Kemana arah tuju kita?

Salam  sejahtera kepada semua para pembaca blog GMOM.  Atas kesempatan ini, saya kira masih belum terlewat untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan kepada semua Muslim.

Agak lama saya tidak menulis sesuatu di sini.  Sibuk bukanlah suatu istilah yang saya suka guna untuk menjelaskan situasi diri.  Ini kerana saya mengerti, masa yang diperuntukan kepada setiap orang setiap hari adalah sama.  Adalah tanggungjawab setiap orang untuk menguruskan masa dengan sebaiknya mengikut kepentingan-kepentingan yang difikirkannya perlu.  Maka dengan sebab itu, istilah sibuk ini tidak ada dalam diri saya, melainkan atas sebab-sebab tertentu.

Pagi ini, setelah bangkit dari tidur, saya merasakan yang saya perlu menulis sesuatu untuk mengeluarkan apa yang tersimpan di dalam hati.  Barangkali hal yang sama berlaku kepada para penulis blog yang lain, yang tegar terutamanya.

 Seorang teman telah mengingatkan saya melalui sepotong ayat daripada Al-Quran tentang “bersatu”.  Setelah meneliti ayat tersebut, saya termenung dan memikirkan sesuatu tentang usaha yang sedang saya lakukan, dan tentang arah tuju seterusnya.  Berikut ayat Allah yang saya maksudkan:

 “…dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman).  Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.  Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana…”  (Surah Al-Anfal (8): ayat 63).

 Ayat di atas telah menunjukkan saya betapa sebarang usaha untuk mempersatukan hati kita ini adalah sia-sia, tanpa dengan keredhaan dari-Nya.  Dan saya mengakui bahawa, apa yang difirmankan Allah dalam ayat tersebut, adalah begitu nyata; yang dapat kita lihat kenyataannya dalam realiti hidup pada waktu ini. Setidak-tidaknya, masih ada petunjuk yang menerangi jalan yang gelap gelita, sungguhpun berat sekali untuk menerima kenyataan tersebut.  Terima kasih saya ucapkan kepada teman saya yang telah mengingatkan saya.

Saya baru sahaja menyiapkan satu kajian tentang kerelevanan kontrak sosial di Malaysia.  Suatu tajuk yang menarik untuk dibincang dan diperdebat secara umum.  Saya benar-benar menantikan saat bilamana berpeluang untuk menjelaskan isu utama yang mungkin cuba diselindungkan.  Ini kerana realitinya, permasalahan yang berlaku dalam masyarakat di Malaysia adalah tentang Kontrak Sosial.

Kajian yang saya jalankan adalah untuk mencari jawapan dan merungkai kepada permasalahan-permasalahan tentang kerelevanan kontrak sosial seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan sejauhmana kontrak sosial berfungsi sebagai formula keharmonian di antara kaum di Malaysia.  Dan sekiranya diperhatikan, kajian yang dijalankan ini juga masih berkisarkan tentang soal penyatuan.  Ini kerana, pada pendapat saya, masyarakat adalah nadi kepada pembangunan dan kemajuan sesuatu negara.  Tanpa ada penyatuan dikalangan masyarakat, maka sebarang pembangunan yang dirancang adalah sia-sia.

Kajian yang saya jalankan ini bertujuan untuk mendalami permasalahan polariti kaum sebagai permasalahan utama yang dialami Malaysia dalam membentuk sebuah negara-bangsa dan menganalisa tentang kerelevanan kontrak sosial seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.  Ia juga bertujuan untuk memahami tentang sejauhmana kontrak sosial dapat berfungsi sebagai formula keharmonian dan seterusnya cuba merangka asas pelan pembangunan sosial yang prakmatik demi mencapai keharmonian kaum di Malaysia.

Hasil kajian tersebut telah menunjukkan bahawa wujud faktor ruang dan peluang melalui kronologi peristiwa yang berlaku pada sebelum merdeka hingga tahun 1969 secara analitikal dan kritikal.  Kajian juga mendapati, pecahnya suatu gelembung perkauman pada 1969 adalah kesan daripada perjanjian yang telah dimungkiri di antara kaum untuk hidup secara harmoni melalui kontrak sosial seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, dasar dan polisi sosial yang longgar melalui aspek pendidikan dan ekonomi yang tidak prakmatik dan dogmatik telah mewujudkan ruang kebejatan sosial dan masalah perkauman yang berpanjangan.  Maka gelembung perkauman dilihat semakin membesar dan tidak pasti sampai bila ia mampu bertahan, yang pasti ia akan pecah.

Begitulah gambaran tentang kajian yang baru sahaja saya siapkan beberapa hari yang lalu.  Saya puas, kerana hasilnya telah dapat mengukuhkan maksud secara jelas tentang kandungan ayat Allah dalam surah Al-Anfal (8): ayat 63 tersebut.  Alhamdulillah.

Jadi, kemana arah kita?  Adakah apabila berlakunya perubahan dalam kerajaan akan dapat merubah arah kita secara keseluruhannya?  Saya akan menjelaskan secara teliti hasil kajian saya dalam artikal-artikal seterusnya, insyaAllah.

 

 

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: