NEGARA BANGSA

“The test of caurage comes when we are in minority.  The test of tolerance comes when we are in majority.” (Ralph W. Sockman 1889-1970)

 

Menurut Almond et.al (2010), bangsa adalah merupakan sekumpulan orang, yang tinggal di wilayah yang sama, yang mana mereka mempunyai identiti yang sama.  Ia juga didefinisikan sebagai satu komuniti politik yang terbentuk dalam sejarah yang dipertautkan melalui perkongsian wilayah bersama, ekonomi bersama, budaya dan bahasa bersama serta perasaan sebangsa, dan nama kolektif bersama (Abdul Rahman Embong 2001).  Konsep bangsa pula mempunyai maksud yang lebih luas dan dikatakan terbentuk berasaskan gagasan ras atau etnik yang sedia ada.  Jika dalam istilah etnik, anggota masyarakatnya mempunyai rasa kekitaan atas ciri-ciri persamaan bagi membezakan antara mereka dengan orang lain, maka konsep bangsa merujuk kepada kumpulan anggota masyarakat yang mendiami satu ruang wilayah yang mempunyai sempadan dan satu kerajaan yang sama serta mentaati satu undang-undang yang sama.  Untuk itu, unsur politik memainkan peranan yang sangat penting.  Tanpa kekecualian, setiap anggota di dalam bangsa itu terikat oleh satu sistem perundangan yang sama serta mempunyai hak dan tanggungjawab yang selaras, tanpa mengira kaum, warna kulit, keturunan, umur, jantina ataupun keluarga.  Idea tentang “bangsa” dalam konteks yang lebih spesifik terhadap negara bangsa—yang kita digalakkan untuk membina dan mempertahan—adalah merupakan suatu yang baru, yang mana ianya bermula seawal abad ke-20 (Wang Gungwu 2004).

Berbeza dengan kenyataan Rodzi Razak (2009), beliau memberitahu bahawa Kenichi Ohmae telah menyifatkan abad ke 20 dan awal abad ke 21 sebagai era berakhirnya negara bangsa.  Lanjutan itu, beliau menekankan kepada pembentukan dunia tanpa sempadan yang ditunjangi oleh aliran kecanggihan berasaskan teknologi maklumat.  Bagi beliau juga, keunggulan negara bangsa telah roboh dan tercabar akibat beberapa elemen kuasa baru iaitu industri, pelaburan, pengguna, dan maklumat. Sebagai ganti negara bangsa, Ohmae mengungkapkan kepentingan region state (negara wilayah) yang berperanan sebagai pusat hubungan dengan dunia global (globalisasi).  Walaupun begitu, melampaui abad ke-21 ini, persoalan pembinaan negara bangsa masih berlegar dalam perbahasan dikalangan pelbagai pihak khususnya para sarjana. Dalam pada itu, kerajaan dan kepimpinan negara-negara tertentu masih berusaha untuk membentuk sebuah negara bangsa yang ideal bagi sempadan geo-politik masing-masing.

 

“…membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”  (Mahathir Mohamad 1991)

 

Negara bangsa merujuk kepada sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu padu, tanpa dipisahkan oleh ikatan primordial yang sempit seperti kaum, keturunan, agama, bahasa, budaya, daerah, dan sebagainya yang dilihat boleh membawa kepada perpecahan. Rakyat di negara tersebut juga mempunyai keyakinan serta kepercayaan yang tinggi kepada sistem pemerintahan dan undang-undang yang dilaksanakan di negara tersebut.  Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama sesebuah negara dan boleh dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta penduduknya (Rodzi Razak 2009).  Setiap di kalangan rakyat di sesebuah negara mesti merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada negara, kerana ia penting sebagai prasyarat kepada kemajuan negara tersebut.  Wang Gungwu (2004), menegaskan, “…in its ideal form, it was defined to mean that every state should consist of people who believed that they belonged to a single nation.”

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggariskan lima faktor pemangkin pembentukan negara bangsa.  Pertama:  Lingua Franca – bahasa yang dikongsi bersama oleh rakyat dalam perhubungan rasmi dan kehidupan bermasyarakat;  kedua: Integrasi – merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional antara kumpulan­-kumpulan daripada segi sosial, wilayah, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan politik;  ketiga:  Kewarganegaraan – membentuk identiti rakyat dalam negara. Semangat bersatu padu dan rasa kesepunyaan dalam budaya, pendidikan, bahasa, ekonomi dan politik boleh menyatupadukan rakyat;  keempat:    Patriotisme – merupakan perasaan cintakan tanah air yang mendalam berasaskan kesedaran seseorang terhadap kewarganegaraannya dan kesetiaan teragung sehingga sanggup berkorban nyawa untuk tanah airnya.  Menerusi patriotisme, bangsa akan menjadi kuat, berani, mempunyai ketahanan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan nasional dan menghadapi cabaran mendatang;  dan kelima:  Demokrasi – merupakan pemberian hak kepada semua warganegara dalam memilih pemerintahan negara.  Ia merupakan alat mewujudkan keutuhan pentadbiran.  Negara Bangsa wujud apabila terdapat kefahaman mendalam tentang demokrasi yang memberikan peluang dan ruang kepada rakyat terlibat dalam pentadbiran negara.

Berdasarkan kepada definisi dan konsep berkenaan dengan negara bangsa oleh beberapa sarjana di atas, kita faham bahawa, kata kekunci bagi menjelaskan konsep tersebut adalah “kesatuan”, dan kekunci bagi menjelaskan masalah pembentukannya adalah “perbezaan”.  Yang pasti, ianya masih berkisar dan menciri tentang sebuah negara itu sendiri.  Dalam menjelaskan teori munculnya sebuah negara, Aristoteles berpendapat, negara itu adalah sebagai gabungan daripada bahagian-bahagian – yang menurut urutan besarnya adalah individu, keluarga, kampung, dan negara (wujud unsur “perbezaan” dan “kesatuan”).  Individu tidak boleh hidup secara sendirian.  Secara fitrah, manusia mengkehendaki adanya teman, untuk saling memenuhi keperluan hidupnya.  Kesatuan teman adalah keluarga.  Apabila be rlaku gabungan antara beberapa keluarga yang bertujuan lebih daripada sekadar memenuhi keperluan hidup sehari-hari, terjadilah kampung.  Gabungan daripada beberapa kampung ini akan membentuk negara (Deliar Noer 1982).  Al-Farabi pula menjelaskan, sifat keistimewaan manusia, antara lain adalah homo socious (suka bergaul).  Ini merupakan salah satu dorongan terwujudnya masyarakat – mereka berkumpul di antara satu dengan lain untuk saling memerlukan.  Keadaan ini merupakan bibit permulaan munculnya sebuah negara.  Al-Ghazali juga sependapat dengan Al-Farabi dalam menjelaskan teori munculnya negara, dengan menyatakan bahawa sesungguhnya manusia dijadikan tidaklah hidup sendirian, tetapi sangat perlu bergaul dan berkumpul bersama manusia lainnya (Abdul Qadir Djaelani 2001).

 

“Nation-states are often a desirable way to organize a political system.  However, the national right to self-determination is a relatively modern invention.  Until the end of the Middle Ages, Europe consisted of many very small political systems and a few very large ones, whose territorial possessions were not always very stable or contiguous.”

(Almond et.al 2010)

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: