PENDEKATAN STRUKTURAL – FUNGSIONAL: DALAM MENJELASKAN TEORI DAN KONSEP BERNEGARA

Struktural-fungsional adalah merupakan suatu teori sosiologi yang menjelaskan tentang struktur masyarakat yang berbeza-beza dengan fungsi-fungsi setiap (unit) individu yang saling berhubung di antara satu sama lain.  Ini kerana, masyarakat terdiri daripada aneka ragam; yang mempunyai kepelbagaian kepakaran dan minat tertentu, citarasa dan kemampuan tertentu dan terbatas—dan pastinya, mereka tidak akan dapat hidup secara sendirian. Justeru, pendekatan struktural-fungsional berupaya menjelaskan proses sosial dan politik dalam sesebuah masyarakat khususnya yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi (Nidzam Sulaiman 2008).

Menurut Abdul Qadir Djaelani (2001) pula, dengan memetik kata-kata Al-Farabi, telah menyatakan bahawa, sifat keistimewaan manusia antara lain adalah homo socious (suka bergaul).  Ini merupakan salah satu dorongan terwujudnya suatu masyarakat.  Manusia berkumpul sesama mereka untuk saling memenuhi keperluan hidup mereka, di dalam satu masyarakat.  Asasnya, keperluan hidup manusia adalah makanan, pakaian, tempat tinggal, dan keselamatan.  Kerjasama antara anggota masyarakat dalam memenuhi keperluan masing-masing adalah syarat mutlak untuk kebahagiaan masyarakat itu sendiri.  Bagi mengatur kerjasama yang baik, maka masyarakat memerlukan seorang pemimpin, yang diambil dan diangkat oleh anggota masyarakat itu sendiri.  Pimpinan itu pula bertanggungjawab dalam mengatur dan membahagi setiap hasil produksi, untuk memenuhi segala keperluan anggotanya.  Maka, keadaan ini jelas Djaelani, adalah menerangkan maksud Aristotles yang berpendapat, negara itu adalah sebagai gabungan daripada bahagian-bahagian yang dijelaskan seperti di atas.  Ini kerana, menurut beliau, urutan besarnya adalah individu, keluarga, kampung, dan negara.

“Negara utama tidak ubahnya seperti susunan tubuh manusia yang sihat dan sempurna.  Masing-masing anggotanya berusaha dan bekerja sama untuk menyempurnakan dan memelihara segala hidup bersama.  Sebagaimana halnya tubuh manusia yang mempunyai anggota-anggota yang masing-masing berbeza-beza tugas dan kesanggupannya, di atas semuanya ada satu anggota yang merupakan kepala seluruh anggota: hati.  Demikian juga halnya dengan negara.  Masing-masing rakyatnya mempunyai tugas dan kepandaian yang berbeza-beza, yang dipimpin oleh seorang pemimpin negara.  Sedangkan yang lainnya membantunya dalam berbagai kedudukan.” (Al-Farabi)

 

Bagi membincangkan pendekatan struktural-fungsional: dalam menjelaskan teori timbulnya negara, Abdul Qadir Djaelani (2001) ada perinciannya.  Kerana pendekatan ini dijelaskan adalah relatif sifatnya dalam soal bernegara.  Menurut beliau, Al-Ghazali juga sependapat dengan Aristotles dan Al-Farabi dalam menjelaskan hal ini.  Al-Ghazali telah menyatakan bahawa sesungguhnya manusia dijadikan tidaklah hidup sendirian, tetapi sangat perlu bergaul dan berkumpul bersama manusia lainnya.  Hal ini disebabkan oleh dua perkara, iaitu: pertama, seseorang itu memerlukan keturunan untuk kelangsungan kehidupannya di dunia ini.  Oleh yang demikian, antara lelaki dan perempuan perlu melakukan ikatan perkahwinan; dan kedua, seseorang itu perlu saling tolong-menolong untuk menyediakan makanan, pakaian, dan pendidikan anak-anaknya.

Dengan terjalinnya hubungan suami isteri, maka lahirlah anak.  Setiap orang tidak mungkin dapat memelihara anak dan menyediakan makanan secara baik (terurus), tanpa bantuan orang lain.  Kerana itu, dia tidaklah cukup berkumpul sekeluarga sahaja.  Hubungan antara keluarga dalam suatu masyarakat memungkinkan keperluan anggota masyarakat dapat dipenuhi.  Manusia tidak akan dapat hidup tanpa bantuan orang lain.  Seseorang tidak mengerjakan tanah pertanian jika tidak ada alat-alat pertanian.  Untuk membuat alat-alat tersebut, diperlukan tukang besi dan tukang kayu.  Sedangkan untuk memperoleh makanan pula, peranan tukang masak dan tukang roti sangat diperlukan.  Pakaian pun tidak dapat dihasilkan secara sendirian, maka, diperlukan pula bahan seperti kapas, alat tenunan, dan peralatan bagi menjahit.  Pada dasarnya, kita dapat lihat bahawa manusia saling bergantungan antara satu sama lain, saling bekerjasama, dan bantu-membantu.

Selain itu, Al-Ghazali selanjutnya mengatakan, sudah menjadi sifat istimewa manusia, selain suka bergaul dan bekerjasama, juga suka berlawanan dan bermusuhan di antara satu sama lainnya—antara suami dan isteri, ayah dan anak, antara anggota masyarakat, dan sebagainya.  Semuanya mempunyai keperluan dan saling bantu-membantu, dan semuanya juga saling berlumba-lumba untuk bersaing bagi memenuhi keperluan masing-masing.  Maka dengan itu, jelas Al-Ghazali, sesudah berkumpul hingga membentuk negeri, mereka lalu berebut dan berkelahi untuk mendapatkan keperluan masing-masing dan memuaskan nafsunya sendiri.  Hal ini pastinya mewujudkan permusuhan, perkelahian, perompakan, pencurian, dan pelbagai tindakan jahat yang membahayakan keselamatan masyarakat dan anggota individu tersebut.

Atas dasar dan sebab itu, Al-Ghazali menjelaskan betapa perlunya sebuah negara; yang mempunyai lembaga-lembaga (institusi) untuk keselamatan dan ketenteraman masyarakat.  Institusi-institusi tersebut, antaranya adalah, 1) Institusi pemerintahan—untuk mengatur negeri dan menyelesaikan sengketa yang terjadi; 2) Institusi ketenteraan—untuk melindungi rakyat dengan kekuatan senjata serta menghapuskan pencurian dan perompakan; 3) Institusi pengadilan—untuk menetapkan hukum dan menjatuhkan hukuman terhadap orang yang bersalah, supaya rakyat dapat menjaga ketertiban dan mematuhi undang-undang; dan 4) Institusi pertanian—untuk melindungi rakyat dan anggota agar dapat membahagi secara adil akan hak-hak tanah, kepada anggota masyarakat.

Di samping itu, Djaelani menjelaskan, Ibnu Khaldun telah mengajukan teorinya, iaitu dengan menyatakan, kemampuan setiap orang adalah sangat terbatas.  Untuk memenuhi keperluan hidupnya sehari-hari seperti makanan, ia memerlukan pekerjaan yang banyak; yang perlu dilakukan seseorang itu, mulai menumbuk tepung gandum, meremasnya dalam air dan kemudian memasaknya menjadi roti.  Ia memerlukan bantuan dari pelbagai pihak, seperti tukang besi, tukang kayu, dan penjual tembikar.  Bahkan, sejak menanam, mengetam, mengirik, semuanya memerlukan bantuan orang lain, terutamanya dalam menyediakan alat-alatnya.  Kerana itu tambah beliau, mustahil bagi setiap individu untuk memenuhi keperluannya sendiri, hanya dengan seorang diri.  Ia memerlukan bantuan orang lain, dengan jalan bekerjasama dan bergotong-royong.  Masing-masing pihak (struktur) bekerja menurut keahliannya (fungsi).

Ibnu Khaldun menjelaskan lagi, bagi mempertahankan diri dari setiap gangguan dan serangan, baik dari binatang buas mahu pun dari manusia lainnya, ia juga memerlukan alat-alat, dalam bentuk tombak, perisai, lembing, panah, dan lain-lainnya.  Kerana itu, baik untuk keperluan sehari-hari mahu pun untuk mempertahankan diri untuk keselamatannya, manusia memerlukan bantuan orang lain, dengan jalan bekerja sama dan bergotong-royong.  Dengan keadaan begitu, maka terbentuklah suatu masyarakat.  Masyarakat adalah syarat mutlak untuk kelangsungan hidup umat manusia di dunia ini.

Dan mengakhiri teori beliau, Ibnu Khaldun menjelaskan, untuk mengatur ketenteraan dan keselamatan setiap anggota masyarakat, baik dalam mewujudkan kepentingan bersama mahu pun untuk mengatasi perbezaan dan pertentangan kerana perbezaan kepentingan, maka diperlukan seorang pemimpin yang menjasi penengah (wazi’) dan pengatur di antara mereka.  Pemimpin tersebut harus mempunyai kekuatan, kekuasaan, dan keberanian, yang dapat memaksa keputusan dan kepentingan, demi kepentingan bersama.  Dengan adanya pemimpin yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan yang dipatuhi oleh setiap anggota masyarakat, maka lahirlah apa yang disebut sebagai negara.

Seorang lagi tokoh yang mengutarakan pendapat yang sama dalam soal struktural-fungsional ini sehingga membentuk negara; yang disebutkan Djaelani adalah Ibnu Taimiyah.  Beliau mengajukan teorinya dengan menyatakan kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia mahu pun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerja sama dan saling menolong.  Kerja sama dan tolong-menolong tersebut perlu menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan.  Kerana alasan inilah, dikatakan bahawa manusiai pada dasarnya adalah makhluk sosial.  Apabila umat manusia telah diorganisasikan, sudah pasti banyak hal-hal yang harus mereka lakukan untuk mewujudkan kesejahteraan mereka dan banyak pula hal-hal yang tidak boleh mereka lakukan kerana akibatnya sangat buruk.  Mereka harus mematuhi pemimpin yang menjunjung tinggi cita-cita tersebut.  Jadi, seluruh umat manusia harus tunduk kepada para pemimpin atau orang-orang yang mencegah kejahatan.  Masyarakat dengan pimpinan seorang penguasa yang ditaati itulah, yang disebut negara.

Berdasarkan beberapa teori yang dikemukan oleh tokoh-tokoh ilmuan tersohor di atas, maka jelas menunjukkan bahawa terkaitan diantara “struktur” dan “fungsi” dalam masyarakat untuk menjelaskan maksud bernegara.  Suatu elemen penting bagi menjelaskan peranan atau fungsi setiap individu yang perlu dimainkan dalam setiap lapisan masyarakat atau struktur untuk keseimbangan dan kelangsungan hidup.  Manusia tidak dapat (mustahil) secara bersendirian untuk memenuhi tingkat keperluan dirinya, malah perlu berhubungan dengan manusia yang lainnya bagi tujuan tersebut.  Maka dengan sebab itu juga, Nidzam Sulaiman (2008) menjelaskan bahawa, pendekatan fungsionalisme yang menjadi pendekatan utama di dalam peringkat awal kajian sosial kerap kali digunakan di dalam mengkaji integrasi sosial.  Hubungan integrasi dengan pendekatan ini menjadi begitu rapat seolah-olah pendekatan ini sekali gus membayangkan keadaan yang imbang, harmoni, dan stabil.

Tambah Nidzam, masyarakat dilihat sebagai satu keseluruhan yang mempunyai bahagian-bahagian, sektor, cabang, dan peringkat.  Setiap bahagian atau sektor atau cabang atau peringkat itu, mempunyai fungsinya tersendiri dan fungsi ini harus dipenuhi untuk memastikan keseimbangan masyarakat tersebut. Sekiranya sesuatu bahagian itu tidak memainkan fungsinya (seperti polisi tidak memelihara kemanan, atau pembekalan air terhenti mahupun guru sekolah melancarkan mogok) maka akan berlaku ketidakseimbangan dalam masyarakat.  Pokoknya konsep struktur dan fungsi penting di sini, iaitu masyarakat memiliki struktur atau berbagai bahagian yang penting dalam membina masyarakat itu dan setiap bahagian itu memiliki fungsi yang perlu dipenuhi bagi menjamin penerusan masyarakat.  Kestabilan, integrasi, harmoni, dan keseimbangan dengan itu menjadi matlamat utama dan andaian utama kepada perspektif ini dalam melihat masyarakat.  Dan menurut Nidzam, Durkheim, Malinowski, Radcliffe-Brown dan Parsons adalah antara pelopor huraian masyarakat melalui pendekatan ini.

 

“Governments do many things—from establishing and operating school systems, to maintaining public order, to fighting wars.  In order to carry on these disparate activities, governments have specialized agencies, or structures, such as parliments, bereaucaries, administrative agencies, and courts.  These structures perform functions, which in turn enable the government to formulate, implement, and enforce it policies.  The policies reflect the goals; the agencies provide the means to achieve them.” (Almond et.al 2010)

 

Seperti apa yang Al-Ghazali, Ibnu Khaldun, dan Ibnu Taimiyah jelaskan di atas, Nidzam juga perincikan hal yang sama berkenaan dengan sifat berlawanan atau permusuhan atau perkelahian—yang disebut Nidzam sebagai “konflik”.  Menurut beliau, keadaan integrasi sosial sebenarnya boleh juga dibincang melalui pendekatan konflik.  Melalui pendekatan ini, hubungan di dalam masyarakat kelihatan sepadu, namun sebenarnya tidak sejahtera dengan kedudukan kelas yang berbeza.  Ini kerana, kelas bawahan yang lebih besar saiznya kelihatan hidup aman di bawah dominasi kelas atasan.  Mereka yang memainkan peranannya sebagai pekerja atau petani merasakan memang fungsi mereka adalah untuk bekerja seperti sewajarnya tanpa merasa diperas.  Kedudukan seperti ini akan berterusan selagi kesedaran bahawa mereka berada di dalam satu kelas itu sebenarnya boleh menggugat masih tidak timbul.  Secara teori, dengan kelahiran kesedaran kelas akan menyebabkan revolusi meletus daripada kelas bawahan ini sama ada kelas petani atau pun buruh.

Melalui Djaelani, Plato telah menjelaskan dengan mengemukakan adanya analogi antara jiwa dan negara.  Hakikat jiwa sebagaimana hakikat negara.  Unsur yang ada pada jiwa itu antara lain adalah keinginan, seperti lapar, dahaga, dan cinta.  Ada pula unsur logis (akal), iaitu jalan yang menghantarkan manusia agar dapat belajar mengetahui sesuatu.  Kerana mengetahui itu, manusia mencintainya.  Di antara unsur keinginan dan unsur logis, dalam jiwa manusia, juga ada unsur semangat, yang menyangkut soal kehormatan.  Unsur ini memberikan inspiras kepada manusia untuk bertempur.  Hal itu tidak didorong oleh ambisi atau keinginan, tetapi kerana didorong oleh rasa berontak terhadap ketidakadilan, dan rasa tunduk pada keadilan.

Jelas Plato lagi, dalam jiwa, unsur ini berada di tengah antara kedua unsur lain tadi.  Tetapi, manusia cenderung berpihak kepada akal.  Selaras dengan adanya ketiga unsur di dalam jiwa itu, di dalam negara pun, terdapat tiga jenis kelas dengan fungsi masing-masing.  Kelas yang dimaksudkan oleh beliau ialah: pertama, kelas penguasa—yang mengetahui segala sesuatu; kedua—kelas pejuang atau pembantu penguasa—yang penuh semangat; dan ketiga, kelas pekerja—yang lebih mengutamakan keinginan dan nafsu.

Apa yang dijelaskan Plato di atas adalah menggambarkan secara keseluruhan tentang terkaitan di antara struktural-fungsional dengan teori dan konsep bernegara.  Kerana setiap diri individu yang terdiri daripada lapisan itu diambil kira akan fungsi diri agar dapat menyumbang ke arah kesejahteraan hidup bersama dalam sesebuah negara, dan seterusnya alam.  Walau pun tidak dinafikan bahawa, manusia itu sendiri sejak permulaan kejadiannya mempunyai ciri kontradiksi dialektis, suatu pertarungan konstan antara dua anasir yang berlawanan.  Kata Djaelani, pertarungan itu berlangsung di segenap tempat dan waktu.  Namun, manusia sendiri adalah suatu mikrokosmos, makhluk yang paling baik, manifestasi kejadian yang paling jelas.  Kerana dalam dirinya, alam mencapai kesedaran diri, bersama dengan gerak maju manusia, alam pun bergerak ke arah kesempurnaan.

Berdasarkan perincian berkenaan dengan pendekatan struktural-fungsional dalam menjelaskan tentang teori dan konsep bernegara, dapat disimpulkan bahawa pendekatan ini adalah merupakan penjelasan kepada elemen asas dalam pembentukan sesebuah negara.  Ini kerana, ianya mencakupi soal negara; yang terkandung di dalamnya soal sistem—pemerintahan, integrasi, pluralistik, sosio-politik, ekonomi, dan sebagainya.  Interaksi sosial yang berkesan mewujudkan integrasi sosial yang padu, seperti deruan air sungai yang mengalir deras, menurut aturannya.  Struktur masyarakat yang beraneka ragam, latarbelakang, kepakaran, dan batas-batasnya, menuntut kerjasama, dan sifat gotong-royong—yang memahamkan mereka adalah saling memerlukan—yang akhirnya mewujudkan struktur kukuh yang terorganisasi dalam menjelaskan hubungan sesama mereka.  Kerana perkara yang perlu dielakkan mereka adalah konflik.  Justeru, sekiranya setiap individu (tanpa berkecuali) memainkan peranan atau fungsi diri, maka setiap apa yang diinginkan (matlamat) oleh sesebuah negara (sebagai matlamat kolektif) akan dapat direalisasikan secara bersepadu dan hikmah.  Namun, seperti penjelasan Abdul Qadir Djaelani (2001), manusia itu sendiri sejak permulaan kejadiannya mempunyai ciri kontradiksi dialektis, suatu pertarungan konstan antara dua anasir yang berlawanan.  Dan, pertarungan itu berlangsung di segenap tempat dan waktu.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: