Kualiti Graduan Kita Wajar Dipersoal

 

Memiliki segulung ijazah bukanlah suatu yang sukar pada waktu ini jika dibandingkan 20 tahun dahulu.  Begitu banyak institusi-institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara menawarkan pelbagai jurusan dan tahap mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.  Cuma hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.  Namun, apa yang ingin diperkatakan di sini adalah kualiti graduan kita wajar dipersoal.

Ada yang pergi belajar semata-mata untuk menjaga hati kedua-dua orang tua, ada yang sekadar ingin mengisi masa lapang, ada yang ingin mencari masa di luar, ada yang ingin menguji diri, ada yang ingin meningkatkan pencapaian hidup, ada yang ingin naik pangkat, dan ada juga yang sedar betapa pendidikan itu penting dalam kehidupan.

Suatu masa dulu, saya pernah menerima email daripada seseorang yang menawarkan khidmat menyediakan tugasan kuliah (assignments) dan latihan ilmiah (tesis).  Saya menjawab kepadanya yang saya tidak memerlukan khidmat tersebut dan menasihatinya agar mencari cara lain untuk menampung kehidupan.  Dan beliau menjawab yang beliau gembira dengan kerjaya yang beliau pilih tersebut.  Saya terdiam memikirkan.

Sememangnya, hidup ini tidak adil.  Mereka yang bertungkus lumus menyiapkan tugasan yang diberikan dan hantar tepat pada waktunya, diberikan pemarkahan yang sama dengan mereka yang menciplak hasil kerja orang lain dan lewat menghantar tugasan tersebut.  Dalam erti kata lain, seseorang yang membuat kerja lebih, mendapat manfaat yang sama dengan mereka yang hanya duduk dan tidur.  Adakah ini adil?

Sebab itu, graduan-graduan kita yang keluar dan berkhidmat di sektor-sektor awam mahu pun swasta tidak berdaya saing, ada yang dipinggirkan dan tidak mendapat kerja.  Kemudian menyalahkan pula pihak tertentu mengapa mereka sukar mendapat kerja.  Apakan tidak, sebagai contoh, menulis surat rasmi pun tidak mengikut format dan terdapat kesilapan-kesilapan kecil yang tidak sewajarnya berlaku, tetapi ia berlaku.  Adakah hal ini wajar berlaku kepada seseorang yang bergelar mahasiswa?  Keadaan ini pernah berlaku semasa saya menemuduga beberapa orang graduan sebelum ini.

Dan ada juga graduan-graduan lepasan universiti ini yang sedang berkhidmat di sektor-sektor awam.  Kita tahu yang kelompok ini mempunyai komitmen kerja dan juga keluarga, dan hal ini adalah alasan terbaik untuk mengintai jalan mudah.  Tidak pernah pergi ke kuliah dan semuanya ditanggung beres oleh pihak ketiga.  Tetapi akhirnya, mendapat keputusan semester yang membanggakan.  Bayangkan bagaimana tahap sebenar yang dapat kita ukur, adakah dengan tahap pendidikan atau tahap kualiti penyampaiannya. Sememangnya boleh dipertikai sekiranya kita biasa berhadapan dengan mereka dalam urusan harian.

Mungkin anda sendiri boleh menguji mereka dengan menanyakan soalan-soalan berkaitan dengan bidang yang mereka ambil.  Pasti anda akan tersenyum melihat bagaimana mereka menjawab.

Wajarnya, kita berbangga dengan kejayaan hasil dari usaha kita sendiri, bukan dengan berbangga dan mendabik dada dengan kejayaan hasil dari usaha orang lain.  Dan ia tidak akan kemana.  Kerana akhirnya nanti, negara hanya dibarisi dengan tenaga kerja yang tidak berkualiti dan tidak berdaya saing; yang cuma pandai membodek untuk kepentingan diri sendiri.  Sesungguhnya mereka ini menafikan hak seseorang yang lebih layak untuk menggalas tugas tersebut setanding dengan tingkat ilmu yang dimiliki.  Mungkin, mereka yang layak ini tidak ada ilmu membodek.

Tersenyum sendiri melihat wajah-wajah plastik yang mengukir senyuman seraya berkata “aku sudah berjaya hingga ke tahap ini”.

Leave a comment