Bersih 3.0 Daripada Perspektif Seorang Neutralis

Bersih 3.0

Sabtu, 28 April 2012, perhimpunan Bersih 3.0 telah berlangsung di bandaraya Kuala Lumpur.  Sungguh pun pihak polis telah mendapat perintah mahkamah agar pihak penganjur, peserta, atau orang awam dilarang untuk berhimpun dan memasuki Dataran Merdeka, namun perintah tersebut tidak berjaya untuk melunturkan semangat para peserta perhimpunan untuk meneruskan rancangan mereka.  Saya sempat ke lokasi utama perhimpunan untuk meninjau sendiri suasana sebenar. Selain merasakan sendiri pedih mata dan muka terkena tempias gas pemedih mata dan meriam air–ia tidak lebih daripada suatu pengalaman.

Ya, semangat, itu yang dapat saya lihat sebaik sahaja saya tiba di lokasi perhimpunan.  Saya melihat para peserta tidak kira kaum, umur, dan jantina, telah hadir bersama dalam perhimpunan ini.  Saya memikirkan apakah daya utama yang membawa mereka ke perhimpunan ini.  Bukan sahaja perintah mahkamah, malah gas pemedih mata dan meriam air tidak mampu untuk mematahkan semangat mereka untuk tetap berdiri teguh.  Hati saya berkata, mereka ini benar-benar inginkan suatu perubahan dalam politik negara.

Namun, saya tidak melihat soal kredibiliti SPR sebagai sebab utama oleh mereka ini berhimpun.  Saya tidak melihat Anwar Ibrahim sebagai pendorong mereka ini keluar berhimpun.  Saya melihat semangat untuk berubah.  Saya melihat soal kerelevanan kerajaan Barisan Nasional telah tercabar dan goyah.  Namun, saya tidak dapat menidakkan rasa akan wujudnya agenda tersembunyi disebalik perhimpunan ini.  Walau apa sekalipun, saya merasakan perubahan itu perlu dilakukan.  Apakah perubahan itu?  Saya sedang merasakan dan memikirkan.

Kita harus akui, perhimpunan sebegini adalah halal dalam kitab demokrasi, tidak menjadi satu kesalahan.  Malah, dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia juga ada memperuntukkan bagi tujuan tersebut.  Namun, dalam perkara yang sama juga, kita harus akui bahawa pihak berkuasa juga halal dalam tindakannya untuk menjaga kepentingan keselamatan dan sebab-sebab yang lain seperti yang termaktub.  Jadi, bagaimana kita menilai situasi begini?

Bagi menjawab persoalan tersebut, kita harus memikirkan tentang sebab mengapa mereka ini berhimpun dan akibat yang mungkin boleh berlaku.  Ok, kita tahu sebab utama adalah mereka ingin menggesa SPR agar melaksanakan tugas dalam pilihanraya yang diadakan secara adil dan bersih daripada penipuan proses pengundian.  Sekiranya benar ini adalah sebab utamanya, saya minta anda saksikan dan menilai sendiri hasil perdebatan Ambiga dengan Khairy di sini berhubung perkara tersebut.

Kita harus rasional dalam membuat suatu penilaian.  Tidak semestinya dalam platform parti-parti politik tertentu–sekiranya kita ikhlas mahukan perubahan.  Cuba fikirkan, sekiranya puluhan ribu yang hadir dalam perhimpunan sebegini, bagaimana kita dapat mengawal keadaan?  Bagaimana sekiranya perhimpunan ini berterusan seperti yang berlaku di Thailand sebelum ini, Mesir, Iraq, Libya, dan Syria ketika ini.  Bagaimana sekiranya ada tangan-tangan jahat yang meledakkan bom sedang mereka ini berasask-asak?  Lihat gambar di bawah ini:

Antara ribuan yang hadir.

Gambar sebuah kereta polis musnah dan dilaporkan sepucuk pistol anggota polis telah dilarikan peserta perhimpunan:

Image

Sehingga kini, kadar kerugian harta benda awam dan individu-individu tertentu belum dapat dipastikan oleh pihak berkuasa.  Tetapi saya merasakan, ianya jauh lebih besar daripada penganjuran sebelumnya.

Pada pendapat saya, matlamat sesebuah pemerintahan yang baik adalah untuk kestabilan negara.  Ia merangkumi soal keharmonian yang wujud dikalangan rakyatnya, tadbir-urus yang efisyen, meningkatkan kualiti hidup rakyatnya, bebas daripada amalan rasuah, sentiasa dihormati oleh negara kejiranannya, dan moderate tetapi unggul di pentas dunia.  Saya ingin memetik pandangan Imam al-Ghazali dalam Russli Kamarudin (2002) untuk dikongsikan bersama:

“Tema falsafah politik al-Ghazali tertumpu pada dua perkara yang merupakan wadah kepada kebahagiaan sebenar, iaitu kebahagiaan di akhirat.  Dua wadah tersebut adalah kestabilan dan undang-undang Islam.  Baginya, sekiranya kedua-dua perkara ini dapat diwujudkan, bermakna rakyat akan dapat menunaikan ibadat mereka dan menuntut ilmu mengenal Tuhan dengan harmoni.  Sebaliknya jika tiada kestabilan dan penguatkuasaan undang-undang bererti rakyat akan hidup dalam keadaan kacau-bilau.  Ini juga bererti mereka tidak dapat menunaikan ibadat dan menuntut ilmu, kerana kedua-dua perkara inilah kejayaan dan kebahagiaan di akhirat akan dapat tercapai.  Justeru, bagi al-Ghazali, kestabilan dan penguatkuasaan undang-undang adalah sesuatu yang wajib diwujudkan.  Dengan itu pandangan politik beliau terarah kepada menghalalkan seseorang sultan (pemerintah) yang zalim dan jahil dan mesti ditaati, kerana penggulingan baginda bermakna rakyat akan hidup dalam kacau-bilau.”

Mendengar dari hati pendapat al-Ghazali tersebut, mungkin kita boleh melihat sendiri suasana politik di Iraq selepas kejatuhan Saddam Hussein, di Mesir selepas kejatuhan Hosni Mubarak, di Thailand selepas kejatuhan Thaksin, di Libya selepas kejatuhan Muammar Ghadafi, dan di bumi Islam selepas kejatuhan Khalifah terakhir di Turki.

Secara peribadi, saya begitu memuji semangat yang ditunjukkan oleh para peserta Perhimpunan Bersih 3.0 pada hari ini.  Saya percaya mereka ini datang dari segenap pelusuk tanahair.  Sungguh pun gagal untuk berkumpul di Dataran Merdeka, namun semangat padu sebegini amat diperlukan bagi setiap warganegara dalam sesebuah negara, bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang secara bersama-sama. Tetapi dengan tidak keterlaluan hingga merosakkan harta benda awam dan keselamatan umum mahupun negara.  Yang ini harus kita jaga dan pelihara dengan sebaiknya.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini adalah, berdasarkan pemerhatian saya, rakyat Malaysia umumnya sungguh-sungguh inginkan perubahan.  Moga mesej ini sampai dan meresap dalam kerajaan Barisan Nasional.  Menggula-gulakan rakyat dengan pemberian Ringgit Malaysia, tidak cukup untuk meredakan kegelisahan hati mereka.  Penguatkuasaan undang-undang adalah wajib dilaksanakan walau dalam keadaan apa sekali pun agar kestabilan negara terus dipelihara.  Semoga wajah negara yang kita ukirkan hari ini, dapat kita lihat akan warna dan bentuknya dalam jangka masa sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.  Negara adalah wajah dunia yang kita inginkan!

Image

Comments
One Response to “Bersih 3.0 Daripada Perspektif Seorang Neutralis”

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: