari sudut istilah pula mempunyai beberapa definisi iaitu antaranya adalah mentadbir urus negara dan merupakan suatu ilmu atau kemahiran memerintah negara.   Sistem politik ialah satu struktur yang mengatur hubungan antara pemimpin-pemimpin dan orang bawahan dan ia terbentuk daripada keseluruhan institusi yang mengatur masyarakat awam dan institusi yang mengatur kekuasaan.  Walau pun sistem politik Islam mempunyai ciri-ciri yang ada dalam sistem demokrasi, monarki, dan komunis, namun menurut al-Anbariy, beliau bertegas akan wujud perbezaan yang ketara; yang tidak boleh disamakan dengan sistem politik Islam yang berteraskan wahyu Allah atau al-Quran itu.  

Sekiranya kita jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan politik seperti yang dikatakan oleh al-Anbariy, maka kita dapat membayang apakah lakaran atau corak pemerintahan dalam Islam.  Dan bagaimana penyertaan rakyat dalam proses-proses politik.  Kestabilan politik adalah destinasi dalam berpolitik.   Ia perlu dikekalkan.  Namun al-Anbariy telah menjelaskan, kaedah ke empat dalam kaedah kepimpinan yang perlu ada dalam sistem politik Islam adalah haram memberontak ke atas pemimpin zalim dengan mengadakan revolusi atau rampasan kuasa.  Dengan memetik kata-kata al-Qurtubi, al-Anbariy menjelaskan memadailah dengan mengetahui bahawa memberontak terhadap pemimpin-pemimpin zalim akan merosakkan keamanan umat kerana penyebab bertukarnya keamanan kepada ketakutan, penumpahan darah, serangan ke atas orang Islam dan tersebar kerosakan di atas muka bumi.  Islam adalah agama dan negara—begitu jelas al-Anbariy.  Justeru, melalui sarjana-sarjana Islam terdahulu seperti al-Albani, al-Mawardi, al-Sayuti, Ibn Kathir, dan lain-lainnya, al-Anbariy merujuk kepada saranan salafus soleh atau para ulama Ahli Sunah Waljamaah yang hidup dalam 300 tahun awal Islam, yang boleh memerintahkan supaya bersabar dan melarang daripada memberontak kerana ia akan menimbulkan banyak kerosakan dan kemusnahan.  Dan sebab itu, tersebarnya syiar Islam bawakan Rasulullah adalah dengan uswatulhasanah iaitu suri tauladan yang baik dan tiada paksaan untuk mengikutnya.  Namun, sememangnya dalam konteks pemahaman dan pemikiran dunia semasa, adalah amat sukar menerima apa yang diketengahkan oleh al-Anbariy. 

Berdasarkan apa yang telah dibincangkan seperti di atas; persoalan adakah penyertaan rakyat yang tinggi dalam proses politik mampu menjamin kestabilan politik? – ianya bersifat subjektif.  Seperti halnya di Thailand, krisis politik yang dilalui baru-baru ini telah merugikan ekonomi negara gajah putih itu.  Atas nama demokrasi, rakyat keluar beramai-ramai sehingga muncul kumpulan-kumpulan yang pro bekas Perdana Menteri Thaksin atau Kumpulan Baju Merah, kumpulan pro kerajaan atau Kumpulan Baju Kuning, dan ada juga Kumpulan Baju Merah Jambu yang bersifat neutral.  Baru-baru ini, Kumpulan Baju Merah yang dikatakan didalangi oleh Thaksin, telah mengadakan bantahan beramai-ramai supaya Abhisit meletakkan jawatan dan membubarkan Parlimen, kerana mereka mendakwa kerajaan semasa tidak demokratik. Keadaan ini berlarutan selama lebih dua bulan dan sehingga melumpuhkan ekonomi Thailand dan memaksa Perdana Menteri Abhisit mengeluarkan perintah darurat di beberapa wilayah di sekitar Bangkok.  Jadi, penyertaan rakyat dalam proses politik yang tinggi di Thailand, ternyata tidak menstabilkan keadaan politik negara tersebut.  Sistem politik adalah lakaran atau bentuk sesebuah pemerintahan.  Bagaimana sebuah negara itu diatur dan diurus-tadbir untuk mencapai matlamat tertentu.  Menurut Abdul Qadir Djaelani (2001), negara yang didirikan di atas dasar suatu konstitusi (undang-undang dasar) disebut negara hukum.  Ertinya, negara itu berdiri di atas landasan hukum yang dapat menjamin keadilan terhadap setiap warga negara.  Tambah beliau lagi, keadilan merupakan syarat bagi tercapainya kebahagiaan hidup untuk warga negaranya.   Maka kebahagiaan hidup warga negaranya, menjamin kestabilan politik yang berpanjangan.  Ini harus dikekalkan selama mungkin.  Selain daripada itu, Abdul Qadir Djaelani turut mengambil pendapat Aristotles, di mana yang memerintah bukanlah manusia sebenarnya, melainkan fikiran yang adil.  Sedangkan penguasa sebenarnya hanya pemegang hukum dan keseimbangan.  Morallah yang akan menentukan baik dan tidaknya suatu peraturan perundangan; dan membuat undang-undang adalah sebahagian kecakapan menjalankan pememrintahan negara. 

Mengapa perlu rakyat diheret untuk menurut serta dalam proses politik?  Bukankah menjadi tugas pemerintah atau kerajaan bagi memastikan keseimbangan dalam negara untuk kestabilan politik?  Saya begitu optimis menyatakan bahawa sekiranya rakyat merasakan kedamaian hidup, kesenangan yang mungkin bukan bersifat material sahaja, cukup segala keperluan kehidupan, anak-anak dapat bersekolah sehingga ke tahap yang membanggakan, perubatan yang terbaik yang mampu dimiliki, dan sebagainya, saya merasakan rakyat tidak perlu menyertai apa-apa proses politik, yang mana tidak ada sebab untuk mengubah kerajaan atau menukar polisi mahupun dasar-dasar kerajaan dan seterusnya apa yang dikatakan sebagai kestabilan politik.  Dikotomi dengan keadaan dimana sesebuah corak pemerintahan yang korup, nasib dan kebajikan rakyat tidak di bela dengan baik, jurang antara kaya dan miskin amat ketara, keselamatan rakyat terancam, dan sebagainya, maka keadaan inilah yang penyertaan rakyat yang tinggi dalam proses-proses politik mampu menjamin kestabilan politik.

            “…sistem politik Islam pula berbeza dengan semuanya itu.  Amat salah ungkapan yang selalu diucapkan di pentas-pentas politik dan sesi-sesi ilmiah, iaitu “sesungguhnya Islam ialah sistem demokrasi.”  Ketika komunis diterima dengan meluas di dunia suatu ketika dahulu, terdapat segolongan orang yang menyatakan bahawa komunis itu hanyalah wajah baru sistem politik Islam.  Mereka yang berpendapat demikian, tidak mengkaji Islam secara ilmiah.  Mereka juga tidak mengetahui sistem politik Islam yang mempuyai ciri-ciri tersendiri yang berpaksikan di atas dasar-dasar yang bijaksana dan kaedah-kaedah yang teliti…” (Al-Anbariy 2008)

Berdasarkan perbincangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa, penyertaan politik merupakan aktiviti-aktiviti politik di mana rakyat melakukan sesuatu usaha untuk mempengaruhi proses pembuatan polisi.  Namun, penyertaan rakyat yang tinggi dalam proses-proses politik belum tentu dapat menjamin kestabilan politik.  Ianya bergantung kepada apakah corak pemerintahan sesebuah negara dan bagaimanakah sesebuah negara itu ditadbir-urus.  Kerajaan yang memerintah perlu bijak bagaimana untuk mencari titik keseimbangan di antara aspek politik, ekonomi, dan sosial.  Pendapat Abdul Qadir Djaelani (2001), bahawa negara yang didirikan di atas dasar suatu konstitusi (undang-undang dasar) disebut negara hukum ada asasnya.  Ertinya, negara itu berdiri di atas landasan hukum yang dapat menjamin keadilan terhadap setiap warga negara.  Keadilan merupakan syarat bagi tercapainya kebahagiaan hidup untuk warga negaranya.   Maka kebahagiaan hidup warga negaranya mampu menjamin kestabilan politik yang berpanjangan.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: