PUNCA PERMASALAHAN KAUM DI MALAYSIA: SUATU KRONOLOGI PERISTIWA

“…Actually, it is not a verbal contract. It is a written contract. And it is written in the Federal Constitution of Malaysia. Hence Dr Mahathir, Ibrahim Ali, etc., are all wrong. Those born in Malaysia are Malaysians. They are not Chinese, Indians, pendatang, immigrants, or whatever. That was the agreed terms of the Merdeka Social Contract, which is part of the Federal Constitution of Malaysia…” (Petra 2012).

Satu perkara yang perlu dijelaskan adalah tentang bagaimana kedua-dua belah pihak Melayu dan bukan Melayu terarah hingga perlu mewujudkan suatu perjanjian.  Bagaimana pula sekiranya Melayu bertegas tidak mahu berbincang tentang hal-hal yang diminta oleh bukan Melayu berkenaan dengan isu kerakyatan, pendidikan, dan bahasa.  Bagaimana juga sekiranya Melayu tidak mahukan demokrasi.  Apa yang nyata di sini adalah berkenaan dengan bagaimana kewujudan suatu ruang yang membenarkan sesuatu itu berlaku. 

Bukan Melayu tidak akan merasakan diri mereka asing di negara sendiri, sekiranya mereka memahami dan menghormati perlembagaan negara.  Setuju dengan kata-kata Petra (2012) di atas bahawa bukan Melayu adalah sebahagian daripada negara ini.  Sekiranya bukan Melayu (Cina terutamanya) tidak keterlaluan menuntut perkara-perkara yang tidak menguntungkan, tidak mengamalkan sikap power-testing seperti yang dijelaskan oleh Jolina Tan (2012), proses pembangunan negara-bangsa akan menjadi lebih mudah.

Berbicara tentang ruang, ianya juga akan berbicara tentang peluang, kerana kedua-duanya itu saling bersangkutan.  Wujudnya peluang kerana adanya ruang.  Jadi, dalam mengenalpasti dimanakah kewujudannya ruang dan peluang tersebut, maka ianya dapat dijelaskan melalui sorotan kronologi secara analitikal dan kritikal.

Migrasi Cina dan India secara besar-besaran telah berlaku pada pertengahan abad ke-19.  Pada waktu tersebut, telah wujud sekelompok komuniti Cina yang dikenali komuniti Baba di Melaka, Singapura, dan Pulau Pinang yang datang lebih awal seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka pada sekitar abad ke-15.  Dan sekelompok lagi yang digelar Cina Peranakan seperti di Kelantan sejak sekitar abad ke-18.  Namun, perbezaan kedua-dua kelompok migrasi iaitu sebelum dan selepas abad ke-19 adalah begitu ketara dari segi penerimaan budaya tempatan.  Justeru mengapa komuniti Baba boleh menerima budaya tempatan dan Cina Peranakan sanggup diasimilasikan, tetapi migrasi selepas abad ke-19 tidak menerimanya.

Tujuan kedatangan migrasi Cina dan India ke Tanah Melayu adalah atas tujuan perekonomian.  Mereka mencari rezeki untuk dibawa pulang ke kampung halaman mereka di China dan India.  Perubahan sikap kedua-dua migrasi ini di Tanah Melayu dikesan semenjak abad ke-20, terutamanya selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia ke-2 di Tanah Melayu (1945), dan kemuncaknya adalah semenjak penubuhan Malayan Union (1946), apabila peluang untuk mendapatkan kerakyatan telah terwujud.

Pada tahun 1946, British berjanji untuk memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu secara jus soli melalui rancangan Malayan Union telah ditentang secara keras oleh orang Melayu melalui penubuhan UMNO.  Maka usaha untuk mengembalikan semula kedudukan politik dan kebudayaan Melayu begitu hebat dijalankan dan ia telah berjaya. Manakala pada tahun 1948 pula, sikap curiga Melayu terhadap Cina membuak semenjak gerila komunis (1948) yang majoriti adalah orang Cina, maka Melayu melihat mereka sebagai suatu ancaman dan musuh dalam selimut.  Rasa anti-Cina dalam tahun-tahun berikutnya begitu mendalam (Mahathir 1999).  Istilah lain yang ingin digunakan ialah ‘kewujudan gelembung perkauman’.

Kemudian pada tahun 1949, persetujuan untuk membawa isu-isu berbangkit ke meja rundingan dengan penubuhan satu jawatankuasa yang dinamai Jawatankuasa Perhubungan Kaum (CLC) oleh Dato’ Onn atas tiket UMNO dilihat sebagai membuka ruang kepada bukan Melayu untuk mencapai hasratnya.  Isu utama yang dibincangkan oleh CLC adalah tentang bahasa, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi (Ruslan 2005) yang merupakan nadi kepada kontrak sosial.  Cadangan CLC untuk melonggarkan syarat-syarat kerakyatan, (atas desakan) akhirnya Dato’ Onn telah bersetuju dengan cadangan tersebut.  Sebagai tukaran, Dato’ Onn meminta kerajaan British memberi bantuan ekonomi dan memajukan orang Melayu di luar bandar dan hal ini begitu jelas telah dinyatakan seperti yang terkandung dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.  

Cadangan CLC supaya memperkenalkan pilihan raya, telah dipersetujui dengan adanya Pilihan Raya Majlis Bandaran pada tahun 1951.  Persetujuan pilihan raya inilah sebenarnya dilihat akan kewujudan ruang yang lebih besar, dan peluang untuk mengakses kepada tuntutan-tuntutan lain seperti penggunaan bahasa ibunda dan pendidikan Cina.  Dan jika dilihat dari perspektif strategi, maka Melayu dilihat sebagai kaum yang bertimbang rasa dan boleh diajak berbincang.   Di samping itu, cadangan CLC agar memberi hak politik kepada kaum bukan Melayu adalah pelebaran ruang yang sedia terwujud kepada bukan Melayu.  Bermaksud, wujud saluran politik bukan Melayu untuk mengetengahkan sebarang isu dan permasalahan mereka.

Pada tahun 1956, ia terbukti benar apabila Kongres Tuntutan Hak Kerakyatan Pertubuhan-Pertubuhan Cina Berdaftar Seluruh Tanah Melayu telah mewujudkan satu jawatankuasa yang begitu mendapat sambutan masyarakat Cina pada tahun 1956, dinamai Council of Representatives of Chinese Guild and Association (CRCGA).  Kongres telah meluluskan empat resolusi iaitu (1) kerakyatan yang berdasarkan prinsip jus soli bagi semua rakyat yang lahir di Tanah Melayu, yang akhirnya UMNO bersetuju pada 1956 atas desakan yang kuat untuk kemerdekaan (Ramlah 2004); (2) kerakyatan bagi mereka yang dilahirkan di luar Tanah Melayu selepas bermastautin lima tahun secara berterusan tanpa ujian bahasa; (3) kesamaan hak, keistimewaan, tugasan, dan kewajipan bagi semua rakyat; dan (4)  pengiktirafan bahasa Melayu, bahasa Cina, dan bahasa Tamil sebagai bahasa rasmi negara.  Jika diteliti, perkara (1) dan (2) di atas, ianya telah dapat diselesaikan pada sebelum merdeka, manakala perkara (3) dan (4) masih terus diperjuangkan masyarakat Cina hingga ke hari ini melalui badan-badan seperti Dong Zong, dan ia nyata disokong oleh parti-parti politik seperti MCA dan DAP.

Tahun 1969 telah berlaku rusuhan kaum 13 Mei 1969 bukan sahaja dilihat sebagai suatu ujian getir dan turning point dalam politik di Malaysia, malah ia dilihat sebagai garis pengukur sejauhmana kontrak sosial.  Seperti penjelasan Mahathir (1999): keadaan yang sebenar yang berlaku adalah, pada tahun-tahun awal kemerdekaan, orang Melayu mulai berasa tidak puas hati melihat orang Cina berterusan menguasai ekonomi.  Hal ini turut dinyatakan oleh Jamaei (2005) dengan menjelaskan bahawa Kongres Ekonomi Bumiputera I yang diadakan pada 5-6 Jun 1965 adalah manifestasi bahawa golongan Bumiputera mula sedar dan gelisah tentang masalah ekonomi terutamanya dalam bidang perusahaan dan perdagangan yang orang Melayu masih jauh ketinggalan.  Dan situasi ini mewujudkan sentimen kaum kerana wujudnya jurang sosioekonomi antara orang Melayu dengan kaum imigran lain.   Keadaan ini tidak seharusnya berlaku, kerana Dato’ Onn telah meletakkan syarat sebagai tukaran kepada isu kerakyatan kepada bukan Melayu; agar orang Melayu diberi bantuan ekonomi supaya dapat memajukan kaum tersebut.  Maka ianya dilihat sebagai perlanggaran kepada suatu perjanjian yang telah dipersetujui bersama sewaktu rundingan kemerdekaan.                 

Berdasarkan kepada sorotan kronologi peristiwa penting seperti yang dijelaskan di atas, maka dapat disimpulkan bahawa, penolakan awal orang Melayu terhadap isu kewarganeraan telah direkodkan pada tahun 1946 sewaktu penentangan rancangan Malayan Union.  Gerakan gerila komunis pada tahun 1948 yang majoritinya adalah orang Cina telah dilihat orang Melayu sebagai bukti bahawa orang Cina berkeinginan untuk menguasai Tanah Melayu.  Sentimen anti-Cina dan gelembung perkauman telah bermula pada waktu tersebut.  Persetujuan untuk membawa isu-isu berbangkit ke meja rundingan dengan penubuhan CLC dilihat sebagai pembukaan ruang untuk bukan Melayu berpeluang menyelesaikan masalah kewarganegaraan mereka dan juga isu-isu lain seperti bahasa Cina dan pendidikan Cina.  Akhirnya pada 1956, setelah didesak, dan galakan untuk kemerdekaan, UMNO telah bersetuju menerima dasar jus soli tanpa sebarang syarat bagi bukan Melayu (Ramlah 2004). 

Walau bagaimanapun, persetujuan UMNO terhadap dasar jus soli tersebut dilihat sebagai pengorbanan terbesar orang Melayu dengan harapan agar masyarakat yang pelbagai ini dapat hidup dengan harmoni dan membawa kebaikan kepada negara.  Tetapi sebaliknya yang berlaku adalah rusuhan kaum pada 1969, yang menunjukkan dimana gelembung perkauman tersebut telah pecah.  Maksud jelas adalah kesan dimana suatu perjanjian yang dimungkiri (breach of contract), sama ada bukan Melayu, mahu pun dasar dan polisi longgar oleh kerajaan semenjak merdeka dalam menguatkuasakan undang-undang berdasarkan perjanjian asal.  Kerana sekiranya, sosioekonomi orang Melayu seperti yang telah diperuntukkan dengan begitu jelas dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan tersebut benar-benar dikuatkuasakan dan sungguh-sungguh dihormati semua pihak (kaum)—dengan hasil yang diyakini, maka kebarangkalian rusuhan kaum 1969 tersebut tidak berlaku disebabkan faktor ekonomi.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: