Konsep Perjanjian Masyarakat Dalam Piagam Madinah

“…Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerja sama dan saling menolong.  Kerja sama dan tolong-menolong tersebut perlu untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan.  Kerana alasan inilah, dikatakan bahawa manusia pada dasarnya adalah makhluk sosial.  Apabila umat manusia telah diorganisasikan, sudah pasti banyak hal-hal yang harus mereka lakukan untuk mewujudkan kesejahteraan mereka dan banyak pula hal-hal yang tidak boleh mereka lakukan kerana akibatnya sangat buruk….” (Ibnu Taimiyah, dipetik oleh Qadir 2001).

Petikan kata-kata Ibnu Taimiyah di atas amat bersesuaian sekali dengan ungkapan: “negara adalah wajah dunia yang kita inginkan”.  Inilah idea dan konsep (the core idea) yang cuba diketengahkan agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak.  Sebenarnya, kontrak sosial telah wujud sejak lebih 1,400 tahun yang lalu di sebuah negara yang dinamai Madinah al-Munawarah.  Qadir (2001) menjelaskan Rasulullah SAW bersama-sama dengan para sahabatnya, pada tahun pertama Hijrah (622 M), telah membuat suatu “Perjanjian Masyarakat” (Kontrak Sosial) dengan seluruh penduduk Madinah dan sekitarnya, baik yang muslim mahu pun nonmuslim.  Perjanjian masyarakat ini terkenal dengan nama Piagam Madinah atau “Piagam Nabi Muhammad SAW.” Kerana Piagam Madinah dibuat secara tertulis, secara historis piagam ini merupakan “perjanjian masyarakat” tertulis tertua di dunia.

Qadir memperakui bahawa Hobbes-lah yang mengemukakan teori negara berdasarkan perjanjian masyarakat.  Selain itu, tokoh-tokoh lain adalah seperti Grotius, Althusius, Locke, Montesqieu, dan Rousseau.  Qadir menjelaskan, pada bab 4 buku Du Contract Social, Rousseau menulis:

“…Saya berpendapat, manusia telah sampai pada keadaan yang membahayakan dalam kehidupan mereka yang liar, kerana kekerasan dan perkelahian dapat dilakukan oleh tiap orang setiap saat.  Keadaan primitif ini tidak dapat berlangsung lebih lama lagi, kerana boleh mengancam kepunahan (kemusnahan) jenis manusia.  Kerana itu, manusia harus mengganti cara hidupnya.  Sebab manusia tidak dapat menghasilkan tenaga-tenaga baru, tapi hanya dapat mempersatukan dan mengumpulkan yang telah ada.  Kerana itu, tidak ada jalan lain dalam mempertahankan diri, kecuali membentuk bersama-sama sejumlah kekuatan yang dapat mengatasi perkelahian (pergaduhan atau persengketaan); dan mengunakan kekuatan itu untuk keselamatan dan kebutuhan (keperluan) bersama…” (Qadir 2001).

Gerald dan Fred (2008) sependapat dengan menyatakan secara tradisinya pendapat tentang kontrak sosial oleh Hobbes, Locke, dan Rousseau adalah bergantung kepada idea consent atau persetujuan atau perjanjian (e-Kamus 2004).  Menurut mereka, Locke telah menyatakan: only “consent of free-men” could make them members of government.  Idea consent inilah yang telah mengikat masyarakat (melalui perjanjian) secara normatif.  Berikut penjelasan oleh Gerald dan Fred (2008):

“…By putting consent at the center of their contracts these early modern contract theorists (1) were clearly supposing that individuals had basic normative powers over themselves before they entered into the social contract (a point of Hume [1741] stressed), and (2) brought the question of political obligation to the fore.  If the parties have the power to bind themselves by exercising this normative power, then the upshot of social contract was obligation.  As Hobbes (1651) insisted, covenants bind; that is why they are artificial chains…” (Gerald dan Fred 2008).

Walau bagaimanapun, Qadir (2001) menjelaskan tentang teori timbulnya sebuah negara apabila beliau menyatakan bahawa dengan mengajukan beberapa teori tentang lahirnya suatu negara, baik dari para pemikir Muslim mahupun bukan Muslim.  Ini kerana tampak jelas bahawa ahli fikir muslim, khususnya Al-Ghazali, ratusan tahun sebelum para ahli fikir Barat nonmuslim seperti Austin, Hobbes, dan Rousseau lahir telah mengajukan teori tentang “saling ketergantungan” (interdependence) dan “perjuangan masyarakat” (social contract).

Konsep perjanjian masyarakat dalam Piagam Madinah yang cuba dijelaskan Qadir adalah dengan mengambil contoh pembentukan negara Islam Madinah.  Beliau telah mengambil pendapat pemikir Muslim dan non-Muslim dalam menganalisa isi kandungan Piagam Madinah tersebut.  Antaranya Mustafa Husni Assiba’i (1981) telah menyimpulkan bahawa adanya kesatuan umat Islam tanpa ada perbezaan apa pun.  Persamaan seluruh umat dalam hak dan kemuliaannya, dapat menyelamatkan golongan umat tanpa adanya penganiayaan.

Di samping itu, adanya kegotong-royongan (unsur kerjasama) seluruh umat tanpa ada penganiayaan, penindasan, permusuhan, perlanggaran hak atau pengacauan (kacau-bilau).  Tindakan keras akan diambil kepada siapa sahaja yang menganiaya dan mengacau (mengacau-bilaukan) negara.  Tambah Mustafa lagi, Piagam Madinah begitu jelas dalam menetapkan garis kebijaksanaan (panduan) untuk menghadapi musuh, umat diikutsertakan (penglibatan umat).  Setiap Muslim tidak dibenarkan membiarkan saudaranya dalam keadaan terancam.  Beliau juga berpendapat, melalui Piagam Madinah, masyarakat diatur menurut peraturan yang sebaik-baiknya, sejujur-sejujurnya, dan seadil-adilnya.  Selain itu, suatu tindakan tegas dan keras terhadap orang yang melakukan pemberontakan terhadap negara atau melakukan pengacauan (kacau-bilau) terhadap ketenteraman umum.  Dan adanya larangan memberikan bantuan kepada mereka (pemberontak atau pengacau negara).

Beliau kemudian menjelaskan tentang fungsi dan peranan orang bukan Islam, dimana kepercayaan agama dan harta benda orang-orang bukan Islam dilindungi.  Mereka tidak akan dipaksa untuk memasuki agama Islam dan tidak pula diambil harta bendanya.  Selain itu mereka (orang bukan Muslim) wajib turut serta dalam soal kesejahteraan negara, dengan cara memberi bantuan dalam bentuk biaya (kewangan) dan lain-lainnya, sebagaimana kewajipan yang dibebankan kepada kaum Muslimin.  Orang-orang bukan Islam yang tinggal di dalam negara Islam, wajib bersama-sama umat Islam untuk membela negara dari setiap ancaman yang datang dari luar.  Mereka diwajibkan ikut memikul biaya (beban kewangan) peperangan selama negara masih dalam keadaan perang.

Apa yang pasti, keadilan kepada seluruh warganegara dijamin oleh Piagam Madinah, apabila beliau menambah, negara wajib memberikan pertolongan kepada golongan bukan Islam.  Jika salah seorang di antara mereka teraniaya, walau pun yang menganiaya itu seorang Muslim sendiri.  Dan apa yang paling jelas adalah, masyarakat Madinah dibentuk atas dasar kerjasama, kebajikan, dan takwa kepada Allah, bukan atas dasar penindasan dan permusuhan.

Qadir (2001) mengetengahkan pendapat seorang pemikir Barat bukan Islam dalam menganalisa Piagam Madinah secara terperinci, iaitu William Montgomery Watt, seorang Profesor Emiritus dan tokoh sejarah Scotland yang menulis buku bertajuk Muhammad at Medina (1956).  Melalui buku inilah, Watt telah menyusun semula kandungan Piagam Madinah secara tersusun menurut turutan perkara-perkara seperti selayaknya kandungan lengkap suatu konstitusi bagi sesebuah negara.

Watt (1956) telah menyusun semula Piagam Madinah dengan membahaginya kepada 10 bab dan 47 pasal (perkara) di dalamnya, selain mukadimah sebagai pembuka bicara kepada Piagam Madinah.  Beliau telah menggariskan empat perkara penting yang perlu diperhalusi tentang penegasan-penegasan yang terkandung dalam mukadimah: pertama, piagam ini dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dengan rakyat Madinah, yang terdiri daripada kaum Quraisy, kaum Yatsrib, dan orang-orang yang mengikuti dan berjuang bersama mereka.  Nabi Muhammad SAW menulis dan menandatanganinya sebagai pemimpin yang diakui bersama.  Ini bererti adanya “persetujuan bersama” antara Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin dengan rakyat yang dipimpinnya.

Kedua, menonjolkan (memperlihatkan) nama pemimpin, iaitu Nabi Muhammad SAW dan nama rakyat yang membuat kontrak sosial ini, iaitu kaum Quraisy, Yatsrib, dan orang-orang yang mengikuti dan berjuang bersama mereka.  Ini mempunyai erti sejarah untuk kemudian hari, sebagai kenangan terhadap pengasas bagi prinsip ini.  Ketiga, penggunaan kalimat (ayat) “orang-orang yang percaya dan memeluk agama Islam”, hanyalah mempunyai satu pengertian, tidak ada perbezaan.  Dan keempat, mukadimah ini mengandungi maksud suatu proklamasi berdirinya ‘Negara Madinah’ yang kemudian menjadi ‘Negara Islam’.

Perkara pertama yang menjadi pendahulu kepada isi Piagam Madinah tersebut adalah berkenaan pembentukan negara-bangsa, hal ini menunjukkan bahawa ianya sangat penting dan perlu diberi keutamaan berbanding yang lainnya.  Piagam Madinah Pasal 1, Bab 1 (Pembentukan Umat): “…Sesungguhnya mereka adalah satu bangsa negara (umat), bebas dari pengaruh dan kekuasaan manusia lainnya…”  (Qadir 2001).  Sungguh pun dikatakan, perkataan ummah atau umat ini belum ada terjemahan yang tepat, namun berdasarkan konteks pembentukan negara-bangsa, maka secara proposionalnya ia wajar merujuk kepada satu bangsa.  Menurut Watt, kita mempergunakan perkataan bangsa negara (negara-bangsa) dengan pengertian bahawa kebangsaan warga bukanlah bergantung kepada keturunan, tempat tinggal atau lainnya, tetapi diikat oleh persatuan kenegaraan.

Bab-bab seterusnya yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah tentang hak asasi manusia, persatuan seagama, persatuan segenap warganegara, golongan minoriti, tugas warganegara, melindungi negara, pimpinan negara, politik perdamaian (dasar luar), dan penutup.  Dalam pada itu, Qadir (2001) telah memetik kenyataan Sayid Ameer Ali (1978) dalam memberi pengertian dan peranan Piagam Madinah tersebut, yang antara lain menyatakan seperti berikut:

“..Dalam piagam ini, dirumuskan dengan jelas hak dan kewajipan orang Islam di antara mereka sendiri, serta  hak dan kewajipan antara Islam dan Yahudi.  Orang Yahudi menerima perjanjian itu dengan gembira.  Dokumen yang disimpan dengan baik dalam lembaran-lembaran Ibn Hisyam ini memperlihatkan kepada manusia bahawa Muhammad SAW adalah manusia yang berotak (berfikiran) luar biasa, bukan sahaja bagi zamannya, malah bagi zaman semuanya (setiap zaman).  Dia bukanlah seorang pemimpin liar yang bertekad meruntuhkan susunan masyarakat yang ada, tetapi Nabi Muhammad adalah seorang negarawan yang mempunyai tenaga tanpa bandingan, seorang yang dalam zaman keruntuhan tanpa harapan, mempersiapkan diri untuk membangun suatu negara atas dasar kemanusiaan universal…”  (Qadir 2001).       

Justeru, apa yang boleh didapati daripada huraian di atas, secara teknikalnya, jelas menunjukkan bahawa Tanah Melayu pada waktu sebelum mencapai kemerdekaan, telah melalui proses-proses rundingan kemerdekaan (pembentukan negara), yang jelasnya adalah melalui jawatan kuasa yang dibentuk iaitu Jawatankuasa Perhubungan Kaum (CLC).  Ini kerana, melalui perincian di atas juga, ia menggambarkan tentang kemelut yang berlaku di Yatsrib dan sekitarnya, adalah disebabkan oleh penstrukturan masyarakatnya yang tidak teratur dan saling bertelagah antara satu sama lain.  Keadaan ini menuntut satu persetujuan bersama antara kaum bagi mencapai kedamaian hidup bersama.  Maka dengan itu, secara teknikalnya, huraian teori dan konsep oleh tokoh-tokoh tersohor dunia seperti di atas adalah identik dan selaras dengan proses yang berlaku di Tanah Melayu.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: