Bicara Minda: “…dan apabila saya menyentuh soal Islam…”(Bah.1)

(Anda berada di ruangan Bicara Minda. Sekiranya anda mempunyai masalah mental yang keterlaluan, pemikiran yang tidak terbuka, dangkal, dan mempunyai niat jahat yang merosakkan, selayaknya anda tidak perlu membaca nukilan ini seterusnya. Ia adalah bicara minda yang dizahirkan. Niatnya untuk mendekatkan diri kepada penciptanya dan mengenal (mencari) Islam dalam erti kata sebenar. Mudahnya, Bicara Minda adalah ruangan ilmiah bertujuan diskusi, dan tidak ada niat untuk menjatuhkan maruah Islam itu sendiri, lebih-lebih lagi dalam soal Akidah. Kerana Islam adalah milik Allah untuk sekalian alam. Selayaknya, Dia-lah yang menunjuki jalan (hidayah) kepada sesiapa yang Dia inginkan.”)

Dan ia tidak berhenti di situ. Hati orang-orang sesamanya itu terlalu busuk andai dapat dihidu. Kelemahan orang-orang itu adalah disebabkan mereka sendiri tidak mahu berubah. Kerana kehidupan orang-orang itu adalah bergantung sepenuhnya pada tahap akal yang jumud dan dangkal, serta kedudukannya begitu jauh di bawah. Ini semua mereka yang letakkan, sebab tidak mahu berfikir. Mereka serahkan kepada orang lain untuk berfikir bagi dirinya sahaja. Mungkin juga orang-orang ini takut. Tetapi menyatakan bahawa mereka ini orang-orang merdeka.

Dan apabila saya mula menyentuh soal Islam, orang-orang ini akan berkata:

“Tidak boleh belajar Al-Quran sendirian, mesti ada guru. Kalau tidak, boleh sesat”, dan ini: “Kau mesti belajar Al-Quran dengan si anu (sesat)”, dan ini pastinya: “Cakap tidak serupa bikin”, dan ini juga ada: “Kau ni bodoh ke, kalau tak belajar Islam, lebih baik jangan cakap pasal Islam”, dan ada beberapa lagi yang akan saya nyatakan nanti. Saya anggap ini semua rencah dalam perjalanan saya menuju jalan-Nya, Islam.

Kenyataan-kenyataan ini merupakan zahir kepada suatu pemikiran masyarakat yang menyatakan dirinya Islam di kebanyakan tempat. Mereka takut untuk menanyakan “Apakah itu Islam?.” Mereka menerima sahaja apa yang ada didepannya, tanpa berfikir. Mereka menerima Islam dari pakaian dan rupa parasnya sahaja. Kalau seseorang itu berjanggut, maka Islamnya pasti class. Mereka tidak tahu mengapa seseorang itu berjanggut. Atau apakah peranan janggut dalam Islam? Atau apakah sekiranya semua orang Islam itu berajanggut, maka Islam itu akan kuat? Begitu juga berjubah. Hal-hal ini semua menjadi penanda aras dan faktor luaran kepada mereka untuk menilai bawakkan Islam ke hati mereka. Dan mereka terima tanpa mempersoalkan. Tidakkah mereka melihat apa yang berlaku di tanah arab ketika ini? Huru-hara dan kacau bilau. Adakah sejahtera (Islam) namanya ditempat yang nyata begitu ramai orang-orang yang berjanggut dan berjubah itu? Ini semua kerana ‘ustaz-ustaz’ mereka mengajarkannya supaya tidak mempersoal tentang apa yang diajarkan. Hal ini banyak berlaku di sekolah-sekolah agama dan diskusi tentang agama (Islam). Maka percambahan ilmu itu terbantut kerana proses pemahaman jitu terhadap sesuatu itu disekat oleh tindakan ‘ustaz-ustaz’ tersebut. Dan lahirlah ‘orang-orang Islam’ yang hanya pada nama dan tidak pada isinya. Ibarat tin kosong, bunyi sahaja kuat. Mereka tidak sedar bahawa ‘labah-labah’ besar yang mereka agung-agungkan itu telah memakan isi diri mereka.

Ingin saya tegaskan, hanya Allah sahajalah sebaik-baik dan selayak -layak guru yang mengajarkan melalui perantaraan kalam (Al-Quran.) Maha suci Allah. Ini buktinya dalam surah AR-Rahman, ayat 1 – 4:  “(Tuhan) Yang Maha Pemurah. Yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia menciptakan manusia. Mengajarkannya pandai berbicara. Jadi siapa yang ingin mempersoal maksud ini, sila ‘mengutus surat’ kepada-Nya dan tanyakan kenapa.

Bukankah Dia berhak menentukan siapa yang sesat dan siapa yang ingin ditunjuki-Nya? Sedang Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasul yang kewajibannya adalah untuk menyampaikan wahyu Allah kepada sekalian alam sahaja. Jadi selayaknya Allah sahajalah sebaik-baik tempat untuk mengadu dan mendapatkan ilham (pelajaran). Dan Dia-lah yang menghukum di hari pengadilan.

Apakah bukti (atau endorsement) diri anda (dan diri saya) diterima-Nya? Tidak ada. Saya cuma mengharapkan agar diri ini diterima-Nya. Bohong, sekiranya saya boleh menghukum seseorang itu diterima (syurga) dan tidak (neraka). Kerana semuanya itu hanya milik-Nya sahaja.

Saya ingin menjelaskan maksud diri agar jelas. Saya ingin mendapat ilmu-Nya walau pun terpaksa berdepan dengan bahaya dan kesukaran. Agar diri saya tegas dan berpendirian jitu. Hidup ini saya zahirkan sebagai suatu perjalanan, dan boleh juga saya katakan pengembaraan untuk menemui jalan-Nya. Atau saya harus menyatakan bahawa saya mahu Islam, bukan Islam itu telah dengan sendirinya dilabel terhadap diri saya (sejak lahir) – melalui kad pengenalan saya sahaja. Keadaan ini secara tidak langsung (bagi saya) menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. Kerana tidak mengenal Islam dalam erti kata sebenar. Bagaimana saya boleh menjelaskan yang baik akan sesuatu tanpa memahami akan sesuatu yang buruk itu? Bermaksud, saya tidak akan dapat menjelas maksud sebenar sesuatu yang dikatakan baik, sekiranya saya tidak benar-benar mendalami sesuatu yang sebaliknya.

Ilmu untuk menjadi seseorang Islam belum cukup, maka usaha untuk menjadi seorang Islam (dalam erti kata sebenar) sedang giat saya usahakan. Bacaan sahaja tidak cukup, tanpa pemerhatian dan praktis. Dan saya tidak perlu malu untuk tujuan itu, malah tidak perlu takut untuk ‘menjadi Islam’ dalam erti kata sebenar. Moga-moga, hasil dari sebuah pengembaraan yang indah ini dapat dikongsikan kepada anak-anak dan cucu-cucu saya, dan kepada sesiapa yang sudi mendengarnya suatu hari nanti.

Dan begitulah, apabila saya menyentuh soal Islam… (bersambung)

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: