Kontrak Sosial: 3 tuntutan Bukan Melayu Sejak Sebelum Merdeka Dan Pengorbanan Terbesar Orang Melayu

Perlu ditegaskan bahawa, isu berkaitan kontrak sosial adalah isu nasional yang melangkaui kepentingan individu dan parti-parti politik tertentu.  Benar kenyataan bahawa pimpinan UMNO dan MCA terlibat secara langsung dalam rundingan kemerdekaan melalui CLC pada tahun 1949.  Namun sekiranya tidak mempunyai kesepakatan atau permuafakatan antara mereka pada ketika itu, sudah pasti Tanah Melayu masih belum Merdeka hingga ke hari ini.

Perbincangan dan rundingan adalah suatu proses tawar-menawar yang berlaku dalam jawatankuasa tersebut.  Tiga perkara utama yang diperjuang bukan Melayu semenjak rancangan Malayan Union lagi adalah kewarganegaraan dan hak kerakyatan, bahasa ibunda, dan pendidikan.  Dan ketiga-tiga perkara inilah yang mendasari rundingan kemerdekaan tersebut.  Bukan Melayu faham bahawa kunci kepada permasalahan mereka adalah status kewarganegaraan pada waktu itu.  Kerana British telah berjanji untuk memberi kerakyatan kepada mereka secara jus soli melalui rancangan Malayan Union 1946Maka dengan sebab itu, dengan apa cara sekali pun, bukan Melayu (Cina terutamanya) mesti bersetuju dengan apa juga syarat-syarat yang diberikan.

“…Basically, under the Malayan Union, the Rulers would lose all their powers and citizenship would be granted to non-Malay immigrants and their descendants, especially the ethnic Chinese. The Malays did not agree to this because the economic dominance of the Chinese was seen as a threat to the Malays…” (Petra 2012).

Usaha ke arah pemerintahan sendiri semakin jelas apabila suatu jawatankuasa yang dinamai: Jawatankuasa Perhubungan Kaum atau Communities Laison Committee (CLC) ditubuhkan.  CLC telah ditubuhkan pada 10 Januari 1949 (Ramlah 2004) dengan tujuan untuk menggerakkan usaha ke arah mewujudkan perasaan muhibah dan kerjasama antara kaum.  Melalui jawatankuasa ini, pemimpin pelbagai kaum dapat berbincang tentang masalah yang dihadapi secara terbuka supaya jalan penyelesaian dapat dicapai (Ruslan 2005).

Di awal penubuhan CLC, ia hanya dianggotai oleh Dato’ Onn Jaafar yang mewakili kaum Melayu dan Tan Cheng Lock yang mewakili kaum Cina—yang mana kemudiannya, keanggotaan CLC ditambah.  Ruslan (2005) memperincikan keanggotaan CLC dengan menyatakan, CLC telah dipengerusikan oleh Dato’ E.E.C. Thuraisingham dan Malcolm MacDonald (Gabenor General British) sebagai Pemerhati.  Selain daripada Dato’ Onn, perwakilan orang Melayu melalui UMNO adalah Dato’ Abdul Wahab Abdul Aziz, Dr. Mustapha Osman, Saleh Hakim, dan Zainal Abidin Hj. Abas.  Manakala perwakilan orang Cina melalui MCA selain Tan Cheng Lock adalah Lee Tian Keng, C.C. Tan, Yong Shook Lin, dan Khoo Teik Eee.  Anggota-anggota lain adalah Roland Braddel (Penasihat Raja-raja Melayu) dan P.P. Narayanan (Presiden Persatuan Pekerja-pekerja Malaya).

Penglibatan Dato’ Onn Jaafar dalam CLC ini bagaimanapun tidak disenangi oleh ahli-ahli UMNO terutamanya dan orang Melayu umumnya.  Ini kerana kredibiliti Dato’ Onn sebagai pemimpin Melayu telah tercalar disebabkan oleh sikap terbuka beliau berkenaan isu kerakyatan bukan Melayu.  Namun bagi bukan Melayu pula, Dato’ Onn dilihat sebagai seorang yang terbuka dan bekerja ke arah pembentukan negara yang demokratik (Ramlah 2004).

Pembentukan negara-bangsa Persekutuan Tanah Melayu yang berdasarkan kerjasama antara bangsa utama dalam bidang politik telah dibuat melalui CLC ini.  Hal ini sudah pasti menjadi titik penting dalam sejarah negara dalam soal integrasi kaum bagi menentukan hala tuju dan masa depan negara.  Atas kesedaran ini, maka rundingan antara kaum dilihat sebagai pembuka jalan untuk ke arah pembentukan negara-bangsa tersebut.  Ruslan (2005) telah menggariskan beberapa isu yang dibincangkan oleh CLC, ia adalah tentang bahasa, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi.  Di samping itu, CLC juga telah mengutarakan empat cadangan, iaitu: melonggarkan syarat-syarat kerakyatan, memperkenalkan pilihan raya, memberi hak politik kepada kaum bukan Melayu, dan memberi bantuan ekonomi dan memajukan orang Melayu di luar bandar.

Hasilnya, Ramlah (2004) menjelaskan bahawa Dato’ Onn dapat memaksa UMNO menerima state nationality 1952, yang menjadi asas kepada pembentukan satu kerakyatan kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu.  Dengan penerimaan Raja Melayu terhadap orang asing sebagai rakyatnya, semua kemudahan seperti orang Melayu, dapat dirasai oleh bukan Melayu.  Mereka boleh dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri, boleh memohon tanah, dan mendapat semua kemudahan sebagai rakyat negeri tersebut, kecuali kedudukan istimewa Melayu.

Tambah Ramlah, mereka juga menjadi Rakyat Persekutuan yang membawa hak-hak, faedah-faedah politik, dan pentadbiran yang lain.  Maka dengan itu, satu keseragaman kerakyatan mula berlaku dan memberi satu keseragaman pula dalam kedudukan politik penduduk Persekutuan Tanah Melayu.  Ini menurut Ramlah, telah melahirkan satu asas yang utama dalam pembentukan satu kebangsaan negara.  Namun, seiring dengan desakan melonggarkan syarat-syarat kerakyatan, Dato’ Onn meminta kerajaan British menyediakan satu bantuan ekonomi untuk memajukan orang Melayu di luar bandar secara berstruktur dan tetap.  Langkah itu dianggap wajar sebagai tukaran kepada kelonggaran syarat-syarat kerakyatan kepada kaum bukan Melayu (Ruslan 2005).

Cadangan CLC (1949) untuk melonggarkan syarat-syarat kerakyatan adalah suatu proses rumit.  Ia berkenaan dengan pengorbanan, kesediaan, dan kerelaan orang Melayu untuk menerima bukan Melayu sebahagian daripada keluarga besar Tanah Melayu.  Ahli-ahli Bersekutu UMNO dan beberapa orang penyokong menolak bulat-bulat dan menuntut agar pintu kerakyatan itu ditutup rapat (Ramlah 2004).  Namun, melihat kepada keadaan orang Melayu yang majoritinya tinggal di luar bandar pada ketika itu, jaminan untuk memajukan ekonomi mereka adalah pertukaran yang wajar.  Sememangnya tidak dinafikan bahawa Melayu ini mempunyai sikap timbang rasa yang tinggi.  Orang luar datang ke tempatnya untuk mengusahakan hasil-hasil bumi yang kaya, mereka masih bersikap ‘tak apa’. Buktinya, mereka tidak bangun membantah dan menuntut hak keadilan, kerana sikap mereka yang taat kepada raja dan pembesar-pembesar mereka.

Akhirnya, setelah didesak (Ruslan 2005), Dato’ Onn bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kerakyatan kepada kaum bukan Melayu dengan syarat kerajaan British dapat menyediakan satu bantuan ekonomi untuk memajukan orang Melayu di luar bandar secara berstruktur dan tetap.  Langkah tersebut dilihat wajar sebagai tukaran kepada kelonggaran syarat-syarat kerakyatan kepada kaum bukan Melayu.  Sekiranya diteliti, hal ini terkandung secara jelas dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.  Dan bukti persetujuan yang dicapai terhadap isu kerakyatan pula adalah seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan: Bahagian III (berkenaan dengan Kewarganegaraan) yang dinyatakan dalam lima Perkara iaitu Perkara 14, Perkara 15, Perkara 16, Perkara 17 (dimansuhkan), dan Perkara 19.

Seperti semangat (the spirit of) waadat Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba, kontrak sosial seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan juga dilihat sejajar.  Jika Locke (1689) menyatakan tentang consent atau persetujuan bersama sebagai pengikat tali kontrak atau perjanjian, maka ia juga sejajar dengan kontak sosial seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.  Dan seperti halnya yang berlaku antara masyarakat Madinah dan sekitarnya; yang terdiri daripada kaum-kaum tertentu, maka persetujuan bersama mereka telah dinyatakan dalam Piagam Madinah yang dikenali juga Perjanjian Masyarakat.

“…Hence it is imprudent for you to question whether Malaysia should just abolish the Monarchy and change into a Republic (or question Islam as the religion of the Federation or Malay as the National Language). Doing so would mean you want to terminate the Merdeka Social Contract. And terminating the Merdeka Social Contract is dangerous because those who are not Malays would not receive automatic Malaysian citizenship. I would vote in favour of retaining the Merdeka Social Contract. That would create lesser problems for all of us. Then Ibrahim Ali and Perkasa cannot demand that anyone’s citizenship be withdrawn. Your citizenship would be your right. Without the Merdeka Social Contract you would not be protected and would not automatically be granted Malaysian citizenship…”  (Petra 2012).

Kesemuanya dilihat identik dan sejajar dengan persetujuan yang telah dimuktamatkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.   Dan bila mana antara satu belah pihak yang memungkiri (breach) perjanjian atau persetujuan atau kontrak, maka ianya boleh dianggap terbatal, dan pihak yang satu lagi itu tidak perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku.  Tetapi ironinya, tuntutan-tuntutan pra-kemerdekaan seperti isu pendidikan, hak kerakyatan, dan bahasa ibunda masih lagi kedengaran sehingga hari ini di Malaysia.

Adakah kita memandang tetapi tidak memerhatikan?

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: