Kenapa sukar kita mengambil pelajaran?

“Allah menganugerahkan al-Hikmah (pemahaman yang dalam tentang Al-Quran dan As-Sunah) kepada siapa yang Dia Kehendaki.  Dan barang siapa yang dianugerahi al-Hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak.  Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).” (Surah al-Baqarah: ayat 269)

Salam sejahtera kepada teman-teman pembaca, semoga kita semua dilindungi-Nya.

Sepanjang seminggu yang lalu, rata-rata akhbar arus perdana dan alternatif mensajikan kita berita dan pendapat, kritikan, laporan, dan sebagainya tentang isu Perhimpunan Bersih 3.0.  Masing-masing menyalahkan di antara satu sama lain.  Masing-masing menganggap diri masing-masing di pihak yang betul.  Namun, dimanakah kesudahannya?

Saya ingin membuat sedikit analisa berkenaan dengan bagaimana kita ini berfikir.  Tentang mengapa sukar kita mengambil pelajaran.  Ini kerana, setiap sesuatu yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Tetapi mengapa sukar kita mengambil pelajaran?

Merujuk kepada sepotong ayat yang dipetik daripada al-Quran di atas, Allah telah memberitahu kita tentang al-Hikmah, iaitu wisdom atau kebijaksanaan (sila rujuk di sini).  Ia adalah anugerah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.  Namun jelas-Nya, ia hanya untuk mereka yang berakal.

Baiklah, kata kuncinya adalah akal (sila rujuk di sini).  Sekiranya kita membaca ayat tersebut dari belakangnya, maka kita faham maksudnya begini:  Hanya orang-orang yang berakal sahajalah yang dianugerahi Allah akan kebijaksanaan.

Bolehkah begitu?

Jadi, syarat wajib untuk mendapat ilmu–untuk menjadi bijak–adalah berakal.

Akal, menurut saya adalah kebolehan seseorang untuk berfikir tentang sesuatu, sebelum bertindak atau membuat sesuatu keputusan.  Kebolehan mereka ini berfikir adalah berdasarkan pengalaman dan takat ilmu yang dimiliki seseorang itu.  Maka, ia tidak lebih daripada suatu proses fikir.  Kita tahu, manusia dapat dibezakan dengan haiwan adalah dengan akal.  Jadi mudahnya, manusia yang tidak berakal, adalah daripada spesis haiwan.

Contohnya, Abu keluar rumah untuk pergi kerja pada jam 8.00 pagi dan pulang ke rumah pada jam 5.00 petang, adakalanya sampai malam–overtime.  Beliau bekerja untuk hidup.  Dan begitulah seterusnya secara berulang setiap hari.  Dalam situasi yang sama, lembu juga keluar daripada kandangnya pada pagi hari untuk bekerja–iaitu dengan meragut rumput untuk hidup.  Kemudian pulang ke kandang tanpa di arah pada petang hari.  Sukar melihat lembu membuat overtime hingga lewat malam.  Jadi kisah hidup kedua-dua subjek di atas adalah sama.  Tetapi kita berkeras membezakan keduanya berdasarkan ilmu dan pengalaman yang dimiliki bahawa akal adalah pembeza antara keduanya.  Namun persoalan saya, apa benar Abu itu seorang yang berakal?  Sekiranya benar, apakah bukti kebolehannya untuk berfikir?

“Dan sesungguhnya telah kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?” — suatu ayat dalam Surah al-Qamar: ayat 17, Allah telah bertanya kepada orang (kita).  Sekiranya anda mempunyai penterjemahan Al-Quran, anda boleh buka dan lihat sendiri pertanyaan-Nya tersebut.  Dan kemudian, sebelum ke ayat seterusnya, Al-Quran menceritakan tentang kehancuran kaum Ad.

Seterusnya, Allah tanyakan lagi dalam surah yang sama, ayat 22: “Dan sesungguhnya telah kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”  Lihat ayat seterusnya cerita tentang kehancuran kaum Samud pula.

Lagi, Allah tanyakan dalam surah yang sama, ayat 32: “Dan sesungguhnya telah kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”  Lihat ayat seterusnya cerita tentang kehancuran kaum Nabi Lut A.S.

Dan lagi, Allah tanyakan dalam surah yang sama, ayat 40: “Dan sesungguhnya telah kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”  Lihat ayat seterusnya cerita tentang kehancuran Firaun.

Empat soalan yang sama ditanyakan oleh Allah kepada si pembaca ayat tersebut, namun adakah kita menjawabnya?  Empat cerita kehancuran kaum yang diceritakan-Nya, namun adakah kita belajar tentangnya?  Sekiranya anda adalah seorang ibu atau bapa, pertanyaan empat kali kepada si anak, tetapi dia tidak menjawabnya, maka apakah reaksi anda?

Justeru, sekiranya benar anda seorang yang berfikir, yang berakal, maka anda sendirilah menjawabnya, kerana jawaban ada pada diri masing-masing.

Bersambung…

Leave a comment