Struktur Masyarakat Di Tanah Melayu Sebelum Merdeka: Tinjauan Historis Tiga Sarjana

Suatu struktur bangunan yang kukuh, adalah sangat bergantung kepada aspek kekukuhan struktur dasarnya (foundation), berapa dalam tanah digali, berapa banyak besi cerucuk digunakan, berapa tebal konkrit disumbat, siapa juruteranya, siapa tenaga pakarnya, dan sebagainya.  Pembangunan negara juga harus dilihat dalam konteks yang sama.  Persoalan, adakah struktur negara yang ingin dibina itu benar-benar kuat, dan benar-benar kukuh?  Mari kita imbas sejarah negara berdasarkan tinjauan historis oleh tiga sarjana tempatan untuk mendapat gambaran jelas struktur masyarakat di Tanah Melayu.  Mereka adalah Ramlah Adam (2004), Thock Ker Pong (2007), dan Azharudin Mohd Dali (2012).

Ramlah (2004) telah membincangkan perubahan-perubahan penting yang berlaku tentang kerakyatan Negeri Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu dari sebelum kedatangan British sehingga negara ini mencapai kemerdekaan.  Uniknya ujar beliau, perubahan ini perlu dilihat melalui akta-akta penting dengan penumpuan khas terhadap soal Rakyat Raja, Rakyat British, dan Rakyat Persekutuan.  Selain itu, beliau menyatakan bahawa hikayat-hikayat Melayu telah menjadi sumber sejarah-budaya masyarakat Melayu tradisional.  Melaluinya, keadaan dan perjalanan politik, ekonomi, dan sosial kerajaan-kerajaan Melayu itu dapat diketahui.  Seterusnya beliau menyatakan, Misa Melayu merupakan salah satu hikayat yang dihasilkan oleh kerajaan Melayu Perak.  Hikayat ini sangat berbeza daripada hikayat-hikayat Melayu yang lain.  Ini kerana bukan sahaja nama pengarangnya tercatat dengan jelas tetapi juga kerana peristiwa-peristiwa yang ditulisnya itu tidak bersifat mitos atau lagenda; sebaliknya peristiwa sejarah yang berlaku dengan tepat dan selari dengan dokumen sejarah.  Ia ditulis pada awal kurun ke-19 (1836) iaitu beberapa dekad sebelum campur tangan British di Perak.

Ramlah turut menjelaskan tentang imigran yang datang dari luar Tanah Melayu. Bagi orang yang datang dari luar, mereka dianggap sebagai dagang senteri yang kediamannya kerap kali di muara sungai, dan diletakkan di bawah kawalan Shahbandar.  Mereka walaupun tidak mengaku taat setia kepada Raja yang memerintah tetapi tertakluk kepada peraturan dan adat istiadat negeri tersebut.  Pada abad ke-19 pula, mereka telah diletakkan di bawah ketua masing-masing; bagi orang Cina dipanggil sebagai Kapitan Cina.  Mereka kebanyakannya terdiri daripada kaum lelaki yang akan kembai ke China semula.  Dengan itu penduduk dagang itu bersifat sementara dan tidak tetap jumlahnya.

Sementara itu, beliau turut mengupas petikan dalam Misa Melayu dengan menyatakan bahawa Kesultanan Perak juga telah menolak bangsa luar seperti India atau Cina untuk dijadikan rakyatnya.  Kedua-dua bangsa ini dianggap sebagai orang luar yang mesti akur kepada peraturan kebudayaan Perak.  Sultan Iskandar menolak sebarang usaha dari mereka untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat tempatan.  Pir Muhamad, seorang jurubahasa syarikat Holland (Belanda) telah cuba menjadi rakyat Sultan Iskandar.  Kesetiaannya ditolak Sultan Iskandar yang melihatnya sebagai ‘seorang Keling’, yang tidak  menghormati adat istiadat Raja Melayu.  Di samping itu, perbezaan di antara rakyat raja dengan penduduk luar daerah lain juga jelas dalam masyarakat Melayu Perak.  Sewaktu membina kota dan bandar Pulau Chempaka Sari itu dengan jelas Raja Chulan telah membezakan mereka dengan rakyat Perak.  Berikut petikan Ramlah mengikut Misa Melayu sebagai bukti kepada gambaran keadaan sebenar yang berlaku pada ketika itu:

“…Maka dipersembahkan orang kepada baginda juru bahasa Melayu Holland itu hendak mengadap.  Maka oleh baginda tiada menerimanya kerana tiada memberitahu Orang Kaya Laksamana dan Shahbandar, tambahan surat pun tiada dengan bingkisnya; kerana adatnya surat itu dari sebuah kerajaan negeri itu ada juga bingkisnya; sebab itulah maka tiada diterima oleh baginda…” (Ramlah 2004).

“…Maka seberang pulau itu diperbuat pula pekan dan bandar … Maka segala orang isi bandar yang dahulu itu sekaliannya habis dipindahkan ke situ.  Ada pun orang-orangnya dari berbagai-bagai jenis bangsanya daripada Keling, Bugis, Minagkabau.  Maka terlalu ramainya di bandar itu; maka orang Cina sama-sama Cina; maka beraturlah rumah berlapis-lapis…” (Ramlah 2004).

Thock (2007) menjelaskan, migrasi orang Cina ke Tanah Melayu berlaku dalam beberapa masa yang berlainan.  Ini terjadi dari sekitar zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke awal abad ke-20.  Secara kasarnya tahap-tahap ini dapat dikenal pasti berdasarkan bentuk komuniti yang terhasil.  Pembentukan komuniti Baba di Melaka, Pulau Pinang, dan Singapura yang lebih dikenali sebagai Negeri-negeri Selat menandakan sejarah awal migrasi ini.  Selain itu terdapat satu lagi golongan orang Cina yang dipanggil Cina Peranakan Kelantan yang mengasimilasikan budaya Melayu dalam kehidupan mereka sejak abad ke-18.  Manakala kewujudan komuniti Cina baru yang utuh pada sekitar pertengahan abad ke-19 pula menandakan tahap yang lebih kemudian.  Akibat kemasukan orang Cina secara besar-besaran mulai pertengahan abad ke-19, komuniti Cina yang kedua itu telah mengatasi komuniti Baba dari segi bilangan dan pengaruh.  Imigran-imigran Cina tahap kedua ini pada awalnya tidak berniat untuk bermastautin secara tetap di Tanah Melayu.

Tujuan kedatangan mereka ialah mencari rezeki untuk dibawa pulang ke kampung halaman mereka di China.  Satu ciri khas yang membezakan migrasi tahap kedua dengan tahap awal ialah golongan wanita turut menyertai arus penghijrahan ini selepas tahun 1893.  Hal ini pastinya dapat mengimbangi jumlah imigran Cina dari segi jantina.  Oleh itu banyak sarjana menggunakan istilah huaqiao yang bermaksud pemastautin sementara untuk melabelkan imigran-imigran ini.  Namun tambah Thock, pendirian untuk bermastautin secara sementara mula mengalami perubahan pada abad ke-20.  Natijah perkembangan senario politik yang baru, orang-orang Cina membabitkan diri dalam gerakan penentangan kuasa penjajah dan penuntutan kemerdekaan negara.  Di samping itu, nasionalisme keetnikan yang berkembang pada tahap masa itu turut menyumbang kepada perubahan sikap ini.

Selain daripada itu, Thock turut menyentuh tentang penglibatan orang-orang Cina dalam proses-proses politik di Tanah Melayu—suatu gambaran perubahan daripada huaqiao kepada perjuangan politik.  Beliau menyatakan kewujudan peristiwa-peristiwa politik dalam sesuatu tempoh masa tertentu ini telah meyemarakkan proses perubahan ini.  Umpamanya rancangan Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu yang diperkenalkan oleh kuasa British mula dipandang serius oleh masyarakat Cina dalam tempoh pertama.  Penubuhan Malaysian Chinese Association (MCA) pada tahun 1949 dan kegiatannya menandakan peristiwa penting dalam tempoh kedua.  Kemerdekaan negara pula menjadi peristiwa terpenting dalam tempoh ketiga.  Justeru, kebanyakan orang Cina menganggap diri mereka warganegara negara baru ini.  Thock telah memetik kata-kata Wang (1991) dalam gambaran kecenderungan orang Cina tersebut:

“…The strong local Chinese Community was on the whole willing to abandon Chinese nationalist identity and replace it with the new Malayan national identity, but had at the same time developed a powerful sense of communal identity to assert the community’s right to share power in the country.  The community leaders still retained some sense of their earlier historical identity as Chinese and also sought to have the cultural features of that identity officially recognized as an intergral part of a composite Malayan national identity…” (Thock 2007).

Dengan perubahan identiti kenegaraan ini, tegas Thock, orang-orang Cina yang diwakili oleh komuniti imigran dan komuniti Baba mula mengambil bahagian yang aktif dalam percaturan politik Tanah Melayu.  Persatuan-persatuan yang bersifat politik dan bukan politik yang dinamakan Huatuan telah ditubuhkan.  Yang sedia ada digembleng untuk menjaga hak dan kepentingan masyarakat Cina.  Huatuan mula memperjuangkan isu kerakyatan, bahasa, dan pendidikan Cina dalam tahun 50-an.  Peranannya menjadi lebih menonjol menjelang kemerdekaan Tanah Melayu dan zaman-zaman selepasnya.

Menurut Azharudin (2012) dalam menjelaskan perihal orang India di Tanah Melayu, beliau menyatakan pengaruh India ke atas rantau Asia Tenggara dirasai melalui kewujudan kerajaan-kerajaan Hindu seperti Funan dan Angkor diikuti kemudiannya dengan Sriwijaya, Majapahit, Langkasuka, dan sebagainya.  Di Tanah Melayu, pengaruh Hindu sangat sinonim dengan kewujudan Lembah Bujang yang terkenal dengan Candi Bukit Batu Pahat, selain monumen, seni arca, dan tinggalan lain dalam bentuk patung, dan artifak, menunjukkan wujudnya pengaruh Hindu yang sangat kuat.  Disamping itu, Azharudin menjelaskan pengaruh India turut ketara dalam sosiobudaya masyarakat tempatan.  Ini dapat dilihat melalui penggunaan bahasa-bahasa dari benua kecil India terutamanya bahasa Sanskrit yang turut terserap dalam bahasa Melayu seperti perkataan-perkataan anugerah, asrama, bayu, bahu, bangsa, dan sebagainya.  Namun, seperti perihalnya orang Cina, kehadiran orang India ke Tanah Melayu telah berlaku secara pesat sejak abad ke-19.  Ia hasil daripada tindakan pihak British yang berusaha mendapatkan tenaga buruh yang murah untuk sektor perladangan.  Ia disokong dengan kenyataan Azharudin (2012) seperti berikut:

“…Penguasaan British ke Tanah Melayu telah menyebabkan perubahan yang besar dalam struktur ekonomi, sosial, dan politik tempatan.  Walau bagaimanapun, berbanding sektor lain, perubahan ekonomi yang dibawa oleh British memberi kesan ketara dengan kehadiran golongan imigran yang terdiri daripada orang Cina dan India…” (Azharudin 2012).

Menurut Azharudin lagi, masyarakat India sehingga Perang Dunia Kedua secara langsung merupakan pancaran kedudukan masyarakat di India.  Mereka mewarisi ciri-ciri pemecahan mengikut kelas kasta dan suku yang mempengaruhi ekonomi, sosial, dan politik masyarakat tersebut.  Selain itu, sejak kedatangan mereka ke Tanah Melayu, orang India berpegang pada pendirian bahawa ia hanya tempat mereka mencari rezeki dan apabila masanya tiba, mereka akan pulang ke India yang menjadi tanah air mereka.  Istilah yang sering digunakan untuk merujuk keadaan ini ialah ‘bird of passage’ atau persinggahan sementara.  Ia secara langsung mempunyai makna ekonomi, sosial, mahupun politik yang tersendiri.

Daripada sudut ekonomi, mereka hanya ingin mendapatkan kekayaan sebanyak yang mungkin sebelum kembali ke India; daripada sudut sosial pula, mereka tidak mempunyai kepentingan untuk bercampur dengan bangsa-bangsa lain; sementara dari sudut politik, kesetiaan mereka adalah pada India dan bukannya Tanah Melayu.  Fakta ini telah diperkukuh oleh S.Arasaratnam (1967, 1968) apabila beliau menyatakan bahawa sama ada dari sudut idealistik mahupun realistik, masyarakat India di Tanah Melayu dilihat komited sepenuhnya terhadap nasionalisme India dan keinginan untuk kemerdekaan India.

Cuma sejak tahun 1906, Azharudin menjelaskan bahawa orang India kelas pertengahan sama ada profesional atau saudagar yang berpendidikan Inggeris, telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan persatuan.  Inisiatif ini dimulakan dengan penubuhan Persatuan India di Taiping, Perak.  Kesedaran mewujudkan persatuan merupakan kesan langsung daripada perkembangan yang berlaku di India melalui kewujudan Kongres Kebangsaan India (KKI).  Malah harus disedari bahawa sebelum kewujudan Kongres, telah terdapat puluhan persatuan di India yang diwujudkan oleh golongan berpendidikan Inggeris.

Penghijrahan golongan ini ke Tanah Melayu turut membawa tradisi tersebut dan mereka bertanggungjawab menubuhkan persatuan-persatuan ini.  Tambah Azharudin, pada asasnya persatuan-persatuan ini tidak memainkan peranan dalam politik atau melakukan sesuatu yang membimbangkan British di Tanah Melayu hingga pihak British tidak merasa gusar mengenai kewujudannya.  Selain Persatuan India di Taiping, orang India di Selangor telah menubuhkan Persatuan India Selangor pada tahun 1909.  Persatuan ini yang ditubuhkan di Kuala Lumpur menerima sokongan golongan pertengahan.  Walau bagaimanapun, sokongan kakitangan kerajaan masih lagi kecil kerana mereka bimbangkan tindak balas British.

Melalui kajian lepas yang telah dijalankan oleh ketiga-tiga tokoh di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa ketiga-tiga tokoh tersebut telah merujuk suasana dan keadaan masyarakat di satu kawasan geografi yang sama, iaitu di Tanah Melayu pada beberapa peringkat ke arah pembentukan sebuah negara majmuk.  Pada dasarnya, orang Melayu telah mempunyai suatu institusi sosial dan konsep pemerintahan dengan gaya tersendiri, iaitu monarki.  Faktor utama kemasukan orang dagang, imigran, atau apa juga istilah lain yang digunakan bagi tujuan maksud yang sama iaitu bukan Melayu, adalah disebabkan oleh faktor ekonomi.  Dan kemasukan begitu ramai orang Cina dan India ke Tanah Melayu oleh British pada abad ke-19 juga adalah disebabkan oleh faktor ekonomi—dimana ia dapat menjelaskan bahawa kemasukkan mereka ini adalah bersifat sementara.

Thock telah menggunakan istilah huaqiao bagi orang Cina, manakala Azharudin menggunakan istilah bird of passage bagi orang India.  Ramlah pula menggelarkan kedua-dua golongan tersebut sebagai dagang senteri.  Justeru, ketiga-tiga istilah tersebut mempunyai huraian makna yang sama bagi menjelaskan maksud, tujuan, dan keadaan sebenar orang Cina dan India di Tanah Melayu.  Permuafakatan yang terbentuk melalui rundingan kemerdekaan di antara wakil-wakil orang Melayu, Cina, dan India akan dibincangkan dalam artikal seterusnya.

Kesan kolonialisme di atas Tanah Melayu pada awal abad ke-19, telah merubah lanskap politik negara dalam acuannya tersendiri.  Hal ini dirumitkan lagi apabila British menubuhkan Malayan Union pada 1946.  Orang bukan Melayu telah dijanjikan oleh British bahawa mereka akan diberi kerakyatan secara jus soli, bermaksud,ia bukan sahaja memberikan kerakyatan kepada orang Cina dan India, malah hak-hak dan keistimewaan sebagai warganegara juga sama tarafnya dengan orang MelayuPastinya, orang bukan Melayu menyambut baik rancangan British dan seterusnya menyokong penubuhan Malayan Union tersebut.

Namun, reaksi orang Melayu adalah sebaliknya.  Rancangan Malayan Union oleh British dilihat oleh orang Melayu sebagai suatu bentuk rampasan kuasa dan penaklukan ke atas Tanah Melayu (Ja’afar 2007).  Maka di sinilah titik tolak perjuangan orang Melayu dalam menentang gagasan Malayan Union tersebut apabila Dato’ Onn Jaafar telah diberi mandat berupa sokongan dan bantuan oleh segenap orang Melayu di Johor dan kemudiannya merebak ke seluruh Tanah Melayu.  Ia bermula dengan penubuhan Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor (PMSJ) pada 3 Januari 1946 hinggalah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946.  Akhirnya rancangan Malayan Union telah dapat digagalkan pada bulan Jun 1946.

Rentetan itu, sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang mirip kepada rancangan Malayan Union, ianya pasti akan ditentang oleh orang Melayu, melalui UMNO terutamanya.  Kemudian, beberapa siri rundingan kemerdekaan telah dijalankan oleh wakil-wakil kaum pasca-Malayan Union.  Maka terbentuklah jaringan permuafakatan di antara kaum-kaum utama dalam menzahirkan hasrat untuk merdeka.

Menyorot kembali sembilan cabaran yang digariskan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Mahathir Mohamad, bagi Malaysia menuju Wawasan 2020 sebuah lakaran negara maju, apa yang didapati, kesemua sembilan cabaran tersebut adalah berkaitan dengan masyarakat (penyatuan antara kaum).  Namun, sekiranya kita dapat melihat keadaan semasa pada ketika ini, terutamanya aspek perpaduan atau penyatuan yang kita istilahkan sebagai masyarakat, masih belum dapat mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan.  Kita lihat setiap isu yang timbul dalam negara, pasti diterjemahkan dalam bentuk atau aspek ‘perkauman’.  Contohnya, kes pembunuhan Datuk Sosilawati bersama tiga rakannya telah menjadi isu perkauman, kes Teoh Beng Hock telah menjadi isu perkauman, kes membakar gereja di Taman Melawati dan Seremban telah menjadi isu perkauman, dan sebagainya, kenapa mesti ianya dilihat sebagai isu perkauman semata.  Pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Peralihan kuasa (kepimpinan) negara diantara Y.A.B. Tun Abdullah Ahmad Badawi (dulu Datuk Seri) dengan Y.A.B. Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 3 April 2009, telah membuka lembaran baru bagi mencari satu pendekatan yang bersifat menyeluruh dan fokus terhadap peri-pentingnya soal perpaduan (pasca Pilihan Raya Umum ke-12) di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang dilihat sejak akhir-akhir ini menjadi satu isu nasional yang boleh mengugat perpaduan di antara kaum—yang jika dibiarkan boleh menyebabkan berlaku ketegangan, seandainya ia tidak ditangani secara rasional.  Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melaungkan visi beliau, iaitu “Satu Malaysia” dan dengan itu, beliau telah mewujudkan sebuah unit baru di bawah Jabatan Perdana Menteri, iaitu Unit Perpaduan (Menteri bertanggungjawab: Tan Sri Dr. Koh So Koon) bagi merealisasikan ilham Perdana Menteri itu.

Ramlah (2004) memperlihatkan dua perkara penting berkenaan dengan keadaan masyarakat seperti yang terkandung dalam Misa Melayu.  Pertama sekali ujar beliau, jelas bahawa dalam sebuah negeri Melayu, rakyat Melayu adalah mereka yang menerima ketuanan raja yang memerintah tanpa ada soal jawab.  Mereka menerima apa sahaja perintah raja untuk memberi kesenangan kepada raja Melayu.  Mereka boleh dikerah pada bila-bila masa untuk membuat apa sahaja yang dikehendaki.  Sebagai gantinya, mereka diterima sebagai Rakyat Raja.

Keadaan ini berlaku, menurut Ramlah adalah disebabkan oleh adanya konsep daulat yang menjadi tonggak kehormatan dan sifat istimewa raja Melayu yang diterima terus daripada Sang Sapurba, Bukit Siguntang Mahameru.  Penerimaan orang Melayu terhadap hak istimewa itu hanya boleh berlaku dengan persetujuan Demang Lemang Lebar Daun, Raja Palembang yang telah terikat janji dengan Sang Sapurba bahawa orang Melayu hanya menerima ketuanan Sang Sapurba jika mereka diperintah dengan adil dan saksama; begitulah sebaliknya.

Dan yang keduanya, Ramlah menjelaskan, untuk raja Melayu menerima orang luar sebagai rakyatnya adalah sulit sekali.  Terdapat garis pemisah yang jelas.  Mereka tidak dikerah untuk kepentingan raja dan diletakkan berasingan daripada rakyat negeri itu.  Perbezaan antara orang Melayu negeri itu dengan orang Melayu dari Kepulauan Melayu juga sangat jelas.  Mereka dikenal sebagai satu bangsa seperti Minangkabau dan Bugis.  Ini bermakna mereka yang diiktiraf sebagai rakyat Raja Perak adalah yang berketurunan Melayu dari Bukit Si Guntang Mahameru, Palembang.  Bermaksud mereka yang datang dari luar kawasan itu tidak dianggap sebagai keturunan rakyat Perak.

Jadi jelas menampakkan kita bahawa, Perak telah mengamalkan dasar etnik Melayu yang sangat khusus.  Maka, dengan keadaan sistem kerajaan Melayu seperti itu, ternyata pembinaan konsep sebuah negara-bangasa negeri Melayu adalah berdasarkan Melayu.  Ini bermakna pembinaan sebuah kerajaan dan negara atau negeri Perak itu didasarkan kepada Raja Melayu, negeri Melayu, dan rakyat Melayu.  Inilah unsur-unsur yang menjadi tiang seri negeri Perak dan kesemua negeri Melayu yang lain.  Tidak terdapat unsur bukan Melayu di dalamnya.  Namun jelas Ramlah, walaupun negeri-negeri Melayu belum lagi membentuk sebuah persekutuan yang besar, tetapi sebagai sebuah negeri yang berdaulat dengan raja sebagai pemerintah, adat lembaga sebagai sistem undang-undang, pentadbiran dan politiknya, adat istiadat sebagai sistem budayanya, konsep sebuah negara yang berdaulat dan merdeka telah diwujudkan sebelum kedatangan penjajah Barat ke atas Semenanjung itu.  Kesemuanya itu telah digunakan sebagai satu sistem yang berpadu dan bebas tanpa dipengaruhi oleh sesiapa pun.

“…the three countries of Singapore, Malaysia, and Indonesia face the same question.  How should each build its nation in the context of a world of nation-states?  Nation-building immediately assumes two things.  One is that the three countries are not yet nations, and therefore the need for nation-building.  Secondly, it assumes that “nation-state” is something that you can actually build.  There is a way of building it, like constructing a house or laying a road or starting a work of engineering…” (Wang 2004).

(Nantikan artikal berkenaan dengan perjuangan secara konsisten Bukan Melayu semenjak sebelum Merdeka hingga ke hari ini).

Leave a comment